21 Disember 2012

Isteri Adalah Amanah Allah Kepada Suami


Suami perlu amanah hiasi rumah tangga dengan mawaddah, rahmah

Isteri adalah amanah Allah kepada suami, begitu juga sebaliknya. Apabila disebut sebagai amanah bermakna ia bakal ditanya dan disoal di akhirat kelak. Mengikut Imam al-Ghazali perkara yang paling berat untuk dilaksanakan adalah amanah.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud,
Takutlah kepada Allah, di dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang ada di sampingmu, barang siapa tidak memerintahkan supaya isterinya mengerjakan solat, dan mengerjakan agama kepadanya, maka ia khianat kepada Allah dan Rasul-Nya.”


Rasulullah berpesan yang bermaksud:
Sesungguhnya apabila seorang suami menatap isterinya dan isterinya membalas pandangan (dengan penuh rasa kasih sayang), maka Allah menatap mereka dengan pandangan kasih mesra dan jika suami membelai tangan isterinya, maka dosa mereka jatuh berguguran disela-sela jari tangan mereka.” (Hadis riwayat Abu Sa’id)

Betapa hebatnya ganjaran Allah buat suami isteri yang menghiasi rumah tangga yang dibina dengan mawaddah dan rahmah.

Sabda Baginda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya dan aku adalah yang terbaik daripada kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak mempunyai budi pekerti.”

Garis panduan tangani isteri nusyuz

Jika ada kesilapan isteri, Islam sudah menetapkan beberapa langkah boleh diambil oleh suami. Cara ini sesuai dengan kedudukan suami bertindak sebagai pemimpin dan pelindung isteri.

Firman Allah SWT: “Lelaki adalah pemimpin bagi perempuan oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (perempuan) dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)

Selisih faham dan berbeza pendapat antara suami isteri adalah lumrah kerana tidak ada manusia sentiasa sama dalam semua perkara. Perbezaan sepatutnya menjadi asam garam kehidupan untuk menjadi lebih mesra, matang dan saling memerlukan antara suami isteri.

Islam meletakkan garis panduan jelas bagi suami dalam menangani masalah isteri nusyuz atau derhaka. Namun tindakan mencederakan isteri dengan alasan isteri derhaka tidak dibenarkan oleh syarak. Apatah lagi kekasaran itu dilakukan disebabkan ketidakpuasan hati terhadap isteri atas perkara kecil.

Rasulullah SAW menasihatkan suami yang memukul isterinya dengan sabda:
Janganlah salah seorang dari kamu dengan sengaja memukul isterinya seperti memukul hamba kerana pada akhirnya kamu akan menidurinya juga.”



Terima pasangan seadanya

Suami isteri perlu menerima pasangan seadanya dan berusaha membaiki apa yang kurang. Ketaatan terhadap suami satu perkara penting yang diperintahkan agama agar dilakukan oleh setiap isteri. Isteri yang tidak patuh kepada suami tanpa alasan munasabah dipanggil nusyuz.

Sabda Rasulullah SAW: “Jika aku mahu menyuruh seseorang sujud kepada seseorang yang lain, nescaya aku terlebih dulu menyuruh seorang isteri sujud kepada suaminya.” (Riwayat Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah).

Kedudukan istimewa suami bukan pasport untuk mendera isteri. Sebaliknya, ia satu amanah besar untuk menjaga keselamatan, kebajikan dan menyediakan keperluan hidup untuk isteri dan anak. Jadi, ditegah suami mendera isteri dengan apa cara sekalipun.

Beritahu perbuatan tak disukai

Jika isteri melakukan nusyuz, langkah pertama dilakukan suami adalah menyatakan bahawa perbuatan itu tidak disukainya dan menasihat isteri tidak mengulanginya. Mungkin isteri tidak mengetahui perbuatan itu tidak disukai suami dan menyalahi tuntutan agama.

Firman Allah SWT: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka.” (Surah an-Nisa, ayat 34)

Sambungan ayat itu menjelaskan langkah seterusnya perlu dilakukan suami jika isteri masih ingkar iaitu meninggalkan tempat tidur. Jika masih tidak berubah, langkah disarankan agama ialah memukulnya dengan ringan bertujuan untuk memberi peringatan dan pengajaran.

Bukan tahap cederakan

Keizinan memukul isteri sebenarnya hanya pada tahap tidak mencederakan fizikal yang sekadar menunjukkan ketegasan suami supaya isteri tidak lagi berani melakukan perkara tidak diingini. Bahan untuk memukul itu biasanya berupa kain atau sifatnya tidak mendatangkan kecederaan.

Rasulullah SAW memberi ingatan: “Mengapa ada lelaki dalam kalangan kamu yang suka memukul isterinya seperti memukul seorang hamba, padahal dia akan menyetubuhi isterinya itu pada hari yang lain.” (Riwayat Ahmad)

Selain penderaan fizikal, satu lagi penderaan ialah mental dan emosi yang boleh berlaku apabila suami melayan isteri dengan buruk, memanggilnya dengan panggilan menghina atau menjatuhkan maruahnya di depan orang.

Isteri yang tidak tahan didera suami wajar membawa perkara itu ke Mahkamah Syariah. Mengikut kaedah fiqh, kemudaratan hendaklah dihilangkan supaya tidak berterusan.

Mahkamah Syariah melalui bidang kuasa boleh memanggil suami dan memberi nasihat. Pendekatan menggunakan hakam (pendamai) juga dicadangkan untuk mengatasi masalah rumah tangga.

Firman Allah SWT: “Dan jika kamu khuatir ada persengketaan antara keduanya, kirimkan seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga wanita. Jika kedua-dua hakam itu bermaksud mengadakan perdamaian, nescaya Allah memberi petunjuk kepada suami isteri itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.” (Surah an-Nisa, ayat 35)

Jika suami tidak berubah, isteri ada pilihan untuk membubarkan perkahwinan melalui perceraian. Isteri perlu mengetahui hak mereka dalam perkahwinan supaya tidak terus menjadi mangsa perbuatan tidak bertanggungjawab suami.

Kisah Saidina Umar A-Khatab Dengan Isterinya

Jadikan kisah yang berlaku kepada Saidina Umar al-Khattab sebagai panduan. Diriwayatkan bahawa seorang lelaki pergi ke rumah Umar untuk mengadu perihal isterinya. Maka dia berhenti di hadapan pintu rumah Umar sambil menunggu beliau keluar.

Ketika itu lelaki itu terdengar isteri Umar meleteri beliau dan khalifah itu hanya berdiam saja. Melihat yang demikian, lelaki itu terus pulang ke rumahnya sambil berkata sendirian: “Jika itu tindakan Umar terhadap isterinya sedangkan umum mengetahui sikap Umar yang garang dan tegas, maka siapalah aku ini.”

Akan tetapi Umar ternampak lelaki ini melewati hadapan rumahnya dan lantas memanggil lelaki itu bertanyakan tujuan dia datang mencarinya.

Lelaki itu berkata:“ Wahai Amirul Mukminin aku datang ke rumahmu untuk mengadu perihal isteriku yang suka meleteriku, akan tetapi aku terdengar isterimu juga meleterimu, sedangkan engkau seorang Amirul Mukminin.”

Maka Umar menjawab: “Wahai saudaraku, aku berdiam ketika isteriku meleteriku kerana isteriku sudah menunaikan segala haknya ke atasku, dia yang memasak untukku, membuat roti untukku, membasuh segala bajuku dan menyusukan semua anak-anakku, sedangkan semua itu bukanlah perkara yang wajib dilakukannya. Apabila aku ingat kembali semuanya itu aku tidak memarahinya kerana berleter.

Berkata lelaki itu: “Begitu jugalah perihal isteriku”.

Jawab Umar: “Ingatlah segala jasanya padamu, sesungguhnya keadaan itu hanyalah sementara.”

Isteri sebagai teman

Ringkasnya, suami hendaklah contohi Baginda Nabi Muhammad SAW, Umar dan sahabat lain dalam mengemudi rumah tangga. Jadikanlah isteri sebagai teman. Jika suami mengimpikan seorang isteri yang solehah sudah pasti suami sendiri perlu berusaha menjadi seorang suami yang soleh.

Sumber: BHarian Artikel1, BHarian Artikel2

0 comments: