13 Januari 2013

Cerita Tentang Mee


Mee Sup ... Slurrrpp... Sedap ....

Mee merupakan antara makanan ruji bagi penduduk Asia dan dikatakan berasal dari negara China. Ini dibuktikan pada tahun 2002 apabila pakar arkeologi menemui mangkuk mengandungi mee yang telah berusia 4000 tahun di kawasan persisiran Sungai Kuning, China.

Pada masa itu tiada mesin yang digunakan untuk membuat mee tetapi mereka menggunakan teknik uli dan tarik dengan tangan bagi membentuk mee.

Sehingga kini, walaupun terdapat pelbagai mee di pasaran, mee yang dibuat secara tradisional iaitu yang diuli dan ditarik dengan tangan ini masih boleh didapati di restoran-restoran tertentu dan mengekalkan tradisi membuat mee ini.




Di negara kita juga ada terdapat jenis restoran seperti ini. Memang teruja melihat pakar yang membuat mee ini menggunakan tangan. Rasa mee ini sungguh sedap dan segar. Lebih-lebih lagi melihat sendiri tukang masaknya membuat sendiri mee ini di depan mata. Tukang membuat mee selalunya diterbangkan khas dari negara China.

Jika anda belum menikmati mee ini silalah berkunjung restoran-restoran Cina Muslim yang asli kerana kebiasaannya ada mee ini disajikan dan ianya tercatat dalam menu.

Bentuk mee yang paling biasa adalah berbentuk tali yang halus panjang namun untuk tujuan komersial ia dihasilkan dengan pelbagai bentuk. Ada yang berbentuk berombak, berlipat dan lain-lain lagi. Mee juga boleh didapati dalam bentuk basah dan kering.

Dua bahan utama membuat mee adalah menggunakan tepung gandum dan tepung beras. Mee kuning dan mihun adalah paling biasa sekali kita gunakan yang mana mee kuning diperbuat daripada gandum dan mihun diperbuat daripada tepung beras.

Kebiasaannya mee akan dicelur dalam air mendidih dan dimakan bersama kuah seperti kuah sup namun mee juga boleh digoreng untuk dijadikan mee goreng.

Jangka hayat mee segar atau mee basah lebih pendek daripada mee kering dan mee basah boleh disimpan dalam peti sejuk untuk jangka masa yang pendek berbanding mee kering.

Pilihlah jenis mee yang baik kerana sesetengahnya berasa pahit disebabkan bahan pengawet. Memilih mee kering tidak banyak masalah cuma pastikan ia sesuai dengan masakan apa yang hendak dimasak.

Teknik memasak mee juga ada caranya yang tersendiri. Elemen paling penting untuk juadah mee itu adalah bahan-bahan yang dicampur di dalamnya. Contohnya jika mee itu berkuah, haruslah menggunakan stok yang kaya, seimbang dan sedap.

Jika ia bergoreng, rempah-ratusnya dan sos yang diguna dan dicampur perlulah tidak keterlaluan. Ada juadah yang memerlukan mee untuk dicelur, jadi pastikan mee basah terutamanya dicelur sebentar supaya dapat melembutkan mee.

Jika mee itu perlu direbus bersama kuahnya pastikan anda mencampurkannya apabila waktu sudah dekat untuk menghidangnya jadi tidaklah kembang.

Untuk mee kering juga memerlukan anda untuk merebus lama sedikit berbanding mee basah. Pastikan air rebusan diletakkan sedikit garam dan minyak untuk perisa dan mengelakkan mee daripada melekat.

Untuk mihun cukup direndam dengan air sehingga kembang sahaja. Ketika menggoreng mee gunakan teknik mengacau yang betul supaya mee tidak hancur dan putus.

Perkayakan dengan bahan-bahan sampingan yang lain supaya dapat melazatkan lagi mee. Banyakkan sayur-sayuran supaya dapat menambahkan nilai nutrisi vitamin dan serat dalam hidangan mee anda.

Jika ingin merasai juadah mee yang sebenar gunakankanlah chopstik ketika menikmati hidangan resipi mee. Pasti pengalaman ini dapat menambahkan selera anda ketika makan mee.

Sumber: Utusan

P/S: Saya cuba cari resepi mee tarik dalam internet. Tetapi gagal menemui. Sebagai ganti saya letakkan resepi mee sup. Kami sekeluarga memang menggemari mee sup ....
________________________________________________________________

Resepi Mee Sup



Bahan-bahan (3 orang makan)

3/4 ketul ayam - dipotong dadu
3 ulas bawang putih - ditumbuk
15-20 biji lada hitam - ditumbuk
kubis
bunga kubis
sawi (sayur ikut suka)
kiub ayam
telur

Cara-Cara Membuat:

- Tumis bawang putih hingga baik bau.
- Masukkan ayam yang telah dipotong tadi. kacau hingga separuh masak.
- Masukkan air.(utk kuah) 3/4 periuk.
- Biar kan ia mendidih. kemudian masukkan lada hitam yang ditumbuk tadi dan kiub ayam.
- Kacau dan biarkan ia mendidih lebih kurang 15 minit.
- Masukkan sayur-sayur.
- Biar dia mendidih. masukkan garam, gula sikit dan kacau.
- Bolehlah dihidangkan.

Sumber Resepi: http://www.myresipi.com/top/detail/16069

2 comments:

Bunda_nora berkata...

sedap kalau dimakan waktu bekfes atau malam2..yg bersup ni cpt kenyang..

MyFreeMinded berkata...

Kalau saya mee sup ni saya suka hirup sup tu, mee anak2 yang bedal dulu. :)