05 Januari 2013

Had Gaji Mohon Skim Rumah Pertamaku Naik



Mulai bulan Januari 2013 ini, had pendapatan peminjam individu yang ingin memohon Skim Rumah Pertamaku dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 sebulan manakala bagi pendapatan bersama peminjam naik sehingga RM10,000 sebulan.

Langkah kerajaan menambah baik kriteria kelayakan permohonan itu bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki kediaman pertama.

Di samping itu, keperluan rekod simpanan bersamaan tiga bulan ansuran dan had perkhidmatan minimum enam bulan juga akan dimansuhkan.


Jelas Cagamas, had pendapatan peminjam bersama pula dinaikkan sehingga RM10,000 sebulan dengan syarat salah seorang peminjam tidak boleh berpendapatan lebih RM5,000 sebulan.

Tidak cukup dengan kenaikan itu, keperluan untuk menyertakan penyata bank bagi tempoh tiga bulan dan tempoh bekerja minimum selama enam bulan bagi peminjam bersama turut dihapuskan. [Utusan]

Pembiayaan penuh

Berdasarkan kriteria itu, skim itu membolehkan pembeli rumah mendapatkan pembiayaan sepenuhnya daripada institusi kewangan, sekali gus peluang memiliki rumah tanpa bayaran pendahuluan 10 peratus.

Cagamas SRP Bhd (CSRP) akan menjamin 10 peratus pembiayaan di bawah skim itu.

Tahun 2012 lalu, CSRP diberi mandat untuk memainkan peranan membantu golongan muda dan rakyat Malaysia yang bekerja dalam sektor swasta memiliki kediaman di bawah CSRP.

Syarikat itu dibentuk untuk menjamin pembayaran 10 peratus daripada pinjaman yang diperoleh di syarikat perbankan yang mengambil bahagian dalam skim itu.

Antara bank yang menawarkan pembiayaan untuk skim perumahan berkenaan ialah Affin Bank Berhad (AFFINBANK), Alliance Bank Malaysia Berhad (Alliance Bank), AmBank (M) Berhad (AmBank), Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat), CIMB Bank Berhad (CIMB Bank), Hong Leong Bank (HLB), Malayan Banking Berhad (Maybank), OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC), Public Bank Berhad (Public Bank), RHB Bank Berhad (RHB Bank), Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (Standard Chartered) dan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd.

Ketika pembentangan Bajet 2013, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mencadangkan kenaikan had gaji pekerja berpendapatan RM5,000 ke bawah layak memohon skim perumahan itu.

Skim dilancarkan Mac 2011 pada mulanya bagi memenuhi permintaan golongan berpendapatan bulanan kurang RM3,000, namun kini boleh dinikmati pembeli perumahan pertama melalui pinjaman bersama suami isteri. Ia kemudian dikaji semula pada awal tahun 2012 lalu dari segi had kelayakan pendapatan isi rumah bersama kepada RM6,000 berbanding RM3,000 sebelum dinaikkan kepada RM10,000 tahun ini.

Oleh: Mohd Zaky Zainuddin
Sumber: BHarian [2013/01/04]

Skim Rumah Pertamaku (SRP)

Skim Rumah Pertamaku telah diumumkan dalam Bajet 2011 oleh Kerajaan Malaysia untuk membantu golongan muda yang baru bekerja dan berpendapatan tidak lebih daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah pertama mereka.

Skim ini membolehkan golongan muda untuk mendapat pembiayaan sehingga 100% daripada institusi-institusi kewangan untuk membeli rumah pertama mereka tanpa perlu membayar 10% wang pendahuluan. Ini sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk meningkatkan pemilikan rumah di kalangan rakyat Malaysia.

Kerajaan telah mengumumkan dalam Bajet 2013 yang had pendapatan kasar akan ditingkatkan dari RM3,000 kepada RM5,000 sebulan dan beberapa kriteria kelayakan tertentu akan dimansuhkan berkuat kuasa dengan serta merta. Perubahan akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2013.

Untuk Maklumat lanjut SKIM Rumah Pertamaku Klik http://www.srp.com.my/
Baca Juga: 25 Bank Biaya Golongan Muda Beli Rumah

0 comments: