Pembacaan Secara Online Adalah Trend Pembaca Masa Kini .....
NEWSWEEK majalah berita mingguan kedua terbesar di AS terpaksa akur dengan landskap pembacaan baharu masa kini.
SELEPAS ensiklopedia Britannica yang berusia 244 tahun ditamatkan penerbitannya awal Mac lalu, kini nasib sama menimpa majalah berita terkenal Amerika Syarikat, Newsweek yang diterbitkan buat kali terakhir pada 31 Disember 2012.
Bagaimanapun, hayat majalah berita mingguan kedua terbesar di Amerika Syarikat tidak sepanjang ensiklopedia Britannica kerana hanya mampu bertahan hampir 80 tahun apabila mula menemui pembacanya pada 17 Februari 1933.
Penamatan riwayat edisi cetak kedua-dua naskhah tersebut berlaku akibat penghijrahan trend pembacaan khalayak yang lebih gemar membaca secara dalam talian berbanding bahan bercetak kerana ia lebih cepat dan mudah, malah boleh didapati secara percuma.
Rentetan perubahan selera pembacaan tersebut, Newsweek tidak mampu meneruskan survival selepas bergelut dengan hasil pengiklanan dan kemerosotan edaran.
Akur dengan landskap media yang berdepan dengan kepesatan transformasi, Ketua Pengarang yang juga pengasas syarikat Newsweek Daily Beast, Tina Brown dengan berat hati mengumumkan keputusan untuk menghentikan edisi cetak majalah tersebut Oktober 2012 lalu.
Tidak mahu menoleh kebelakang, tahun 2013 membuka lembaran baharu buat warga Newsweek yang akan disiarkan dalam format digital yang dikenali sebagai Newsweek Global awal tahun 2013 ini.
Ia dilihat sebagai satu-satunya jalan selamat bagi meneruskan era kegemilangan majalah tersebut selepas berhadapan dengan kemerosotan edaran sebanyak 51 peratus sejak lima tahun lalu.
"Ini merupakan 'buku' baharu buat Newsweek dan kami bukan lagi sebuah majalah konvensional. Kami melakukan transformasi ke atas Newsweek dan bukan mengucapkan selamat tinggal.
"Keputusan menamatkan edisi cetak tidak kena mengena dengan kualiti jenama dan ia masih mempunyai pengaruh. Penutupan terpaksa dilakukan berikutan cabaran ekonomi penerbitan cetak dan pengedarannya," kata Tina.
Kerugian demi kerugian
Diasaskan oleh bekas Pengarang Berita Luar Negara Time, Thomas JC Martvn, Newsweek meniti sejarah kecemerlangan yang panjang bersama nama-nama besar dalam bidang kewartawanan iaitu Jonathan Alter dan Anna Quindlen.
Berpangkalan di Bandar New York, Newsweek mempunyai 22 biro. Sembilan di Amerika Syarikat iaitu di New York, Los Angeles, Chicago/Detroit, Dallas, Miami, Washington D.C., Boston dan San Francisco serta biro luar negara seperti London, Paris, Berlin, Moscow, Baitulmuqaddis, Baghdad, Tokyo, Hong Kong, Beijing, Asia Selatan, Cape Town, Mexico City dan Buenos Aires.
Newsweek turut menerbitkan edisi Jepun, Korea, Poland, Sepanyol, Arab dan Turki serta naskhah bahasa Inggeris iaitu Newsweek International. Newsweek Rusia yang diterbitkan sejak tahun 2004 telah ditutup pada bulan Oktober 2010.
Edisi pertama Newsweek diterbitkan pada 17 Februari 1933 memaparkan tujuh keping gambar pada muka depan menunjukkan berita yang berlaku dalam tempoh seminggu.
Sejak tahun 2008, Newsweek mula 'berubah angin' apabila melalui fasa perubahan dengan mengalihkan fokus majalah dan pembaca dengan harapan dapat memacu kewangannya, namun usaha demi usaha menemui jalan buntu kerana ia gagal meningkatkan jumlah pengedaran.
Keputusan kewangan 2009 seperti yang dilaporkan The Washington Post Company menunjukkan hasil pengiklanan merudum 37 peratus pada 2009 dan bahagian majalah pula menanggung kos kerugian AS$29.3 juta (RM89.07 juta) berbanding kerugian sebanyak AS$16 juta (RM48.64 juta) pada 2008.
Pada suku pertama 2010, Newsweek menanggung kerugian hampir AS$11 juta (RM33.44 juta).
Tidak betah menanggung kerugian demi kerugian, pemilik Newsweek iaitu The Washington Post Company tekad menjual majalah tersebut kepada jutawan California, Sidney Harman pada 2 Ogos 2010 dengan nilai AS$1 (RM3.04)
GENERASI baharu lebih gemar membaca menerusi gajet berteknologi.
Walaupun sudah bertukar tangan, nasib Newsweek tidak menunjukkan sebarang perubahan positif berikutan majoriti pembaca generasi baharu yang membesar dengan kepesatan teknologi maklumat lebih cenderung mendapatkan informasi di alam maya.
Edaran Newsweek di seluruh dunia melebihi 4 juta naskhah yang pernah dicatatkan pada tahun 2003 termasuk 2.7 juta naskhah di Amerika Syarikat, jumlahnya jatuh mendadak kepada 1.5 juta naskhah (dengan jualan menurun kepada hanya lebih 40 ribu naskhah seminggu) menjelang tahun 2010.
Pada November 2010, Newsweek bergabung dengan syarikat media The Daily Beast membentuk entiti baharu Newsweek Daily Beast Company selepas rundingan antara pemilik kedua-dua penerbitan.
Sejak itu, Ketua Pengarang The Daily Beast, Tina mula berkhidmat sebagai editor kedua-dua penerbitan dan ia dimiliki bersama oleh Harman dan American Internet Company IAC.
Sepanjang tempoh Tina menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pengarang Newsweek, beliau mengemudi majalah tersebut ke arah yang berbeza daripada mantan editor sebelumnya.
Bongkar kisah kontroversi
Jika sebelum ini, Jon Meacham memberi tumpuan sepenuhnya kepada politik dan hal ehwal dunia, Tina memberi nafas baharu dengan membawa tumpuan pembaca kepada peristiwa-peristiwa semasa bukan sahaja politik, perniagaan dan hal ehwal dunia.
Ketika hayatnya Newsweek tampil mengejutkan dunia dengan isu-isu yang penuh kontroversi.
Antaranya hasil tulisan Michael Isikoff yang merupakan wartawan pertama mendedahkan skandal Presiden Bill Clinton dengan Monica Lewinsky.
Newsweek juga menggegarkan dunia apabila melakukan pendedahan mengenai isu al-Quran dibuang ke dalam tandas di kem tahanan Guantanamo selain berita penyusupan wartawan Newsweek, Fareed Zakaria ketika mesyuarat rahsia Presiden George W. Bush semasa merancang menyerang Afghanistan dan Iraq.
Malah, Tina yang berjuang mengembalikan kegemilangan Newsweek juga pernah tampil dengan isu-isu muka depan sensasi yang membincangkan ketagihan seks dan menggelar Presiden Obama sebagai Presiden Gay Pertama.
Kini, Newsweek berada dalam lipatan sejarah selepas penerbitan edisi cetak terakhirnya.
Tina sendiri menyifatkan perubahan daripada media tradisional ke digital sebagai 'tunduk' dengan masa depan digital yang tidak dapat dielakkan.
"Anda tidak boleh mengubah era inovasi gangguan terbesar.
"Tiada seorang pun yang boleh mengundurkan atau menterbalikkan trend tersebut. Anda tidak boleh mengembalikan masa lalu dan melawan arus trend yang tidak dapat disekat," ujar Tina.
Sebagai simbolik, edisi 31 Disember 2012 tersebut menyiarkan foto arkib ibu pejabat Newsweek di New York dengan paparan tajuk, Last Print Issue.
Bermula 2013, pembaca tegar Newsweek boleh membaca majalah tersebut dalam versi digital sahaja kerana ia tidak lagi relevan untuk dicetak rentetan daripada ekonomi baharu industri media.
Edisi terakhir Newsweek memuatkan esei-esei daripada mantan-mantan editor dan alumni Newsweek berprofil tinggi serta sejarah lisan majalah yang panjang.
"Berbekalkan semangat baharu dan perubahan momentum ke arah medium digital, wajah terkini Newsweek bersedia memberikan perkembangan berita di dunia dalam wadah yang canggih kepada sidang pembaca," ujarnya.
Sumber: Kosmo
Malaysia ke arah digital 10 tahun lagi
KEMAJUAN ICT mungkin turut mengubah landskap pembacaan di Malaysia dalam 10 tahun lagi.
KEPESATAN Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ditambah pula dengan keghairahan majoriti masyarakat mendapatkan informasi terkini di hujung jari membuatkan dua naskhah hebat seperti ensiklopedia Britannica dan majalah berita mingguan kedua terbesar di Amerika Syarikat, Newsweek ditinggalkan pembacanya.
Kemerosotan pembaca menyebabkan dua naskhah yang pernah meniti zaman kegemilangan tersebut akur dan terpaksa keluar daripada 'kepompong' konvensional sekali gus membuka lembaran baharu mendekati pembaca melalui pendekatan digital.
Persoalannya, adakah nasib serupa akan menimpa majalah-majalah dan akhbar-akhbar di Malaysia?
Pensyarah Pusat Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr. Faridah Ibrahim tidak menafikan bahawa senario tersebut akan berlaku di Malaysia.
"Ya, kita akan mengalami nasib yang sama memandangkan generasi Y semakin ramai. Semua sedia maklum bahawa generasi baharu ini tidak gemar membaca akhbar kerana lebih cenderung mendapatkan segala informasi melalui media baharu," katanya.
Sungguhpun begitu katanya, perubahan berlaku daripada segi saluran komunikasi sahaja kerana pengisiannya tetap sama.
Bezanya, generasi Y lebih suka menggunakan medium saluran yang lebih mudah dan pantas kerana ia menjimatkan masa dan wang.
Ujarnya, walaupun berubah dari segi saluran, profesionalisme wartawan tetap sama, cuma mereka perlu lebih kreatif dan agresif mencari bahan-bahan berita untuk memikat selera generasi baharu.
"Usia generasi Y kini dalam lingkungan 35 tahun dan generasi lama pula dalam lingkungan umur 60 tahun. Dalam beberapa tahun mendatang bilangan generasi lama ini semakin merosot membuatkan generasi Y lebih dominan.
"Kemungkinan dalam tempoh 10 tahun lagi majalah dan akhbar-akhbar di Malaysia mengalami nasib yang sama dan akan menemui pembaca dalam format digital," ujarnya sambil memberitahu media cetak lebih sinonim dan lebih dekat dengan 'orang lama'.
Sumber: Kosmo
Mari kita imbas kembali terhadap apa yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Apabila televisyen dan radio menjadi fenomena dalam kalangan masyarakat sekitar 1950-an dan 60-an, ramai yang berpandangan televisyen bakal mengakibatkan surat khabar akan melalui liku-liku sukar kerana peranannya yang lebih menyeluruh.
Namun surat khabar masih kekal utuh bukan sahaja dalam menyampaikan maklumat bahkan menjadi teras dalam mencambah dan menyebar pemikiran rakyat. [Utusan]
0 comments:
Catat Ulasan