27 Januari 2013
Penyusuan Anak Angkat
Memberikan susu ibu kepada anak angkat bukanlah semata-mata untuk menjadikan anak itu muhrim kepada ibu bapa angkat tetapi lebih kepada memberikan makanan terbaik untuk bayi. - Gambar hiasan
Mencetuskan penyusuan ibu atau induce lactation bagi ibu angkat yang hendak menyusukan anak angkat bukanlah suatu perkara yang mudah kerana biasanya ibu-ibu ini tidak pernah hamil atau tidak pernah melahirkan anak.
Jadi proses pembentukan dan kematangan kelenjar mamari seperti yang dialami semasa proses kehamilan tidak pernah berlaku kepada ibu-ibu ini. Namun ini tidak boleh menjadi penghalang kepada ibu-ibu angkat berusaha menghasilkan susu ibu untuk diberikan kepada anak angkat mereka.
Memberikan susu ibu kepada anak angkat bukanlah semata-mata untuk menjadikan anak itu muhrim kepada ibu bapa angkat tetapi lebih kepada memberikan makanan terbaik untuk bayi. Susu ibu tetap yang terbaik berbanding susu formula.
Seperti yang dinyatakan oleh Dr. Jack Newman di dalam bukunya, The Ultimate Breastfeeding Book of Answers, susu formula bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Susu formula adalah pilihan keempat selepas susu perahan ibu dan susu ibu daripada ibu susuan.
Semasa kehamilan, badan wanita akan meningkatkan penghasilan hormon progesteron dan estrogen (dirembeskan oleh ovari) dan hormon prolaktin (dirembeskan oleh kelenjar pituitari) untuk menyediakan payudara bagi penyusuan ibu.
Di akhir kehamilan, aras hormon progesteron dan hormon estrogen akan menurun manakala aras hormon prolaktin akan bertambah untuk memulakan penghasilan dan pengeluaran susu ibu di payu dara.
Prosedur inilah yang cuba ditiru untuk membolehkan ibu-ibu yang tidak pernah hamil mengalami proses mencetuskan susu ibu di payu dara mereka. Apabila susu ibu sudah berjaya dihasilkan maka langkah seterusnya menjadi lebih mudah iaitu meningkatkan dan mengekalkan penghasilan susu ibu.
Pil perancang
Bilakah induce lactation harus bermula?
Sebaik-baiknya lebih awal bermula lebih baik hasil yang akan diperoleh dalam usaha mencetuskan susu ibu. Sebagai contoh, ibu boleh bermula enam bulan atau lebih awal sebaik sahaja mengambil keputusan menerima bayi angkat untuk menyediakan susu ibu kepada bakal bayinya.
Mencetuskan susu ibu ada empat fasa. Fasa satu adalah dengan memakan pil perancang dan Domperidone untuk membolehkan badan "meniru" proses pembentukan kelenjar mamari sebagaimana yang berlaku semasa proses kehamilan.
Fasa dua pula adalah menghentikan pil perancang tetapi teruskan Domperidone untuk mencetuskan penghasilan susu ibu. Fasa tiga adalah memerah susu untuk menggalakkan penghasilan dan pengeluaran susu ibu dan fasa empat dengan memberi bayi menyusu terus daripada payudara ibu untuk meningkatkan rangsangan ke atas payudara bagi menggalakkan penghasilan lebih banyak susu.
Nasihat
Nasihat kepada ibu (ibu angkat) ialah susu ibu tetap makanan terbaik bagi bayi baru lahir. Sebaik-baiknya susukan bayi sekurang-kurang selama enam bulan pertama hayatnya, ibu harus berfikiran positif, cekal, sabar dan mempunyai keyakinan yang tinggi untuk berjaya mencetuskan susu ibu.
Penghasilan susu ibu bergantung kepada tindak balas hormon dan rembesan hormon bergantung kepada "arahan" daripada otak. Jadi didiklah otak supaya mahu bekerjasama dengan kita untuk menghasilkan susu ibu yang mencukupi untuk bayi anda.
Latih bayi menyusu terus daripada payu dara ibu untuk meningkatkan rangsangan bagi menghasilkan lebih banyak susu. Jika perlu alat SNS (rujuk rajah di bawah) boleh digunakan. Jangan sesekali memperkenalkan puting tiruan kepada bayi.
Walaupun ketika susu ibu masih belum mencukupi dan ibu terpaksa memberi susu formula kepada bayi, gunakan sudu atau cawan kecil bagi mengelak bayi keliru puting. Jika masalah keliru puting berlaku lebih sukar memujuk bayi menyusu daripada payu dara ibu. Kesannya payu dara kurang dirangsang maka penghasilan susu akan berkurangan.
Dapatkan nasihat doktor dan pakar laktasi untuk membincangkan penggunaan pil dan ubat-ubatan di atas. Kenal pasti juga kesan sampingan yang mungkin berlaku dengan penggunaan ubat-ubatan tersebut.
Hukum
Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa menggunakan ubat atau suntikan untuk merangsang pengeluaran susu badan adalah harus dengan syarat seorang wanita telah mencapai umur baligh sama ada berkahwin atau sebaliknya dan ubat atau hormon yang digunakan tidak mengandungi sebarang unsur najis atau mudarat. Keharusan ini tidak tertakluk bagi seorang lelaki yang berubah menjadi wanita melalui pertukaran jantina.
Jumhur fuqaha' juga sepakat bahawa terdapat dua kaedah penyusuan bagi menjadikan bayi mahram dengan sebab susuan, iaitu penyusuan secara langsung daripada payudara dan secara tidak langsung menggunakan tiub, botol susu dan sebagainya.
Sehubungan itu, bagi wanita yang menggunakan alat sokongan atau alat bantuan sebagai kaedah menyusukan bayi, Muzakarah memutuskan bahawa bayi tersebut sah sebagai anak susuan apabila cukup syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak seperti berikut:
(i) Bilangan susuan hendaklah dengan lima kali penyusuan.
(ii) Susu yang dihisap mestilah sampai ke perut bayi.
(iii) Umur bayi tidak melebihi dua tahun mengikut perkiraan bulan qamariah.
Hujah thabitan ini kerana susu ibu tersebut telah menjadi makanan asasi kepada bayi yang menumbuhkan daging dan memanjangkan tulang, sama seperti bayi yang menyusu secara terus daripada payu dara.
Bagaimanapun, sekiranya kaedah yang dilakukan adalah dengan cara menyuntik susu melalui qubul atau dubur, menitik susu ke dalam mata, telinga atau di tempat luka tubuh badan, maka bayi tersebut tidak sah sebagai anak susuan.
Muzakarah juga memutuskan wanita beragama Islam tidak dilarang menyusukan bayi bukan Islam dan begitu juga bayi beragama Islam boleh menyusu kepada wanita bukan Islam kerana tidak ada nas syarak yang melarangnya. Penyusuan tersebut tidak memberi kesan kepada akidah dan agama bayi yang disusukan tersebut.
Muzakarah juga memutuskan susu ibu yang bercampur dengan bahan-bahan lain adalah sama seperti susu ibu yang tidak bercampur dengan makanan, minuman atau lainnya sepertimana pendapat yang rajih daripada ulama' mazhab Shafie dan Hambali, kerana untuk sah atau sabit menjadi anak susuan perlu memenuhi syarat-syarat penyusuan yang ditetapkan oleh Syarak.
Lelaki yang mengahwini wanita yang menyusukan bayi angkat dan bayi tersebut sah menjadi anak susuan, maka Muzakarah memutuskan suami kepada wanita berkenaan adalah menjadi mahram kepada anak susuan tersebut.
Oleh Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain
Sumber: Utusan
Labels:
Indahnya Islam,
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
3 comments:
susu ibu adalah yang terbaik...
sunbanaAllah , artikel yg menarik , nice sharing
bukan semua org sanggup jadi ibu susuan ni . papepun , susu ibu tiada tandingannye ;)
Catat Ulasan