28 Januari 2013

Pro dan Kontra Pakir Khas Wanita


Keperluan mempertingkatkan keselamatan di pusat beli-belah sebaiknya diutamakan.

'Tempat letak kereta wanita (Hanya Pemandu Wanita Tanpa Penumpang)'. Itu tertera pada ada lot pakir, di pusat beli-belah Suria (KLCC) yang dikhaskan untuk pemandu wanita, sejak beberapa minggu lalu.

Selain KLCC, ada beberapa pusat-belah di ibu kota juga sudah mengambil inisiatif sama menyediakan puluhan lot berwarna merah jambu untuk kemudahan wanita.

Penyediaan parkir wanita ini dianggap satu lagi pengiktirafan pihak tertentu terhadap kepentingan perempuan. Sebelum ini, kerajaan menyediakan koc kereta api khas untuk wanita, teksi wanita dan bas wanita (RapidKL). Semua itu ternyata memberi kemudahan kepada wanita dalam urusan seharian selain membantu mengurangkan kadar jenayah.


Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mengumumkan pusat beli-belah di ibu negara wajib menyediakan ruang letak kereta khusus untuk wanita yang memandu sendirian. Malah, pihak kementerian menekankan sekurang-kurangnya tujuh peratus kawasan letak kereta di sesuatu lokasi perlu disediakan khusus untuk wanita.

Tidak setakat itu, pemilik bangunan juga perlu melengkapkan kawasan itu dengan ciri keselamatan seperti butang panik, lampu yang lebih cerah, akses sekuriti dan berdekatan pintu masuk.

Sepuluh tahun yang lalu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengeluarkan arahan semua pusat beli-belah di negara ini memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan sesuatu kejadian dikesan di kawasan parkir. arahan ini adalah berikutan kes pembunuhan Canny Ong Lay Kian pada tahun 2013 yang diculik di lot parkir sebuah pusat membeli belah.

Inisiatif KLCC

Menyedari hakikat keselamatan pengguna amat penting, pusat beli-belah Suria KLCC menyahut seruan tersebut dengan menyediakan kemudahan parkir khusus untuk wanita. Rata-rata golongan wanita memuji langkah pihak Suria KLCC kerana menjamin keselamatan kepada kaum Hawa yang mengunjungi pusat beli-belah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC, Andrew Brien berkata, parkir khas itu terletak di aras P2 sahaja.

Menurutnya, sebagai panduan pemandu, golongan wanita boleh mengenal pasti lot khas itu dengan mudah kerana terdapat logo wanita di dinding dan lantai kawasan tempat letak kereta pula berwarna merah jambu.

Ketika ditanya mengenai syarat lain untuk memarkir di situ beliau memberitahu, ia sebenarnya dikhaskan untuk wanita yang datang secara berseorangan sahaja.

“Kita tidak menggalakkan mereka yang ditemani pasangan atau rakan-rakan. Ia hanya untuk wanita yang mengunjungi pusat ini secara bersendirian,” katanya sambil memberitahu terdapat 142 lot parkir untuk wanita di situ.

Menurutnya, ia terletak berhampiran pintu masuk eskalator dan lif Suria KLCC. Kesemua tempat letak kereta wanita itu di bawah pengawasan keselamatan, malah pegawai keselamatan di situ juga akan memastikan parkir tersebut tidak disalahgunakan oleh pemandu lain.

Kawasan letak kereta wanita itu juga dilengkapi beberapa 'Help Points'(panduan) dan kamera litar tertutup (CCTV). Zon khas itu diterangi lampu secukupnya dan kawalan keselamatan 24 jam.

Sementara itu, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup menjelaskan, mengikut garis panduan pengeluaran lesen perniagaan kini, semua pemilik bangunan komersial terutama pasar raya wajib menyediakan unit parkir khas untuk wanita.

Mengulas mengenai perkara itu, beliau memberitahu sebelum sesuatu pembinaaan bangunan dijalankan, mereka perlu menyediakan ruang khas itu, manakala bangunan sedia ada pula tidak terkecuali untuk berbuat demikian.

“Jika mereka ingkar, lesen mereka tidak akan diperbaharui dan pembinaan bangunan baharu pula tidak akan diluluskan,” tegasnya ketika dihubungi baru-baru ini.


BAGI meningkatkan tahap keselamatan di parkir merah jambu, kekerapan pegawai keselamatan meronda turut dipertingkatkan.

LAMPU PENUNJUK

Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Property Holdings Berhad, Hashim Wahir, mengakui bukan mudah untuk menjamin keselamatan pengunjung sepenuhnya, tetapi mereka akan tetap berusaha menyediakan kemudahan paling praktikal yang mengambil kira keselamatan wanita.

Hashim berharap agar pemandu wanita dapat memanfaatkan sepenuhnya kemudahan khas yang disediakan KLCC itu.

'Ada lampu penunjuk disediakan untuk memberitahu orang ramai sama ada zon parkir itu penuh atau ada yang belum diisi," katanya sambil menjelaskan bahawa ia turut memaparkan maklumat jumlah petak parkir yang masih kosong di setiap pintu masuk.

"Lampu penunjuk akan berwarna jika petak parkir telah diisi dan petak yang masih kosong akan ditunjukkan dengan warna hijau. Petak OKU yang kosong pula akan ditunjukkan dengan warna biru," jelas Hashim.

Kurang sesuai

Penyediaan tempat meletakkan kereta khas untuk wanita ini memberikan pelbagai reaksi pro dan kontra di segi keberkesanan impak. Malah, tindakan itu memperlihatkan wujud diskriminasi dengan golongan lain, selain antara strategi menggalakkan wanita mengunjungi pusat beli-belah untuk berbelanja.

Bagi aktivis keselamatan, K Balasupramaniam, berpendapat lot pakir khas untuk wanita kurang sesuai dilaksanakan di pusat-belah kerana ia menyediakan ratusan premis di bawah satu bumbung untuk pelbagai peringkat usia dan jantina.

Katanya, lebih elok sekiranya keseluruhan lot pakir ‘mendapat kesamarataan’ iaitu menyediakan persekitaran selamat, terang dan tidak dibeza-bezakan antara jantina. Katanya, apatah lagi pakir menjadi isu yang sangat genting di ibu kota.

“Majoriti berkunjung ke pusat beli-belah adalah wanita. Bagaimana untuk membezakan wanita yang berhak mendapat lot berkenaan? Antara syarat yang mendapat ‘hak’ parkir pula adalah pemandu wanita tanpa penumpang.

Sebenarnya, berbanding wanita bujang, wanita beranak tiga (penumpang) lebih cenderung menjadi sasaran penjenayah. Ini kerana, sudah tentu wanita beranak tiga itu lebih ‘lemah’ berbanding wanita bujang yang pantas berlari untuk menyelamatkan diri,” katanya mengulas mengenai keberkesanan pakir wanita di beberapa pusat beli-belah di ibu kota.

Negara maju tiada

Kata Balasupramaniam, banyak negara menyediakan lot khas untuk wanita, tetapi hingga kini tiada kajian dilakukan lot parkir khas khusus wanita boleh mengurangkan kadar jenayah, khususnya kes ragut terhadap wanita.

“Pada pandangan saya, ia hanya mengelirukan pengguna. Sebagai contoh, pasangan suami isteri tua. Adakah mereka boleh meletakkan kenderaan di situ? Antara pasangan tua ini dengan wanita muda, sudah tentulah pasangan tua itu lebih mudah dijadikan sasaran penjenayah,” katanya.

Kebanyakan negara maju tidak menyediakan lot pakir untuk wanita, sebaliknya memberi keutamaan kepada keselesaan pengunjung dan memberi hak sama rata khusus kepada ahli keluarga.

“Keutamaan membenarkan pengguna meletakkan kenderaan untuk tempoh kurang 15 minit, semata-mata menurunkan penumpang atau mengambil penumpang. Pelanggan yang sakit, tua atau kecil lebih mudah turun dan naik, tanpa perlu berjalan ke tempat pakir.

Kaedah ini lebih selesa dan kadar jenayah di premis seperti itu tidak terlalu tinggi,” katanya yang turut menyarankan kajian lebih terperinci untuk mempertingkatkan keselamatan di premis masing-masing secara lebih menyeluruh.

Kajian mendalam

Presiden Persatuan Pelancongan BB-KLCC, Joyce Yap bersetuju supaya kajian mendalam dilakukan terhadap implikasi pakir khas untuk wanita.

Katanya, kalau perkhidmatan lain seperti teksi atau bas, ia jelas membantu tetapi mengenai tempat meletakkan kenderaan itu kurang pasti implikasinya.

“Beberapa pusat beli-belah ada menyediakan lot wanita, tetapi ia bagaikan satu ‘simbol’ saja kerana tidak dihebahkan mengenai timbal balasnya pusat beli-belah terbabit.

“Dua persoalannya, adakah dengan mengasingkan lot ini boleh meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dan bagaimana pula pihak pengurusan ‘membezakan’ pelanggannya sebagai wanita tunggal?

Kerana pelbagai taktik boleh dilakukan termasuk menurunkan penumpang terlebih dulu sebelum meletakkan kenderaan di lot berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata dari satu segi ia memudahkan wanita tetapi bagaimana ‘nasib’ keluarga besar yang perlu membawa orang tua atau anak kecil.

Katanya, mencari parkir terutama pada hujung minggu atau cuti umum memang mencabar dan memerlukan kesabaran.

“Dari satu segi ia kelihatan tidak adil kerana pusat beli-belah terbuka kepada sesiapa saja. Sasaran penjenayah memang kepada wanita, tetapi lelaki juga tidak terkecuali,” katanya.

Mohd Yusof berkata, kunci utama adalah memastikan semua premis menekankan aspek keselamatan dengan menyediakan pengawal keselamatan, terang, dan tidak sunyi,” katanya

INFO : Kemudahan awam untuk wanita

Malaysia

* 2010 - RapidKL memulakan tempoh percubaan perkhidmatan bas untuk wanita dikenali sebagai Rapid Bas Wanita. Sebagai tambahan kepada operasi biasa syarikat itu dan menyediakan perkhidmatan berbaloi kepada orang awam.

* 2010 - Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM) menyediakan koc khusus untuk wanita. Menerima sambutan menggalakkan daripada wanita kerana Komuter sering mengalami kesesakan pada waktu puncak.

* 2011 - Teksi khas wanita untuk kemudahan wanita. Tiga syarikat mengikuti program ini ialah Destination Transport, Zalnas Sdn Bhd serta Koperasi Pengangkutan Putrajaya dan Cyberjaya.

* 2012 - Hospital khusus untuk wanita dan kanak-kanak yang akan dibina di Kuala Lumpur melalui perkongsian awam dan swasta dengan kos RM700 juta.

Jakarta
* Beberapa pusat perbelanjaan di Jakarta, Surabaya, Bandung dilengkapi dengan ruang parkir bagi wanita, antaranya di Mall Pondok Indah dan Plaza Senayan.

China
* Pakir wanita disediakan di sebuah pusat membeli-belah di Tianjin. Ia dilakukan sebagai strategi menarik pelanggan ke situ.

Korea Selatan
* Pada 2009, kerajaan tempatan mewarnakan 4,929 lot parkir dengan merah jambu. Wanita tidak perlu bersusah payah berjalan jauh. Tidak ada masalah mengenakan kasut tinggi.

Sumber: 
Artikel 1 Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof ~ BHarian
Artikel 2 Oleh SUHANA VERU ~  Kosmo
Artikel 3 Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali ~ Bernama

2 comments:

MyFreeMinded berkata...

Kalau ikutkan bagus lah diadakan khas parkir untuk wanita tapi kan lagi bagus kalau tingkatkan lagi keselamatan di semua parkir kereta. Rasanya lah ada benar jugak kata En Balasupramaniam tu.. :)

mira_nas berkata...

huu.. bagus memang bagus.. tapi tetap ada risiko la..