09 Januari 2013
Sindrom Stockholm
MENGURUS mangsa trauma disebabkan keganasan fizikal atau emosi amat mencabar terutama melibatkan hal-ehwal perundangan seperti soal-siasat dan pendakwaan di mahkamah.
Ini kerana ada mangsa bersimpati kepada penjenayah dan enggan bekerjasama. Fenomena ini dipanggil Stockholm Syndrome. Nama ini diambil selepas satu rompakan bank di bandar raya Stockholm, Sweden pada 1973.
Dalam kejadian itu, dua orang perompak bersenjata merompak sebuah bank dan menahan empat tebusan selama enam hari. Operasi menyelamat dilakukan pada hari keenam. Malangnya ada tebusan cuba bertindak menyelamatkan perompak tersebut walaupun setelah mereka menyerah diri.
Ketika mangsa ditanya bagaimanakah keadaan mereka semasa ditawan, mereka memberi jawapan yang mengejutkan. Dua daripada tebusan tersebut mengatakan bahawa perompak itu bukanlah seorang yang jahat.
Perompak memberi mereka makanan, membenarkan mereka tidur dan yang paling penting tidak membunuh mereka.
Tebusan tidak memberikan kerjasama semasa siasatan dijalankan, malah mereka kemudiannya mengutip derma untuk membantu membiaya kos pembelaan di mahkamah.
Sindrom Stockholm juga pernah dilaporkan berlaku dalam kes berprofil tinggi lain.
Antaranya kes penculikan dan rampasan kapal terbang. Walaupun ada di antara kes tersebut melibatkan pembunuhan tetapi bagi sesetengah mangsa yang terselamat, mereka bersimpati kepada penjenayah.
Ada juga mangsa menyanjung tinggi hubungan mereka dengan penjenayah yang kemudiannya berakhir dengan persahabatan atau perkahwinan.
Menurut kajian Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) ke atas 1,200 kes penculikan yang pernah berlaku, lapan peratus mangsa memang menunjukkan tanda-tanda sindrom ini.
Majoritinya iaitu 92 peratus adalah normal dan memilih untuk membantu mempermudahkan siasatan.
Situasi hidup atau mati
Sindrom Stockholm berlaku apabila mangsa menyangka tindakan penjenayah tidak membunuh atau mencederakan mereka sebagai tindakan mulia.
Sindrom ini biasanya melibatkan situasi hidup atau mati. Contohnya jika penjenayah mengacukan senjata api ke arah kepala mangsa dan diugut tembak.
Ini menimbulkan perasaan takut teramat sangat. Sekiranya terselamat, perasaan ini akan bertukar pula kepada terhutang nyawa.
Sindrom ini akan menjadi lebih serius jika mangsa mempunyai perasaan marah kepada pihak berkuasa kerana tidak diselamatkan lebih awal.
Sindrom Stockholm juga berlaku dalam kes keganasan rumahtangga. Contohnya, kita pelik kenapa ada mangsa sanggup dipukul dan tinggal serumah dengan orang yang mendera mereka selama bertahun-tahun?
Malah, mangsa keganasan rumah tangga mengatakan bahawa merekalah punca keganasan berlaku. Mereka tidak nampak keganasan sebagai satu masalah, apatah lagi hendak melaporkan kejadian tersebut.
Ada pendapat mengatakan mangsa telah kena 'brainwash'. Ia mungkin betul. Tetapi kesan kecederaan membuktikan penderitaan sebenar mangsa.
Kita tahu pemangsa tidak berhati perut. Tidak ada alasan untuk mangsa bersimpati.
Merawat brainwash
Perunding tebusan melihat sindrom ini mampu memanjangkan nyawa tebusan. Sekiranya proses tawar-menawar gagal, perunding biasanya akan membuat beberapa teknik bertujuan merangsang pembentukan sindrom di antara tebusan dan penjenayah.
Mangsa Sindrom Stockholm akan menunjukkan tanda penyakit seakan-akan 'post traumatic stress disorder'.
Antaranya perasaan berdebar-debar, mimpi ngeri dan hypervigilance. Mangsa kelihatan takut dan teragak-agak.
Mereka tidak mampu membuat keputusan sendiri. Ini kerana, walaupun telah bebas, mangsa menyangka mereka masih bergantung nasib kepada penjenayah.
Ini membuktikan pentingnya mangsa menjalani penilaian pakar psikologi selepas diselamatkan.
Kewujudan Sindrom Stockholm menunjukkan mangsa telah mengalami pengalaman sangat mengerikan. Ini sudah cukup membuktikan bahawa kekejaman telah berlaku.
Mangsa perlu menjalani proses membersihkan minda (brainwash) semula. Minda mereka perlu lebih difokuskan kepada kekejaman yang telah dilakukan oleh penjenayah berbanding kebaikan mereka.
Atau dengan kata lain, mangsa perlu mengutamakan kebajikan diri sendiri terlebih dahulu sebelum memikirkan nasib penjenayah yang telah ditangkap.
Bagi mereka yang telah didera di rumah pula, tidak perlu menunggu diri anda diselamatkan oleh perunding tebusan.
Kumpulkan segala kekuatan yang ada untuk keluar dari situasi yang tidak berperikemanusiaan tersebut.
Sumber: Utusan
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 comments:
deno pernah baca ni dalam surat khabar.. bahaya juga kan kalau kena mcm ni sbb nanti tak pasal2 penjenayah terlepas
Catat Ulasan