Nuff Atas

25 Februari 2013

Hari Kraf Kebangsaan 2013


Peluang Lihat Kemajuan Kraftangan Di Hari Kraf Kebangsaan 2013

Selama 13 hari bermula 27 Februari 2013, peminat kraftangan serta pelancong berpeluang menyaksikan kehebatan seni kraftangan negara sepanjang berlangsungnya sambutan Hari Kraf Kebangsaan 2013.

Acara tahunan ini anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) akan diadakan di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Jalan Conlay.

Matlamat utama penganjuran Hari Kraf Kebangsaan ke-11 ini adalah untuk memberi pengiktirafan kepada pembabitan serta sumbangan usahawan dan penggiat kraf dalam membangunkan industri kraf negara.

Ia juga berperanan sebagai medan untuk mempertemukan pengusaha kraf tempatan dengan pedagang dari dalam dan luar negara.




DEFINISI KRAF

Kraf adalah "Keluaran Kraftangan" ertinya apa-apa keluaran artistik yang mempunyai daya tarikan kebudayaan atau tradisional dan adalah hasil dari sesuatu proses yang bergantung semata-mata atau sebahagiannya kepada kemahiran tangan dan termasuklah apa-apa keluaran batik; dan "keluaran batik" ertinya apa-apa barang, walau bagaimanapun dihasilkan, yang mempunyai rekabentuk batik pada atau di mana-mana bahagiannya. [kraftangan.gov.my / Akta 222-Akta perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia 1979]

MAJLIS PERASMIAN

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah juga dimaklumkan telah berkenan untuk menyempurnakan majlis perasmian Hari Kraf Kebangsaan 2013 pada 4 Mac 2013 depan. Majlis perasmian dijadual berlangsung di Panggung Sari, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Sempena majlis perasmian, Kraftangan Malaysia turut memberi pengiktirafan kepada usahawan kraf tempatan yang banyak memberi sumbangan dalam usaha memulih, memelihara dan memartabatkan seni kraf warisan.

Seramai 10 orang usahawan akan dipilih untuk menerima Anugerah Tukang Ulung. Mereka yang berjaya akan menerima wang bernilai RM10 ribu, sijil dan plak penghargaan.

Kraftangan Malaysia juga tidak ketinggalan akan memberi pengiktirafan di majlis yang sama kepada pusat beli belah yang kerap menghulurkan kerjasama semasa penganjuran dan aktiviti Promosi Kraf Malaysia.

IMPAK POSITIF

Sejak dianjurkan pada 2003, Hari Kraf Kebangsaan telah memberi kesan positif kepada usahawan dan industri kraf negara.

Ianya juga adalah peluang terbaik untuk masyarakat umum khususnya melihat sendiri perkembangan serta kemajuan yang dicapai oleh industri kraftangan tempatan.

Dan menyentuh mengenai pencapaian industri kraf Malaysia, angka jualan yang dicatatkan sepanjang 10 kali penganjuran Hari Kraf Kebangsaan sebelum ini menunjukkan industri kraf negara berada dalam kedudukan yang boleh dibanggakan.

Edisi terulung mencatatkan jualan bernilai RM320,000 sahaja dengan 110 peserta dan dengan peredaran masa berlaku peningkatan ketara dalam angka jualan dengan edisi terakhir pada 2012 mencatatkan jualan RM23.73 juta dengan 500 peserta, yang tertinggi sehingga ini.

Dan bagi edisi ke 11, Kraftangan Malaysia mengunjurkan angka jualan mencecah RM30 juta dengan penyertaan tidak kurang daripada 500 orang peserta.

ACARA YANG DISUSUN

Melihat kepada senarai aktiviti yang bakal diadakan sepanjang berlangsungnya Hari Kraf Kebangsaan 2013, peminat kraftangan dan juga pelancong sudah tentunya akan pulang dengan hati yang puas.

Cuma yang diperlukan adalah masa untuk meninjau semua kegiatan yang dijalankan serta dompet yang tebal sedikit untuk membeli belah.

Antara acara yang dijangka menarik perhatian ramai adalah aktiviti jualan produk kraf, pameran dan jualan produk kraf rekaan baru, produk kraf warisan, promosi khas produk seramik serta pameran seni ukiran kayu dalam seni bina.

Bagi acara pameran dan jualan produk kraf rekaan baru, ia akan diadakan di Laman Plaza dan laluan Seri Anjung.

Sebanyak 400 rekaan baru termasuk hasil rimba, seramik, logam dan tekstil akan dipamer dan dijual.

Di bawah kategori produk kraf warisan, pameran ini menekankan tema 'Seni Kraf Seramik', tempaan bersadur berkonsepkan penghayatan terhadap perkembangan teknologi pembuatan seni kraf seramik tradisional dan moden di Malaysia.

Pameran ini membabitkan kerjasama antaranya dengan Jabatan Muzium Malaysia, Muzium-Muzium Negeri, Penggiat Seni, Usahawan Kraf di samping Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

PRODUK ANUGERAH CEMERLANG

Turut dijangka mendapat sambutan adalah pameran galeri seni ukiran kayu serta pameran produk yang mendapat pengiktirafan UNESCO Award of Excellence for Handicrafts (Anugerah Cemerlang Kraftangan Pertubuhan Pendidikan, Keilmuan dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu).

Ia akan mempamerkan sebanyak 80 produk kraf dari Indonesia, Kemboja, Thailand, Laos, Vietnam, Filipina, India, Bangladesh, Sri Lanka dan negara tuan rumah sendiri.

ACARA DEMONSTRASI

Di samping jualan produk kraf, Kraftangan Malaysia juga telah mengatur acara demonstrasi kraf tempatan sepanjang acara Hari Kraf Kebangsaan berlangsung.

Ianya bertujuan memberi pendedahan dan maklumat kepada pengunjung mengenai cara-cara menghasilkan produk kraf tempatan.

Antara acara demonstrasi yang sudah disusun termasuk anyaman mengkuang, ukiran kayu (ulu keris), ukiran kayu (topeng) dan anyaman rotan (pembuatan beg).

Bagi pembuatan logam pula, para pengunjung berkesempatan melihat sendiri demonstrasi membuat logam perak (teknik pahat atas permukaan), aksesori logam perak dan barang kemas (termasuk khidmat mencuci) serta aksesori suku kaum di Sarawak.

MAKANAN TEMPATAN

Mungkin tidak lengkap jika tidak disediakan juadah tempatan sepanjang berlangsungnya Hari Kraf Kebangsaan 2013 ini.

Justeru pihak Kraftangan Malaysia menyertakan sama demostrasi pembuatan pelbagai kuih tradisional.

Ianya termasuk beberapa jenis makanan dari Kelantan termasuk kuih tepung boko beras, kuih putu halba, pulut pagi dan nasi tumpang.

Dari Langkawi, demonstrasi yang dijadualkan adalah untuk putu beras, kuih bahulu dan kuih karas.

Beberapa makanan lain termasuk murtabak Mekasar (Pahang), lemang dan rendang (Negeri Sembilan), kuih ros dan abuk-abuk (Melaka), cakar ayam sarang burung dan telor pindang (Johor) serta vaddeh, masalode dan maruku (Selangor).

ACARA-ACARA LAIN

Kraftangan Malaysia turut menganjurkan Pertandingan Produk Kraf 2013 yang mensasarkan kepada usahawan kraf acara tahun ini.

Produk kraf yang menyertai pertandingan ini akan dinilai daripada segi keaslian, inovasi, pasaran, pemilihan bahan, mesra alam (kemasan) dan persembahan serta pembungkusan.

Hari Kraf Kebangsaan ke-11 ini turut diserikan dengan acara peragaan fesyen tekstil yang dijadualkan berlangsung pada 8 Mac 2013.

Aktiviti ini bertujuan menggalakkan penggunaan kraf tekstil Malaysia iaitu batik.

Ia juga bertujuan memberi pendedahan kepada penuntut IPTA dan IPTS khususnya mereka yang terbabit dalam bidang fesyen dan tekstil tentang kesesuaian pilihan kraf testil tempatan untuk digayakan.

Oleh Melati Mohd Ariff
Sumber: BERNAMA

2 comments:

Mohd Ridzwan Abdullah berkata...

acara seumpama ni mmg bagus utk memelihara seni kraf kita...cuma generasi sekarang agak kurang minat dalam seni kraf ni...bukanlah semua tapi kebanyakkannya la...hehe

Kak Mahh berkata...

Akak suka melihat barangan kraf.