26 Februari 2013

Kids@Kepenggunaan Mendidik Pelajar Sekolah



MENYEDARI kepentingan pendedahan ilmu kepenggunaan kepada pelajar sekolah, kebanyakan sekolah hari ini telah mula mengajar ilmu kepenggunaan dan yang terbaharu Program Kids@Kepenggunaan telah pun dilancarkan.

Bertempat di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak, Baru Caves, Selangor, program tersebut yang dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilihat bertepatan dengan senario dunia hari ini yang menuntut generasi muda didedahkan dengan kesedaran berhubung isu kepenggunaan.

Program tersebut yang merupakan kerjasama antara KPDNKK dan Kementerian Pelajaran bertujuan memberi pendedahan berkaitan ilmu kepenggunaan dan gerak gempur cetak rompak kepada murid sekolah rendah.


Menurut Ismail Sabri, selari dengan usaha tersebut Kelab Pengguna Sekolah (KPS) dan Kelab Koperasi Sekolah telah ditubuhkan di sekolah-sekolah. Ia adalah sebagai pemangkin kepada pendidikan kepenggunaan dan keusahawan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Buat masa kini KPS masih belum ditubuhkan di peringkat sekolah rendah sedangkan terdapat 2,272 KPS telah diwujudkan di sekolah menengah di seluruh negara.

“Untuk itu, setiap sekolah rendah yang menubuhkan KPS akan diberi geran bantuan kewangan sebanyak RM500 dan ia tidak termasuk pelbagai program lain yang akan anjurkan bagi meningkatkan kesedaran dalam isu kepenggunaan seperti kuiz serta cabaran interaktif pengguna.


Si kecil pengguna bijak ~ Pameran mengenai produk-produk tiruan adalah antara aktiviti Program Kids@Penggunaan.

“"Saya percaya dengan penubuhan KPS di sekolah rendah, murid-murid akan lebih peka dengan perihal kepenggunaan dan tidak membesar sebagai seorang yang naif dalam isu ini," katanya ketika merasmikan program tersebut.

Tambah beliau, kesedaran mengenai isu kepenggunaan perlu ditanam dalam diri kanak-kanak agar mereka menolak sebarang unsur jenayah perdagangan.

Sebagai contoh, katanya, jenayah cetak rompak tidak akan berjaya dibendung selagi permintaan terhadapnya masih wujud dalam kalangan masyarakat yang memandang rendah tentang implikasi perbuatan berkenaan.

Ujar beliau lagi, penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi dan adalah penting untuk mendidik golongan kecil ini mengenai cetak rompak ataupun isu-isu berkaitan kepenggunaan kerana ia melibatkan moral dan undang-undang.

Dengan ini secara tidak langsung ia dapat mencapai matlamat mewujudkan kumpulan pengguna generasi baru yang bermaklumat, bijak dan bertanggungjawab dalam usaha mendidik mereka berkaitan kepentingan isu kepenggunaan.

Sementara itu menurut Guru Besar sekolah tersebut, Khasanah Ibrahim, langkah yang diambil oleh pihak KPDNKK melancarkan Program Kids@Penggunaan di peringkat sekolah rendah amat membanggakan dan selari dengan falsafah pendidikan negara untuk melahirkan murid-murid yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Sesungguhnya kesedaran ini sangat perlu sebagai satu suntikan baharu di peringkat sekolah rendah bagi menanam sikap positif terhadap kesan cetak rompak dalam kehidupan seharian.

“Secara tidak langsung dengan adanya Kids@kepenggunaan ini ia dapat memberi kesedaran di peringkat awal tentang keburukan kegiatan cetak rompak dan barangan tiruan seterusnya melahirkan generasi pemimpin cilik yang sedar akan kepentingan bersama.

“Salah satu cabang ilmu pengetahuan yang perlu dipelajari sejak di peringkat bangku sekolah rendah lagi ialah ilmu kepenggunaan.

“Ilmu ini merupakan asas paling penting yang berupaya meningkatkan tahap perlindungan kendiri daripada pelbagai bentuk penipuan dan menentukan kesejahteraan sosioekonomi negara pada masa akan datang.

“Kami pihak sekolah difahamkan melalui program ini semua murid diberi pendedahan asas kepenggunaan dan cetak rompak seperti hak-hak pengguna, tanggungjawab pengguna, kesan penggunaan barangan cetak rompak dan barangan tiruan," katanya lagi.

Melalui program tersebut murid-murid juga berpeluang mendengar nasihat yang sangat berguna daripada pihak yang bertanggungjawab.

Pelaksanaan program dan aktiviti yang menggunakan pendekatan secara santai dan informatif sebegini dapat menarik minat golongan muda mendalami ilmu kepenggunaan agar matlamat untuk melahirkan pengguna cilik yang celik dan bijak akan terlaksana.

Harapan Khasanah agar program tersebut menjadi titik tolak dan menarik minat murid-murid untuk mendalami ilmu kepenggunaan.

Beliau juga berharap ilmu yang diperoleh akan berterusan dan turut dikongsi bersama.

Adalah menjadi harapan agar semua program Kids@ Kepenggunaan ini akan diperluaskan ke seluruh negara dan pelancaran di Sekolah Kebangsaan Taman Seri Gombak itu merupakan pelancaran kedua selepas Sekolah Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur, pada November 2012 lalu.

Oleh Mariatul Qatiah Zakaria
Sumber: Utusan

Dedah pelajar kepada isu pengguna

Program celik kesedaran mengenai hak kepenggunaan untuk golongan kanak-kanak, Kids@Kepenggunaan, diteruskan dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar 32, Bera menjadi tuan rumah dalam majlis yang akan berlangsung 24 Februari 2013.

Pengurus program, Leny Harlina Agus Sharif berkata, Kid@Kepenggunaan menggunakan pendekatan santai dan informatif sebagai pemangkin kepada pendidikan kepenggunaan dan keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah.

“Matlamat utama program ini diadakan di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara adalah untuk memberi kesedaran kepada pengguna mendapat pembelaan jika ditipu,” katanya.

Program Kids@Kepenggunaan merupakan kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pelajaran.

Leny berkata, program itu diisi dengan pelbagai aktiviti seperti kuiz, ceramah kepenggunaan serta nasihat dan perkongsian pengalaman daripada artis-artis jemputan mengenai cetak rompak.

Sumber: Kosmo



Didik pelajar sekolah banteras cetak rompak

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan melaksanakan program Kids@Kepenggunaan bagi mendidik pelajar sekolah membanteras amalan cetak rompak dan menyerapkan kepentingan perlindungan harta intelek.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu merupakan kesinambungan Kempen Membanteras Cetak Rompak yang dianjurkan Bahagian Penguatkuasaan kementerian itu pada 2010.

Menurut beliau, pihaknya akan mengadakan siri jelajah ke sekolah sepanjang tahun ini bertujuan memberi pengetahuan kepada golongan tersebut mengenai keburukan cetak rompak.

"Program ini merupakan sokongan terhadap usaha kerajaan memperluaskan lagi perlindungan hak cipta ke atas karya dan hasil ciptaan pereka terbabit.

"Langkah itu dilihat dapat menangani masalah berkaitan cetak rompak pada peringkat akar umbi yang bermula dari peringkat sekolah," katanya ketika berucap merasmikan program Kids@Kepengggunaan 2013 Gerak Gempur Cetak Rompak.

Ismail Sabri berkata, program itu dilaksanakan secara interaktif dan disampaikan dengan cara mudah difahami untuk menimbulkan kesedaran terhadap keburukan kegiatan cetak rompak dan barangan tiruan.

Katanya, di peringkat sekolah akan diwujudkan Kelab Pengguna Sekolah (KPS) sebagai platform pendidikan kepenggunaan dengan menekan tiga prinsip utama iaitu pengurusan kewangan, pemakanan sihat dan pemuliharaan alam sekitar.

"Sehingga kini sebanyak 2,772 KPS telah ditubuhkan di sekolah menengah seluruh negara malah kementerian sangat menggalakkan sekolah rendah menubuhkan kelab itu," ujarnya.

Sumber: Utusan

0 comments: