24 Februari 2013

Permata Hati Berbahasa Inggeris



Si Anak Vs Si Bapa Berbahasa Inggeris

Anak-anak lelaki saya yang berumur 14 dan 11 tahun begitu lancar berbahasa Inggeris kerana mereka berdua sering mempraktikkannya di setiap kesempatan.

Minat mereka terhadap Bahasa Inggeris bermula sejak mereka berusia 3 atau 4 tahun di mana mereka menunjukkan minat terhadap program VCD Magic English. Mereka menontonnya setiap hari tanpa jemu sehinggalah mereka mereka berusia 5 atau 6 tahun. Apabila mereka mula bersekolah mereka telah begitu bijak untuk memilih rancangan TV yang hendak ditonton.

Rancangan televisyen yang menjadi pilihan mereka adalah daripada saluran Disney Channel. Mereka menonton saluran tersebut dalam versi Bahasa Inggeris walaupun mereka mempunyai pilihan untuk menontonnya dalam Bahasa Melayu. Mereka memasang program tersebut dengan 'volume' yang agak tinggi barangkali dengan alasan untuk mengesan dialog dengan lebih jelas.

Di samping itu, mereka sering pula mencari maklumat daripada Wikipedia berbahasa Inggeris dan saling berbincang pula tentang bahan yang mereka baca dalam perbincangan bahasa Inggeris. Mereka beitu selesa sekali betutur alam bahasa tersebut.


Berbeza pula dengan saya. Saya bukanlah tidak padai berbahasa Inggeris, cuma tiak mahir menuturkannya. Puncanya adalah kerana tidak mempraktikkannya dalam komunikasi seharian.

Pembelajaran bahasa inggeris saya berterusan hingga kini. Jabatan tempat saya bekerja pula sering menganjurkan kursus Bahasa Inggeris, kononnya untuk meningkatkan kecekapan berkomuniksi dalam bahasa tersebut.

Amat menarik, sepanjang seminggu atau paling lama 2 minggu selepas menghadiri Kursus bahasa Inggeris, peserta kursus kedengaran menuturkan bahasa tersebut di mana-mana dengan nada penuh ceria. Perbualan mereka sering pula disulami dengan gelak ketawa kerana terasa lucu menuturkan bahasa yang bukan bahasa ibunda mereka dalam susunan ayat yang lintang pukang dan tonggang terbalik ....

Selepas 2 minggu maka situasi kembali normal sebagai mana asal atas faktor mudah dan pantas berkomunikasi, tiada kesilapan penyampaian maklumat dan arahan tugas dapat disampaikan secara serius tanpa gelak ketawa.

Tidak lama kursus Bahasa Inggeris Komunikasi sekali lagi akan dianjukan oleh Jabatan di tempat saya bekerja. Seluruh anggota badan tiba-tiba terasa lemah untuk menghadirinya. Dalam hati saya mula berkata "Sejarah pasti akan berulang .... "



Masa sesuai mengasuh anak mahir bahasa Inggeris

PROGRAM sitkom bercorak hiburan, Oh My English, antara medium yang berupaya memujuk dan mendorong masyarakat mempelajari serta mempraktikkan bahasa perantaraan dunia iaitu bahasa Inggeris.

Kebanyakan masyarakat dan anak di luar bandar mengalami masalah bertutur dalam bahasa inggeris berbanding masyarakat bandar yang sentiasa terdedah dan mempraktikkan bahasa inggeris sebagai bahasa utama.

Jurulatih Keibubapaan Malaysia Pertama dan pengasas organisasi sosial, Smartparents.com.my, Zaid Mohamad berkata, tidak rugi mempelajari bahasa Inggeris sebagai salah satu kemahiran berbahasa kerana berupaya meningkatkan nilai prestasi diri, mendedahkan anak dengan bahan bacaan lebih universal dan berkualiti.

Namun, mungkin ramai tertanya-tanya bagaimanakah caranya bagi ibu bapa dan masyarakat terutama di luar bandar memulakan langkah awal memperkenalkan bahasa inggeris kepada anak masing-masing.

Menyifatkan usia daripada peringkat bayi sehingga tiga tahun sebagai masa terbaik memperkenalkan bahasa inggeris kepada anak, Zaid berkata kanak-kanak mempunyai keupayaan menguasai kemahiran berbahasa yang menakjubkan.

Sejak dalam kandungan lagi, ibu bapa sudah boleh memulakan langkah melalui pembacaan kepada kandungannya dan diteruskan sehingga anak sudah mampu bertutur.

Mudah menyerap

Kanak-kanak usia tiga tahun mampu menyerap apa saja yang didengar dengan cepat dan jauh lebih baik daripada individu lebih dewasa. Mereka mampu memahami perkataan dan pertuturan dalam dua hingga tiga bahasa tanpa masalah, dengan kadar yang tinggi. Namun, kemahiran dan keupayaan ini akan berkurangan selepas umur kanak-kanak melebihi tiga tahun.

Apakah formula dan cara mengasah kemahiran berbahasa Inggeris, Zaid menjelaskan ibu bapa dan keluarga berperanan sebagai role model, asah kemahiran bertutur dan membina persekitaran berbahasa Inggeris.

Selain itu, dedahkan anak-anak dengan rancangan televisyen seperti kartun berbahasa Inggeris, Dora the Explorer dan Sesame Street. Malah, jika diperhatikan saluran televisyen berbayar, Astro Kids banyak memaparkan pilihan rancangan kanak-kanak dalam bahasa Inggeris.

Dunia semakin moden dan ibu bapa diberikan pelbagai pilihan program mendedahkan anak-anak dengan penguasaan berbahasa. Jangan lepaskan peluang mendidik anak sekecil usia tiga tahun kerana kapasitinya luar biasa dalam menguasai pelbagai bahasa.

"Dedahkan mereka kepada kemahiran berbahasa secara terancang, sistematik dan paling penting, menyeronokkan. Hapuskan perasaan takut dan malu, kerana bahasa hanya boleh dikuasai dengan baik jika diamalkan selalu," katanya ibu bapa kurang mahir berbahasa juga boleh berjaya mendidik anak mereka asalkan ada matlamat dan keinginan.

INFO: Panduan Praktikal Mahir Berbahasa Inggeris

* Mulakan sekarang! Lebih awal lebih baik terutamanya jika anak di bawah usia tiga tahun. Benarkan mereka menonton program yang sesuai, mendengar serta menyanyi lagu kanak-kanak. Jangan lupa, bacakan buku cerita bahasa Inggeris setiap malam.

* "One Parent, One Language". Salah seorang ibu atau bapa bertutur dalam bahasa berkenaan secara sepenuhnya, supaya anak dapat memahaminya secara sepenuhnya.

* Biarkan anak-anak mendengar orang lain berbahasa Inggeris - contohnya guru tadika dan jiran. Satu bonus jika untuk kita memilih tadika yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantara, atau mempunyai rakan atau jiran yang boleh bertutur bahasa Inggeris bagi mendedahkan anak kepada bunyi dan slanga bahasa berkenaan.

* Kepada anak yang lebih dewasa, ajarkan berfikir dalam bahasa Inggeris secara penuh, bukan hanya menterjemahkan sesuatu perkataan. Boleh adakan English Day, bertujuan menggalakkan pertuturan berbahasa Inggeris dengan baik. Cara ini boleh menghapuskan perasaan takut dan malu untuk berbahasa Inggeris.

* Jadikan pelajaran sebagai positif dan menyeronokkan. Anak kecil akan cepat belajar biarpun masih terpaksa memperbetulkan perbendaharaan kata (vocabulary) atau tatabahasa (grammar). Beri masa dan cari jalan kreatif mendedahkan minat anak-anak. Cuba cara melabelkan barang dalam bahasa Inggeris yang bersesuaian umur mereka. Ingat! Lebihkan galakan namun, kurangkan tekanan.

Oleh Nadia Hamid
Sumber: BHarian

2 comments:

Karen Monica berkata...

anak-anak kecil selalunya memang cepat belajar sesuatu yang baru :)

caliph shuriken berkata...

byk kelebihan klau mahir byk bahasa ^^