Nuff Atas

23 Februari 2013

Hindari Anak Dari Didera


PENDERAAN datang dalam pelbagai bentuk sama ada fizikal, mental, emosi atau seksual.- Gambar hiasan

KEJADIAN yang menimpa Mohamed Haneez Mohd. Zamri, bayi lelaki berusia empat bulan yang menjadi mangsa dera seorang pembantu rumah di Kuantan, Pahang, pada Jumaat 15 Februari 2013 amat mengejutkan semua pihak.

Bayi berkenaan yang dilambung sehingga lebam kaki dan tangannya oleh pembantu rumah warga Indonesia itu diketahui menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang disaksikan oleh ibunya, Nina Suraya Sulaiman.

Nina Suraya, masih dikatakan seorang ibu yang bernasib baik kerana dapat melihat penderaan yang dilakukan menerusi peralatan canggih sebelum akhirnya mengambil tindakan untuk menyelamatkan anaknya.

Namun bagaimana pula keadaan kanak-kanak malang yang didera dari segi fizikal dan emosi oleh si penjaga, pengasuh di tempat asuhan atau sesiapa sahaja secara senyap, terutama bagi anak-anak yang masih bayi mahupun berusia dua hingga tiga tahun yang belum pandai bercakap.



NINA SURAYA menyusukan bayinya, Mohamed Hareez.

Perkara seperti ini sepatutnya dijadikan iktibar oleh ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka di bawah penjagaan insan lain kerana peluang untuk anak-anak mereka didera adalah amat besar kemungkinannya.

Menurut Perunding Kardiologi Pediatrik, Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur, Dr. Azam Mohd. Nor, ibu bapa sebenarnya perlu mengambil berat mengenai hal ehwal anak-anak mereka terutamanya yang dihantar kepada pengasuh atau di bawah jagaan pengasuh.

Ibu bapa katanya perlu sentiasa berjaga-jaga dan mengambil perhatian terhadap sebarang perubahan yang berlaku terhadap anak-anak mereka, kerana tidak semua ibu bapa mempunyai perkhidmatan kamera litar tertutup (CCTV) di rumah dan di pusat asuhan.

‘‘Antaranya ialah kesan kecederaan yang terdapat pada anak-anak termasuk lebam, berdarah, calar dan sebagainya. Kesan kecederaan berbentuk fizikal boleh dilihat, tetapi yang sukar sekarang apabila deraan berbentuk emosi dilakukan oleh si penderanya," katanya.

Dalam hal ini kata Dr. Azam, antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh ibu bapa ialah keadaan kanak-kanak berkenaan sama ada berada dalam ketakutan, sentiasa mendiamkan diri mahupun berubah sikap menjadi murung secara tiba-tiba.

Begitu juga perhatikan sekiranya pada waktu tidur, anak-anak sering menangis atau mengigau, pastinya ada yang tidak kena dengan anak tersebut.

‘‘Bagi anak-anak kecil sekiranya mereka bertanya mengenai hubungan seksual mahupun alat sulit, biarpun mereka tidak didedahkan sebelum ini, ibu bapa juga perlu berhati-hati dengan keadaan ini kerana dikhuatiri anak-anak ini didera secara seksual dan menjadikan mereka sensitif dengan keadaan ini.

‘‘Ibu bapa adalah insan yang paling rapat dengan anak-anak. Sudah sepatutnya mereka dapat menilai perubahan dan tingkah laku anak-anak.

‘‘Namun malangnya, ada ibu bapa yang tidak mengambil peduli dengan apa yang hendak ‘disampaikan’ oleh anak-anaknya atau ‘petunjuk’ yang cuba diberi oleh anak-anak," katanya.

Dr. Azam menambah, ibu bapa perlu prihatin sekiranya anak-anak kecil mereka kelihatan amat takut dan enggan memasuki ke rumah pengasuh mereka biarpun dipujuk banyak kali.

‘‘Mungkin pada hari pertama katanya, anak-anak ini mahu berada di bawah jagaan si pengasuh namun setelah beberapa hari keadaan anak menjadi agresif dan enggan bersama pengasuh, ini juga patut diberi perhatian.

‘‘Mungkin anak-anak ini tidak didera oleh pengasuh, namun didera oleh anak-anak jagaan pengasuh atau budak-budak lain," katanya.

Dr. Azam berkata, kebiasaannya anak-anak kecil yang berusia dua hingga tiga tahun bertindak meronta, menangis atau mendiamkan diri sekiranya mereka berhadapan dengan ancaman pendera.

Bagaimanapun, bagi anak-anak yang sudah memasuki sekolah, sikap mereka akan berubah daripada biasa.

Jelasnya, kanak-kanak yang telah memasuki sekolah apabila didera mereka akan menunjukkan sikap memberontak di sekolah atau bersama rakan-rakan menjadi pembuli, bersikap agresif dan sebagainya.

Tapi ada juga kes di mana penderaan kanak-kanak berlaku dalam sekolah dan pelakunya adalah pelajar-pelajar sekolah itu sendiri.

‘‘Bagi mereka yang masih kecil, sekiranya kanak-kanak ini kelihatan terlalu takut terhadap sesuatu sebagai contoh, nampak pembaris mereka akan melarikan diri atau berasa takut yang teramat sangat, ini mungkin mereka biasa dipukul dengan pembaris yang menyebabkan mereka gerun dengan alatan berkenaan.

‘‘Memang sukar untuk melihat ‘kecederaan’ berbentuk emosi berbanding fizikal kerana ia melibatkan psikologikal anak-anak. Tapi dalam keadaan ini cuba beri perhatian dengan petunjuk yang dicetus anak-anak.

“Begitu juga dengan kata-kata anak-anak. Sekiranya anak perempuan anda memberitahu, ada yang memegang anak sulitnya, tolong beri perhatian dan jangan anggap mereka hanya sekadar bercakap sahaja.

‘‘Dalam hal ini ibu bapa perlu meluangkan masa dengan anak-anak, ambil tahu mengenai apa yang mereka ingin perkatakan, beri perhatian kepada apa yang mereka ingin sampaikan.

‘‘Setiap kali mengambil anak dari rumah pengasuh buatlah pemeriksaan kepada tubuh anak-anak dan lihat perubahan mereka, sebagai langkah berjaga-jaga.

‘‘Boleh juga buat pemeriksaan mengejut ke rumah pengasuh pusat asuhan anak anda.

‘‘Yang penting usah terlalu percaya dengan pengasuh anda. Simpan sedikit rasa cuak di hati agar anda dapat lebih berhati-hati dengan apa yang mereka lakukan kepada anak anda," katanya.

Jelasnya, cara penderaan emosi lain yang boleh digunakan terhadap kanak-kanak ialah menggunakan cara cercaan, hinaan dan menceritakan kekurangan menyebabkan kanak-kanak itu akan berasa kurang keyakinan diri.

Penderaan Emosi Aanak-Anak

Penderaan fizikal mudah dikesan dengan melihat kepada perubahan fizikal. Namun, apabila ada anak-anak yang diabaikan atau diancam emosinya, ia juga bentuk penderaan. Ia hal yang selalu terjadi walaupun tidak ramai yang menyedarinya.


KAUNSELING merupakan langkah terbaik supaya kanak-kanak tidak mengalami trauma yang serius. - Gambar hiasan

Kanak-kanak tidak boleh dilayan seperti manusia dewasa. Tidak memberikan kasih sayang, menghina mereka dengan kata-kata yang kesat, memperkecilkan keupayaan mereka atau apa sahaja tindakan akan menyebabkan kanak-kanak berasa terganggu emosi juga dianggap sebagai penderaan.

Tindakan-tindakan seperti itu biasanya akan menjejaskan mereka untuk membesar bagi menjadi individu yang sempurna.

Penderaan psikologikal itu mungkin sesuatu yang sangat sukar untuk difahami. Dalam konteks budaya kita, anak-anak diminta patuh sepenuhnya pada setiap yang dikatakan oleh ibu bapa.

Tatkala anak-anak tidak dibenarkan meninggi suara terhadap orang tua, malang sekali tiada pula halangan untuk ibu bapa menengking atau mengeluarkan kata-kata kesat kepada anak-anak.

Diingat dalam menghukum kesalahan anak-anak, ada hukuman yang mungkin boleh menjejaskan perkembangan diri mereka. Hukuman seperti tidak memberikan makanan, membiarkan mereka kesejukan di bilik air atau meninggalkan anak-anak di rumah bersendirian adalah bentuk penderaan yang patut dihindarkan.

Walaupun kita mungkin tidak bermaksud untuk mendera kanak-kanak, tetapi ia boleh ditafsirkan sebagai 'pengabaian' yang sebenarnya juga merupakan penderaan.

Walaupun tidak melakukan sebarang tindakan yang mencederakan kanak-kanak secara fizikal, tetapi emosi anak-anak telah terjejas dengan teruknya.

Lebih buruk, kita mungkin sedang membesarkan anak-anak menjadi manusia yang bakal menjadi manusia yang buruk perilakunya.

Kajian-kajian sejauh ini menunjukkan bahawa anak-anak yang mengalami masalah seumpama ini biasanya menjadi manusia bermasalah pada kemudian hari.

Child Welfare Information Gateway pada tahun 2008 melaporkan bahawa kanak-kanak yang didera adalah 11 kali ganda berpeluang untuk ditangkap kerana salah laku juvana, 2.7 kali ditahan kerana kesalahan berkait keganasan ketika dewasa dan 3.1 kali berpotensi untuk terlibat dengan jenayah.

Semua ini adalah petunjuk bahawa apa yang dilakukan oleh manusia dewasa terhadap kanak-kanak bakal membentuk mereka sama ada menjadi manusia berjaya atau durjana.

Anak-anak ibarat kain putih, kitalah yang mencorakkannya.

Sumber:
Artikel Oleh ROSMAH DAIN ~ Utusan
Artikel Darpada Kosmo

1 comments:

Addasyuhadadisini berkata...

nasib cepat..klau lmbat x thu la pe nasib bby tu..