07 Februari 2013

Unit Rondaan Bermotosikal Guna Kawasaki Ninja 250



Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, pada 19 Disember 2012. Pada peringkat permulaan, sebanyak 560 buah motosikal jenis Kawasaki Ninja 250 dilengkapi sistem lampu dan siren telah disediakan bagi program itu di enam buah negeri iaitu di Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah.

Unit Rondaan Bermotosikal (URB) polis akan diperluaskan jika operasi itu berkesan mengurangkan jenayah serta bagi memenuhi tuntutan rakyat yang mahu menikmati kesejahteraan hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kajian keberkesanannya dinilai semula dalam enam bulan selepas pelancarannya pada 19 Disember 2012. Beliau berkata demikian ketika melancarkan URB di Bandar Kinrara, Puchong.


Katanya, jika ‘buddy system’, iaitu dua anggota menunggang motosikal pada setiap masa didapati berkesan dan amat berfaedah, kerajaan sanggup menambah bilangan anggotanya.

URB yang diumumkan dalam Bajet 2013 sepatutnya dilaksanakan pada bulan Januari 2013, tetapi dipercepatkan pada Disember 2012 kerana kerajaan sangat serius dan komited memerangi jenayah.



Komited perangi jenayah

Ketika membentangkan Bajet 2013, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk membeli 1,000 motosikal menerusi URB untuk mengurangkan jenayah khususnya pemantauan kawasan perumahan.

"Saya berharap rakyat memberi peluang kepada URB melakukan tugasan mereka. Selepas enam bulan, kita akan menilai semula program ini bagi melihat keberkesanannya.

"Sekiranya berkesan kita akan perluaskan program ini tanpa perlu tunggu Bajet 2014. Kita tambah bajet sedia ada. Ini tanda komitmen serta seriusnya kerajaan menentang perbuatan jenayah," katanya.

URB akan melakukan rondaan 24 jam di kawasan perumahan dalam tiga syif, iaitu empat jam setiap syif serta kawasan sibuk seperti kawasan perniagaan, perindustrian, taman rekreasi dan sekolah.

Beliau berkata, dengan adanya rondaan terutama pada waktu malam, kadar jenayah dapat dikurangkan kerana peluang melakukan jenayah akan tertutup.



Patuhi SOP

Anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) diminta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sewaktu membuat rondaan bagi memastikan sasaran untuk mengurangkan kadar jenayah tercapai.

Beliau berkata, setiap anggota URB yang melakukan rondaan dimestikan berhenti dan bertanya khabar orang ramai bagi mendekatkan diri mereka dengan masyarakat.

Menerusi pelaksanaan unit tersebut, setiap pegawai dan anggota URB diminta berinteraksi dengan masyarakat dan melakukan rondaan selama 15 minit dan berhenti untuk berjumpa penduduk setempat.

Pelaksanaan URB juga adalah memastikan masyarakat berasa lebih selamat dan selesa dengan kehadiran polis supaya masyarakat ingin berinteraksi dan memberi kerjasama kepada polis.

Anggota unit itu adalah wakil kepada Ketua Polis Daerah yang bertanggungjawab mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat tahap keselamatan di sesuatu kawasan terlibat.

Objektif utama URB adalah bagi memastikan rakyat berasa selamat setiap masa dan mereka merasai kehadiran anggota polis di kawasan kediaman mereka serta kawasan perniagaan, taman rekreasi, perindustrian dan sekolah.

Anggota URB harus pandai berkomunikasi dengan orang ramai agar mereka dapat berkongsi maklumat tahap keselamatan serta keadaan di kawasan terbabit. Masyarakat juga diminta memberi maklum balas mengenai keberkesanan rondaan yang dibuat anggota URB agar dapat dibuat penambahbaikan.

Kerjasama orang ramai melalui Skim Rondaan Sukarela (SRS) juga amat penting dalam usaha membantu polis mencegah jenayah di kawasan kejiranan masing-masing.

URB kaedah terkini cegah jenayah


ANGGOTA Unit Rondaan Bermotosikal PDRM ketika majlis pelancaran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bandar Kinrara.

Penubuhan unit ini amat penting, tambahan pula Perdana Menteri sendiri telah menyatakan keprihatinan beliau untuk memastikan penubuhan unit ini benar-benar memberi impak positif kepada usaha mengurangkan jenayah khususnya kes pecah rumah di kawasan kediaman.

Langkah penubuhan unit ini juga dikatakan lebih berkesan kerana penggunaan motosikal sebagai kenderaan rondaan adalah lebih fleksibel dalam mempertingkatkan usaha membanteras kejadian jenayah.

URB akan dilaksanakan dengan kaedah 'buddy system' atau rondaan berdua secara tiga syif selama 24 jam di kawasan-kawasan perumahan serta kawasan sibuk seperti kawasan perniagaan, taman rekreasi, perindustrian dan sekolah.

Motosikal ini juga dilengkapi dengan lampu siren serta alat perhubungan bagi memudahkan tugasan. Di samping itu, seramai 1,000 orang akan ditugaskan mengikut 6 kontinjen Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) dengan kekuatan 50 orang pegawai dan 950 orang anggota.

Pendekatan dua wajah

Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sahaja disenangi oleh masyarakat kerana berjaya mengurangkan kadar jenayah, tetapi juga satu suntikan semangat baru buat anggota polis.

Penggunaan motosikal Kawasaki Ninja 250 oleh anggota URB juga dianggap sebagai pilihan bijak kerana ia pantas serta mudah ketika melakukan rondaan.

Dua 'wajah' yang dimaksudkan beliau ialah kerana pendekatan pasukan itu yang disenangi masyarakat di samping menggerunkan penjenayah.

"Kehadiran anggota URB di tempat-tempat yang ditetapkan khususnya di kawasan perumahan membolehkan masyarakat berhubung terus dengan polis.

"Anggota polis boleh beramah mesra serta memberi maklumat kepada orang ramai. Selain itu, dengan kehadiran polis sudah pasti akan menggerunkan penjenayah," kata Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd. Razak Elias.

United Against Crime

Sementara itu di Johor Baharu, selain Unit Ronda Bermotosikal (URB), Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata sebanyak 19,336 buah CCTV dipasang di negeri Johor termasuk 2,000 unit di daerah Johor Baharu.
 
Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada program "United Against Crime" dalam usaha sama polis, sektor swasta dan penduduk setempat untuk membanteras jenayah.
 
Selain itu, katanya polis Johor juga telah mengorak inisiatif dengan mengadakan program pencegahan jenayah dan memproleh maklumat jenayah melalui khidmat radio teksi sebagai langkah menggembleng kerjasama orang awam dan pemandu teksi membenteras jenayah.
 
Sebagai permulaan sebanyak 200 teksi dihubungkan dengan saluran komunikasi polis dan ia secara tidak langsung berfungsi sebagai 'kereta peronda' yang menyalurkan maklumat pada bila-bila masa.  - Bernama

URB Capai Kejayaan

Sehingga 20 Januari 2013 iaitu sebulan selepas dilancarkan, sebanyak 80 tangkapan dilakukan oleh URB iaitu 51 di Selangor, 16 di Kuala Lumpur, Johor (9) dan empat di Pulau Pinang berhubung pelbagai kes jenayah.

Walaupun masih terlalu awal untuk PDRM memaklumkan sama ada pelaksanaan URB memberi kesan atau sebaliknya, namun secara keseluruhannya URB memberi impak positif.

Antara bukti kejayaan URB adalah:

1. URB dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berjaya menahan tiga lelaki yang menjalankan kegiatan samun di sekitar Kepong di sini pada 18 Januari 2013.

Kejayaan itu dicapai setelah anggota URB bertindak pantas sebaik mendapat maklumat mengenai seorang mangsa yang diugut supaya mengeluarkan wang di sebuah bank di Medan Putra, Kepong.

Dalam kejadian itu, mangsa sempat memberitahu kakitangan bank bahawa dia telah diculik dan dipaksa mengeluarkan wang tunai berkenaan sebelum kakitangan tersebut memaklumkan kepada polis.

Lima minit selepas dimaklumkan bilik gerakan IPD Sentul, dua anggota URB yang meronda di kawasan itu menahan seorang suspek.

Susulan tangkapan itu, dua lagi rakan suspek ditahan setengah jam kemudian di sebuah rumah kedai di Taman Fadason, Kepong.

2. Anggota URB IPD Nusajaya, Johor berjaya menahan kumpulan samun bersenjatakan parang di sebuah rumah di Taman Bukit Indah pada 4 Januari 2013.

Dalam kejadian pukul 3.30 petang itu, anggota URB yang meronda di kawasan Taman Bukit Indah melihat sebuah kereta jenis Perodua Myvi warna putih tanpa nombor pendaftaran di hadapan sebuah rumah.

Hasil pemeriksaan, tiga lelaki berusia antara 20 hingga 37 tahun ditahan kerana dipercayai cuba melakukan samun sebuah rumah keluarga.

3. Anggota URB IPD Ledang, Johor berjaya menahan seorang lelaki yang menggunakan pistol tiruan untuk melakukan ugutan jenayah terhadap seorang lelaki warga Bangladesh pada 12 Januari 2013.

Dalam kejadian pukul 2.35 petang itu, mangsa berada di hadapan sebuah kilang pakaian di Tangkak sebelum didatangi suspek yang menaiki kereta. Suspek bertindak mengacu pistol ke arah mangsa berusia 25 tahun yang bekerja di kilang berkenaan seterusnya memintanya sejumlah wang.

Kekecohan yang berlaku menyedarkan orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian dan menghubungi pihak polis dan dua anggota URB bergegas ke tempat kejadian serta menangkap suspek di belakang kilang berkenaan.

4. Seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan anggota URB dari IPD Johor Bahru Selatan ketika sedang menjalankan rondaan di sekitar kawasan Jalan Wong Ah Fook, 24 Disember 2012.

Semakan lanjut polis mendapati motosikal digunakan oleh lelaki yang ditahan pada pukul 1.35 pagi itu adalah motosikal curi serta menjumpai satu peket kecil dipercayai dadah jenis syabu.

Kisah-kisah kejayaan ini menjadi bukti pencapaian positif URB dalam mengurangkan jenayah di kawasan panas di empat negeri.

Dalam pada itu, bagi memantapkan lagi pasukan, Kementerian Dalam Negeri membuka penyertaan kepada orang ramai untuk bersama-sama menilai keberkesanan URB melalui satu kajian bebas.

Sumber:

1. Artikel Oleh Mohd Azrone Sarabatin dan Nor Azizah Mokhtar ~ BHarian [2012/12/20]
2. Artikel Daripada Utusan [28/12/2012]
3. Artikel Oleh Oleh AZRAI MOHAMMAD dan NORAZRIN MARZUKI ~ Utusan [25/12/2012]
4. Artikel Daripada SinarHarian [28 Disember 2012]
5. Artikel 1 Daripada Utusan [12/02/2013]
6. Artikel 2 Daripada Utusan [12/02/2013]
7. Artikel 3 Daripada Utusan [12/02/2013]

1 comments: