Nuff Atas

07 Mac 2013

Sabah Milik Sah Kerajaan Malaysia


Sabah milik sah Malaysia, tidak boleh dituntut mana-mana pihak - Rais

Sabah ialah hak milik sah Malaysia mengikut undang-undang antarabangsa, dan negeri itu atau sebahagian daripadanya, tidak boleh dituntut oleh mana-mana pihak, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Beliau berkata, perkara itu jelas termaktub dalam keputusan Suruhanjaya Cobbold 1963 yang menentukan bahawa majoriti rakyat Sabah bersetuju negeri itu menyertai Persekutuan Malaysia.

"Sebelum Malaysia dibentuk, sebuah suruhanjaya iaitu Suruhanjaya Cobbold telah diwujudkan, bagi membuat pungutan suara rakyat Sabah berkenaan penyertaan negeri itu dalam Persekutuan Malaysia.


"Secara keseluruhan suruhanjaya itu mendapati rakyat Sabah mahu menyertai Malaysia dan kemasukan ke Malaysia adalah tindakan kenegaraan dan tiada lagi tuntut-menuntut selepas itu," katanya.

Sumber: Utusan [05/10/2013]

Syarikat Overback

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata hak ke atas Sabah yang dulu dikenali Borneo Utara, diperoleh Syarikat Overback pada 1880-an daripada Kesultanan Sulu.

“Apabila Overback serahkan hak milik itu kepada Britain dan seterusnya diserahkan kepada Malaysia, maka segala hak mereka lupus mengikut undang-undang antarabangsa. Apa yang dibayar kepada kerabat Sultan Sulu, iaitu kira-kira RM5,000 setahun hanya wang ehsan atau sagu hati.

“Ia dibayar kepada kerabat yang didaftarkan sebagai pewaris Sultan Sulu yang disahkan oleh Sultan Brunei dulu,” katanya.

Penjelasan terperinci

Sabah menyertai Malaysia secara sah berdasarkan keputusan Suruhanjaya Cobbold pada 1963 yang mendapati semua pihak di negeri itu bersetuju.

“Keputusan suruhanjaya itu menunjukkan rakyat Sabah mahu menyertai Malaysia. Jadi jelas, Sabah sah hak Malaysia dan tidak boleh dituntut mana-mana pihak atau negara lain,” katanya.

Mengikut laman web Arkib Negara, pembentukan Suruhanjaya Cobbold pada 17 Januari 1962 bagi memberi kebebasan dan keadilan kepada semua pihak.

Suruhanjaya itu dibentuk hasil rundingan di antara Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Kerajaan Britain pada November 1961.

Tujuan penubuhan suruhanjaya itu untuk meninjau pandangan penduduk di Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak mengenai gagasan Malaysia.

Hasil laporan suruhanjaya yang disahkan perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak menyokong penubuhan Malaysia yang kemudian diisytiharkan pada 16 September 1963.

Oleh Ifwan Tun Tuah
Sumber: BHarian [05/03/2013]



Pakar sejarah sokong Rais, Sabah milik sah Malaysia

Beberapa pakar sejarah hari ini menegaskan, Sabah ialah hak Malaysia dan tidak boleh dituntut oleh mana-mana pihak kerana rakyat negeri itu telahpun bersetuju dengan pembentukan Malaysia dalam tinjauan kajian Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962.

Ketua Program Sejarah Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Mosli Tarsat berkata, berdasarkan bukti sejarah, ia jelas menunjukkan status negeri Sabah memang sah sebagai sebahagian daripada Malaysia dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Walaupun Sabah yang sebelum ini dikenali sebagai Borneo Utara sebelum pembentukan Malaysia, pernah dikuasai dan dipengaruhi oleh Kesultanan Brunei dan Sulu, Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, Jepun dan penjajah British, tetapi selepas 1963, keadaannya berubah setelah Sabah bersama dalam pembentukan Malaysia, katanya.

Beliau berkata, semasa Suruhanjaya Cobbold membuat tinjauan menyeluruh di Sabah dan Sarawak selama empat bulan mengenai penubuhan Malaysia, suruhanjaya itu menerima 2,200 memorandum, dengan lebih kurang 80 peratus rakyat kedua-dua negeri itu menyokong penubuhan Malaysia.

Laporan suruhanjaya itu telah dikemukakan kepada kerajaan British, dan Malaysia kemudian ditubuhkan dengan menggabungkan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sabah (Borneo Utara) dan Sarawak, tambahnya

"Oleh itu, Sabah secara rasmi menyertai pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 setelah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963," katanya.

Katanya, beliau menyokong kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa Sabah ialah hak Malaysia mengikut undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dituntut oleh mana-mana pihak.

Sementara itu, pakar sejarah Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam yang turut bersetuju dengan kenyataan Rais itu berkata, Malaysia ialah sebuah negara berdaulat yang diiktiraf dunia.

"Oleh itu, tidak timbul soal tuntutan sebahagian daripadanya oleh mana-mana pihak sekalipun. Kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan semalam adalah tepat dari segi sejarahnya.

"Tidak timbul soal tuntutan, perkara itu sudah selesai lama dahulu," kata Felo Utama Unit Kajian Strategik Universiti Malaysia Perlis.

Ramlah berkata, pungutan suara oleh Suruhanjaya Cobbold itu menyamai pungutan suara yang dilakukan untuk meninjau pendapat penduduk Singapura berhubung penubuhan Malaysia pada 1962 melalui Referendum Singapura.

"Mereka tidak boleh menuntut hanya berdasarkan sejarah. Contohnya kerajaan Siam menyerahkan negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu untuk bernaung di bawah pemerintahan Inggeris pada satu masa dulu, kerajaan Siam (pada masa ini) sememangnya tidak boleh tuntut balik negeri-negeri itu," katanya.

Ramlah berkata, rakyat Malaysia terutama di Sabah perlu jelas mengenai perkara itu dan perlu ada kesedaran untuk negara terus kekal aman serta menyokong kedaulatan negara.

Sementara itu, tokoh sejarah Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, Borneo Utara (Sabah) telah diasingkan daripada Sulu sejak 1885 dan ditadbir oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British.

"Perkara ini (pengasingan Sabah daripada Sulu) sudah berlaku sejak lama dahulu iaitu sebelum Suruhanjaya Cobbold 1963 lagi, jadi susah kalau kita nak ubah keadaan," katanya.

Sumber: Utusan [06/03/2013]



Pembentukan Malaysia Hapuskan Tuntutan Ke Atas Sabah

Penyertaan Sabah dalam gagasan atau pembentukan Malaysia pada 1963 menghapuskan sebarang tuntutan ke atas negeri ini yang dahulunya dikenali sebagai North Borneo, kata Prof Madya Dr Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Pensyarah Sekolah Sains Sosial (Program Sejarah) itu berkata berdasarkan perkara itu sebarang tuntutan hak ke atas negeri Sabah ketika ini adalah terbatal.

"Tarikh penubuhan Malaysia pada tahun 1963 menghapuskan sebarang tuntutan ke atas Sabah dan pada tahun 1888, Sabah di bawah naungan kolonial British dan pada tahun 1903 protokol telah menetapkan jajahan Amerika Syarikat di Filipina tanpa Sabah.

"Pada tahun 1946, Sabah diserah kepada British dan jelas pada tahun 1963 Sabah berada dalam Malaysia," katanya.

Justeru Dr Bilcher berkata tindakan Jamarul Kiram III menyerang Sabah dengan alasan menuntut hak warisan Kesultanan Sulu adalah satu jenayah yang boleh disifatkan sebagai serangan penceroboh.

Mengenai bayaran yang dibuat oleh kerajaan Malaysia terhadap waris Kesultanan Sulu, beliau berkata ia cuma pampasan atau saguhati perjanjian "sewa mati 1787" yang tertulis pajakan kekal.

"Maka pampasan itu dibayar sampai mati (istilah dalam perjanjian 'selagi ada bulan dan bintang')," katanya

Mengupas kembali sejarah Sabah, Dr Bilcher berkata penduduk Sabah telah memilih Malaysia (pada tahun 1963) seperti yang terkandung dalam Laporan Cobbold.

"Cuma Sultan Sulu fikir orang Sabah adalah rakyatnya. Rakyat adalah pengakuan taat setia pengikut. Tapi orang Sabah tidak mengakui mereka ada sultan melainkan Gabenor (kini Yang Dipertua Negeri Sabah).

"Justeru itu, tuntutan yang mendakwa dirinya sebagai pewaris Kesultanan Sulu, jika ada sultan pun, ke atas Sabah adalah terbatal melalui beberapa peringkat perjanjian sebelum ini.

"Hakikatnya, Sulu tidak ada sebuah kerajaan atau negara yang membolehkan "ada hak" untuk membuat tuntutan. Tuntutan ini cuma tuntutan individu semata-mata, yang tidak melibatkan orang ramai, tetapi individu itu telah memperalatkan orang ramai untuk mencapai kepentingan dirinya sendiri," katanya.

Oleh itu, Dr Bilcher berkata tindakan menyerang negara luar adalah jenayah dalaman negara Filipina dan jenayah antarabangsa di Malaysia.

"Melainkan jika individu itu memiliki kerakyatan Malaysia, maka ini adalah jenayah yang berat, setara ancaman Komunis dahulu atau pengganas," katanya.

Semasa menjelaskan isu sama, bekas Menteri Luar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata bayaran US$5,000 (RM15,500) setahun oleh kerajaan Malaysia kepada waris Kesultanan Sulu sehingga hari ini bukanlah wang sewaan atau pajakan tetapi merupakan satu bentuk wang penghargaan yang dikenali sebagai "cession".

Katanya beliau sendiri pernah melihat cek dengan jumlah tersebut dibayar kepada waris Kesultanan Sulu ketika menjadi Menteri Luar dari 1999 hingga 2008.

"Wang penghargaan atau cession berkenaan sama seperti duit penghargaan yang dibayar oleh kerajaan Pulau Pinang kepada Sultan Kedah apabila pulau itu diserahkan kepada British," jelas beliau.

Menegaskan Kesultanan Sulu yang ada hari ini bukan kerajaan yang diiktiraf, Syed Hamid berkata waris keluarga itu tidak layak membawa tuntutan Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarangsa (ICJ).

"Ini kerana ICJ hanya menguruskan kes-kes yang melibatkan kerajaan yang sah. Kesultanan Sulu bukan satu kerajaan," katanya.

Syed Hamid berkata, kuasa pentadbiran dan politik yang ada pada Kesultanan Sulu dianggap berakhir apabila Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada tahun 1915 dengan penjajah Filipina ketika itu iaitu Amerika.

Syed Hamid berkata cubaan menuntut Sabah pernah dibuat oleh Filipina ketika Malaysia dan Indonesia membawa masalah tuntutan pulau Sipadan dan Ligitan ke ICJ pada tahun 2001.

"Filipina cuba untuk turut serta dalam tuntutan itu. Bagaimanapun ICJ terus menolak campurtangan Filipina dalam tuntutan Sipadan dan Ligitan yang terletak dalam perairan Sabah dengan alasan tuntutan itu tidak ada asas. Ini jelas menunjukkan, Filipina sama sekali tidak mempunyai hak ke atas negeri di bawah bayu itu," katanya.

Syed Hamid menegaskan Sabah merupakan wilayah Malaysia yang berdaulat kerana Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan sebelum pembentukan Malaysia melaporkan bahawa rakyat Sabah dan Sarawak mahu merdeka di dalam Malaysia.

Sementara itu, pakar sejarah Prof Dr Ramlah Adam menyatakan keyakinannya bahawa pihak kerajaan mempunyai dokumen perjanjian wang penghargaan tersebut.

"Kerajaan Malaysia memang menyimpan dokumen itu sebab selepas kita (kerajaan) ambil alih dari British kita ambil alih juga segala perjanjian itu sebab soal 'cession money' itu sangat penting," katanya.

Tambahnya perjanjian itu menyatakan wang penghargaan akan diserahkan kepada waris bukannya kesultanan Sulu selagi 'ada bulan dan bintang'.

"Perjanjiannya adalah selagi ada bulan dan bintang, bukan ada tarikh, itu cara orang dulu buat perjanjian, saya tidak tengok perjanjian itu tetapi saya tahu ada perjanjian.

"Ia (wang penghargaan) diberi kepada waris bukan kesultanan. Kesultanan Sulu telah tiada. Itu yang diperkatakan dalam sejarah Sulu. Semasa kita membuat sejarah Malaysia kita tidak pernah menyentuh tentang kerajaan Sulu ia termasuk dalam sejarah Filipina.

"Kita (Malaysia) tidak termasuk, kita hanya anggap ia sebagai kaum Suluk sahaja," katanya.

Sumber: BERNAMA [07/03/2013]

Tiada ruang Sulu tuntut Sabah

KESULTANAN Sulu merupakan antara kerajaan lama yang wujud seiringan dengan kerajaan Brunei, Melaka dan banyak lagi kerajaan yang pernah wujud dalam sejarah Asia Tenggara.

Seperti kebanyakan kerajaan lama, Kesultanan Sulu mula hilang pengaruh dan kuasanya dengan kedatangan penjajah dari Barat dan akhirnya tiada lagi pemerintahan berdaulat di dalam sempadan negara Filipina moden.

Kesultanan Sulu juga kini dilihat berpecah di bawah beberapa orang waris yang menuntut takhta sedangkan kerajaan Filipina sendiri sudah tidak mengiktiraf kewujudannya.

Namun, masih ada dalam kalangan kerabat Sulu yang mahu menuntut Sabah daripada Malaysia atas alasan ia jajahan warisan mereka.

Pembahagian kuasa di antara koloni British dan Belanda serta pilihan majoriti rakyat Sabah memilih untuk menyertai Malaysia seperti dilaporkan Suruhanjaya Cobbold pada 1962 menghakis pengaruh Kesultanan Sulu.

Tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah juga menimbulkan persoalan mengapa tuntutan serupa tidak dibuat ke atas jajahan nenek moyang mereka yang kini berada di bawah sempadan Filipina dan Indonesia.

Selepas hampir 50 tahun, sejauh mana kekuatan fakta yang mampu dikemukakan Kesultanan Sulu ke peringkat antarabangsa dalam tuntutan mereka ke atas Sabah yang dahulu dikenali Borneo Utara?

Bagi penganalisis politik antarabangsa (Asia Tenggara) Universiti Utara Malaysia, Ahmad Zaki Hassan, bukan sahaja Filipina telah menarik tuntutan ke atas Sabah malahan dokumen perjanjian lama menunjukkan Sabah hak Malaysia walaupun ada bayaran yang ditetapkan.

"Jika tuntutan ini dibawa ke mahkamah antarabangsa sekalipun tidak akan memihak kepada Kesultanan Sulu, ini amat jelas.

"Mereka mempunyai banyak dokumen sejarah tetapi mahkamah mahukan dokumen semasa dan melihat aspek siapa yang banyak mentadbir Sabah kini," katanya.

Jelasnya, Malaysia telah lama mengurus dan membangunkan Sabah tanpa sebarang kaitan dengan Kesultanan Sulu dan fakta ini penting di peringkat antarabangsa.

Beliau berpendapat pihak Kesultanan Sulu juga mengetahui fakta ini.

"Mereka sudah tidak dapat melakukan apa-apa lagi (tuntut Sabah) melalui kerajaan Filipina. Oleh itu, mereka cuba berunding secara terus dengan Malaysia pula.

"Masalahnya, pemerintahan Kesultanan Sulu sudah tamat dan sekarang tinggal waris-waris yang menuntut takhta sahaja. Bagaimana mahu ditentukan pihak yang sah memerintah," soal beliau.

Tambahnya, taktik yang digunakan di Sabah kini juga seperti apa yang berlaku dalam Perang Vietnam di mana Amerika Syarikat (AS) dipaksa berundur oleh rakyatnya sendiri.

"Perang Vietnam contoh hampir tepat. Apa yang Kesultanan Sulu perjuangkan kini tidak mengharapkan kemenangan fizikal tetapi kemenangan politik dengan membuatkan rakyat Malaysia sendiri menentang dan menekan kerajaan.

Pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam juga menegaskan Kesultanan Sulu sudah tiada hak ke atas Sabah atas beberapa faktor terutama sekali kerana kerajaan Sulu sudah tidak wujud sejak 1917.

"Kerajaan Sulu bermula pada tahun 1457 dan tamat pemerintahannya selepas 460 tahun akibat kalah dalam peperangan dengan Sepanyol. Tiada kerajaan, tiadalah tuntutan.

"Tambahan pula, sejarah menunjukkan sultan-sultannya yang terdahulu telah pecahkan sendiri jajahan mereka dan kini jajahan itu terletak dalam sempadan Malaysia, Filipina dan Indonesia," jelas pakar sejarah itu.

Menurut beliau, Sabah sebelum ini di bawah Kesultanan Melayu lama Brunei yang kemudiannya hanya memberi bahagian timur Sabah kepada kerajaan Sulu atas bantuan mereka menentang pemberontak.

Tambahnya, Brunei menyerahkan Sabah kepada British ketika zaman penjajahan dan ketika British mahu merdekakan Borneo Utara dan Sarawak, majoriti rakyat ketika itu telah memilih menyertai Malaysia pada 1963.

"Semuanya telah berlaku dan tercatat dalam sejarah tetapi bukan justifikasi untuk mencabar kerajaan moden sekarang dan mereka perlu hormati Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

"Bila penaklukan berlaku ke atas mereka, kalah dan tidak dapat dihidupkan kembali, mereka tidak boleh menuntut hanya berdasarkan sejarah. Jika tidak, semua kawasan pun boleh dituntut jajahannya mengikut sejarah," tegasnya.

Beliau menegaskan tuntutan ke atas Sabah tidak sama seperti isu Palestin-Israel walaupun dari segi sejarahnya kerajaan Rom yang menjatuhkan dan memecah orang Yahudi di sana.

"Dunia kini tidak boleh gunakan cara seperti Yahudi kembali ke tanah sejarah mereka dengan bantuan British dan AS. Mengikut sejarah di Filipina sendiri, mereka (Kesultanan Sulu) suka serah jajahan sendiri dan akhirnya bertukar-tukar tangan.

"Isunya kini, Kesultanan Sulu sudah tiada, Sabah bukan lagi Borneo Utara dan kini merdeka di bawah sebuah negara berdaulat. Jika ikut logik, mereka kena juga tuntut jajahan di bawah Filipina dan Indonesia," ujarnya.

Oleh NURUL ANUAR KARI
Sumber: Utusan

Perjanjian Pajakan Sabah 1878

Pendedahan dokumen perjanjian pajakan tanah Sabah di antara Sultan Sulu dengan Syarikat Borneo Utara British melalui laman sosial Facebook Jacel Kiram pada 15 Mac 2013, telah menguatkan lagi fakta bahawa Sabah milik sah Malaysia.

Penganalisis politik, Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, perjanjian yang diterjemah daripada bahasa Arab ke bahasa Inggeris itu turut tertera perkataan 'pajakan kekal' tanah Sabah kepada syarikat tersebut yang membawa erti kesultanan Sulu tidak boleh menuntut kembali Sabah.

Katanya, pada zaman dahulu, perjanjian-perjanjian pajakan tanah dibuat oleh British menggunakan ayat-ayat yang merujuk kepada kekal atau selamanya termasuk penggunaan ayat selagi ada bulan dan bintang.

"Sejarah sendiri telah menunjukkan bahawa Sabah dan Malaysia kini bukan lagi di bawah jajahan dan pemerintahan British.

"Pada 1963, penduduk-penduduk Sabah dan Sarawak telah memilih untuk menyertai Malaysia melalui referendum di bawah Suruhanjaya Cobbold 1963 dan penubuhan Malaysia telah pun berlaku pada 1963 secara rasminya. Tidak ada sesiapa, mahu pun kerajaan lain yang boleh membuat tuntutan," katanya.

Dokumen perjanjian di antara Sultan Sulu dengan Syarikat Borneo Utara British bertarikh 1878 dimeterai dalam perjanjian bertajuk Perjanjian Pajakan Sabah 1878 dengan isi kandungan utamanya: pemberian pajakan kekal oleh Sultan Sulu meliputi tanah dan wilayah Borneo bertarikh 22 Januari 1878.

Sementara itu, Dekan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Zaid Ahmad berpendapat, perjanjian yang termetera di antara Syarikat Borneo Utara British dengan Sultan Sulu mengenai pajakan kekal tanah Sabah sudah lama berlalu dan tidak boleh diguna pakai lagi setelah Sabah menyertai Malaysia pada 1963.

Oleh AZMAN IBRAHIM
Sumber: Utusan [15/03/2013]



Ahli-ahli Suruhanjaya Cobbold adalah:

1. Lord Cameron Cobbold, bekas Gabenor Bank England, Ketua Suruhanjaya,
2. Tan Sri Wong Pow Nee, Ketua Menteri Pulau Pinang,
3. Tun Mohd Ghazali Shafie, Setiausaha Tetap ke Kementerian Luar Negeri,
4. Anthony Abell, bekas Gabenor Sarawak,
5. David Watherston, bekas Setiausaha Utama Malaya.

Sumber: ms.wikipedia

0 comments: