28 April 2013

Berakhirnya Industri Dhow Mandvi


TERDAPAT kira-kira 10 buah keluarga di Mandvi yang enggan berhijrah ke UAE. 

KESAYUAN jelas kelihatan pada wajah Shailesh Madiyar saat dia memeriksa limbungan kapal yang terletak di pelabuhan Mandvi, India. Lokasi yang sinonim dengan pembinaan kapal kayu sejak berabad lamanya itu kini terbiar sepi tanpa penjagaan rapi.

"Empat tahun lalu, kira-kira 20 buah kapal dibuat pada satu-satu masa tetapi kini hanya dua buah kapal yang tinggal," ujar Shailesh daripada Persatuan Pembina Kapal Mandvi.

"Hari ini kapal yang dibina tidak melebihi lima atau enam buah dalam setahun," tambahnya sambil menunjuk ke arah beberapa buah kapal separuh siap yang tersadai selepas pembinaan dihentikan.

Mandvi terletak di tebing sungai Rukmavati yang mengalir menuju ke Laut Arab. Bandar terpencil yang terletak di barat Gujarat itu merupakan tempat pembinaan kapal dan perdagangan laut yang popular sejak zaman dahulu.


Namun kedua-dua industri itu lumpuh ekoran pengharaman pelayaran di kawasan perairan yang dipenuhi lanun berhampiran Somalia, kawasan yang suatu ketika dahulu menjadi destinasi perdagangan yang menguntungkan.

Sekatan ke atas beberapa kapal dari India diperkenalkan pada tahun 2010 susulan penawanan yang dilakukan sekumpulan lanun Somalia ke atas lapan bot dari Gujarat yang menyebabkan 100 anak kapal terperangkap dalam serangan yang berlangsung selama beberapa hari itu.

Bot-bot kargo kecil atau kapal layar bermotor kini dilarang belayar ke selatan Oman sekali gus menyekat perdagangan ke Somalia dan beberapa negara Afrika lain seperti Kenya, Tanzania dan Yemen.

"Tanpa Somalia, maka tiada perdagangan. Pengharaman ini membuatkan perniagaan kami terjejas teruk," kata Musabhai Sameja yang telah terlibat dengan urus niaga perkapalan keluarganya di Mandvi selama tiga generasi.

"Kebanyakan pedagang mendapati separuh pendapatan mereka mula merosot," tambah Musabhai yang sedih dengan situasi pelaburan pembinaan kapal yang hampir musnah.

Selama empat abad, pembuat kapal dari bandar kecil itu telah membina kapal bagi menghantar barangan merentasi Lautan India yang merupakan laluan dagangan menghubungkan Asia Timur ke Asia Barat dan Afrika.

Difahamkan, kapal dagang kecil yang dipanggil dhow di Mandvi sangat terkenal dengan ketahanan dan saiznya, membolehkan ia masuk ke kawasan yang mempunyai pelabuhan kecil.


MASIH ada sebilangan pembuat kapal kayu di Mandvi, India yang setia bekerja. 

Kelengkapan kurang

Dengan kapasiti kargo sederhana sebanyak 1,000 tan, Musabhai memberitahu, kapal-kapal akan dipenuhi barangan perdagangan seperti beras dan tepung untuk dihantar ke Somalia.

Berdasarkan pengharaman yang dikuatkuasakan Direktorat Besar Perkapalan pada bulan Mac 2010, kapal-kapal di kawasan itu didapati mudah dijadikan sasaran lanun yang beroperasi di salah satu laluan perkapalan tersibuk di dunia itu.

Dhow sememangnya lebih kecil daripada kapal tangki dan ketiadaan kelengkapan seperti alat pengesan membuatkannya mudah ditawan dan dijadikan kapal ibu bagi menyerang kapal besar yang lain.

Bagaimanapun, Musabhai memberitahu, para pedagang bersedia untuk mengambil risiko dan memilih menggaji pengawal keselamatan bagi melindungi kapal mereka.

Sementara itu, urus niaga ke Somalia bagi pedagang yang berpangkalan di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dikatakan kian berkembang tanpa sebarang sekatan.

Pakar perdagangan dhow, Edward Simpson dari Fakulti Pengajian Timur dan Afrika di London memberitahu, pembuat kapal di Dubai membina bot-bot kayu dengan ruang dua kali ganda lebih besar berbanding kapal-kapal dari Mandvi.

Baru-baru ini beliau melihat sendiri kapal dari Somalia di Dubai diisi dengan barangan berupa kereta terpakai Jepun, generator, traktor dan minyak wangi.

Tutup perniagaan

Sementara itu, sebahagian pembuat kapal telah memindahkan perniagaan mereka dari Mandvi ke UAE, tetapi ada juga yang menutup terus perniagaan.

"Hanya tinggal kira-kira 10 keluarga dalam perniagaan ini," ujar Saleh Mohammed yang telah menjual bot kargo terakhirnya pada tahun lalu.

"Sebelum sekatan ini saya mempunyai 30 kapal," tambahnya yang memberitahu, sekatan itu membuatkan dia hanya boleh berurus niaga dengan Negara Teluk seperti Iran dan Iraq yang mempunyai pelabuhan besar.

"Maka adalah lebih bagus menutup terus perniagaan ini," katanya yang kemudian membeli sebuah hotel untuk mencuba industri perhotelan.

Bagaimanapun, kemahiran pembuat kapal di Mandvi akan terus ditagih untuk beberapa tahun akan datang bagi menyelenggara dan membaiki kapal sedia ada yang masih boleh belayar sekurang-kurangnya untuk tempoh 40 tahun.

Saleh menyatakan, dia merindui era perdagangan yang dilalui moyangnya.

Kata Saleh, datuknya sering belayar selama dua bulan ke Afrika Timur dan menjangkau kawasan sejauh Zanzibar iaitu pulau yang terkenal dengan rempah-ratus.

Sumber: Kosmo

1 comments:

Jahirah berkata...

kesian tak pasal kena tutup bisnes dia....