Nuff Atas

22 April 2013

Katak Dan Kodok Bukan Amfibia Hodoh



KATAK dan kodok. Kedua-dua amfibia ini pasti tidak termasuk dalam senarai haiwan peliharaan yang menjadi dambaan kanak-kanak mahupun orang dewasa kerana terlalu jauh untuk dimasukkan dalam kategori haiwan yang comel.

Ia sering digambarkan sebagai haiwan yang hodoh, jijik dan menggelikan. Namun, realitinya haiwan dua alam berdarah sejuk dan bertulang belakang itu merupakan haiwan yang unik dan istimewa.

Oleh sebab selalu dipinggirkan dan tidak mendapat ‘publisiti’ meluas berbanding haiwan lain, mungkin ramai yang masih khilaf dan tidak dapat membezakan antara katak dan kodok.



Buat masa sekarang ini, anda boleh mengetahui lebih lanjut mengenai katak dan kodok jika anda berpeluang meluangkan masa mengunjungi Pameran Katak dan Kodok di Muzium Alam Semula Jadi di Putrajaya. Pameran ini berlangsung sejak 22 Mac hingga 22 April, 2013.

Dibuka setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang, ia tidak mengenakan sebarang bayaran masuk buat kanak-kanak manakala orang dewasa hanya perlu membayar RM2 seorang dan RM5 buat warga asing.


Perbezaan Katak Dan Kodok

Katak mempunyai kulit yang licin dan lembap. Selain itu, ia juga memiliki kaki belakang yang panjang dan kuat untuk melompat lebih jauh serta mempunyai tubuh panjang, langsing dan kecil.

Katak gemar mendiami kawasan berair, ia juga mempunyai kelenjar parotid yang kecil dan ada sebilangannya tidak kelihatan.

Kodok pula mempunyai kulit menggerutu, berbintil-bintil dan kering. Kaki belakangnya yang pendek dan gemuk digunakan untuk meloncat dan merayap selain memiliki fizikal tubuh yang pendek dan gempal.

Kodok lebih suka mendiami kawasan darat yang lebih kering, kodok mempunyai kelenjar parotid yang jelas kelihatan, besar dan bertoksin.

“Sebelum ini umum mengetahui bahawa ular makan katak, namun tidak ramai tahu bahawa ada katak yang makan ular iaitu dari jenis Bull frog.

“Katak pokok Brazil Izecksohn (Xenohyla truncata) pula merupakan spesies tunggal katak herbivor yang memakan buah koka dan beri arum,” kata Nor Zela Suleiman yang bertugas sebagai Kurator Zoologi di Muzium Alam Semula Jadi.

Mengejutkan bukan? Sebenarnya diet katak dan kodok bergantung kepada fasa hidup, saiz mulut dan habitatnya.


BUKAN ular sahaja yang makan katak, malah katak dari spesies Bull Frog makan ular.

Diversiti katak dan kodok

Kebanyakan katak pada peringkat berudu ialah herbivor yang makan dengan menuras partikel-partikel yang terampai di dalam air, alga dan lumut.

Katak dewasa bersifat karnivor iaitu makan serangga, mamalia kecil, moluska atau reptilia yang bersesuaian dengan saiz mulutnya.

“Mangsanya ditangkap menggunakan lidah yang melekit dan ditelan hidup-hidup. Kedua-dua haiwan ini mengesan mangsa menggunakan deria penglihatan, bau, bunyi dan getaran bergantung kepada spesies.

“Mangsa sering kali diserang hendap atau ditangkap ketika lalu berdekatan tempat ia berehat,” ujarnya sambil memberitahu katak jantan mempunyai saiz yang lebih kecil daripada betina.

Tambahnya, haiwan yang dianggap menggelikan oleh kebanyakan orang ini tidak menggemari suhu yang terlalu ekstrem sama ada terlalu panas atau sejuk, namun haiwan ini banyak ditemui mendiami hampir keseluruhan habitat dari pinggir pantai hingga ke puncak pergunungan.

Kebanyakan katak dan kodok hidup di lantai hutan atau mengorek lubang bawah tanah. Malah, ada sebahagiannya hinggap di atas pokok pada ketinggian berbeza, hidup di tepi atau di dalam kolam, tasik, sungai dan danau.

Kepelbagaian spesies katak dan kodok sangat tinggi di kawasan beriklim tropika yang panas dan lembap sepanjang tahun.

“Katak bertanduk Borneo (Megophrys Nasuta) bertabur secara meluas di Malaysia.

“Strukturnya persis daun kering dan bergerak dengan cara merayap dan duduk di lantai hutan,” katanya.

Antara spesies katak yang dipamerkan di dalam bekas kaca, terdapat spesies katak comel berwarna biru yang labelnya tertulis Dendrobates Azureus. Walaupun warnanya menarik, tetapi awas kerana ia daripada spesies yang beracun.

Katak-katak daripada keluarga Dendrobates mempunyai toksin yang boleh membunuh musuhnya apabila tersentuh atau termakan. Kebiasaannya, keluarga ini mempunyai warna yang terang seperti biru, merah, oren atau kuning sebagai tanda amaran bahawa mereka beracun.

“Katak Azureus sangat beracun di habitat asalnya kerana diet pemakanannya. Ia makan semut yang makan pokok beracun. Jadi, racun pokok tersebut dipindahkan kepada semut dan kemudian racun itu hadir dalam badan katak,” ujarnya.

Malah, seekor katak beracun Phyllobates terribilis berupaya menghasilkan toksin yang boleh membunuh 10 lelaki dewasa.


SALAH seorang pengunjung mengambil kesempatan merakamkan gambar katak yang dilihatnya.

Kebanyakan katak ini hidup secara terestrial (daratan) di hutan hujan tropika di Brazil, Ecuador dan Lembangan Amazon. Ia mempunyai kelakuan yang sangat kompleks dari segi sosial, kewilayahan, memikat dan penjagaan anak.

Sifat beracun merupakan salah satu daripada strategi mempertahankan diri kedua-dua amfibia tersebut. Strategi lain yang sering kali digunakan oleh katak dan kodok untuk menyelamatkan diri daripada musuh adalah penyamaran, melompat sejauh mungkin, pura-pura mati, kembungkan badan dan mengeluarkan cecair berbau busuk daripada kelenjar parotidnya.

Sama ada anda percaya atau tidak, orang Matses dan Mayoruna di Amerika Selatan menjilat permukaan badan katak pokok iaitu Phyllomedusa bicolor yang merupakan antara katak pokok paling besar saiznya.

Katak tersebut dijilat bagi memberikan rasa khayal. Ia juga dilaporkan mampu menghasilkan pelbagai kesan rangsangan daripada ubat pelali dan halusinasi.

Pameran untuk pendidikan

Kurator Muzium Alam Semula Jadi, Degor Johia memberitahu, Malaysia menjadi habitat kepada 3.3 peratus daripada keseluruhan spesies anura (katak dan kodok) yang telah direkodkan di dunia. Saban tahun, ada sahaja penemuan baharu direkodkan terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Setakat ini, 100 spesies daripada 237 spesies di negara ini ditemui di Semenanjung Malaysia, manakala selebihnya terdapat di Sabah dan Sarawak.

“Jika katak hidup dalam kaptiviti, usianya boleh menjangkau sehingga 40 tahun berdasarkan rekod yang pernah dilakukan oleh Zoo San Diego di Amerika Syarikat yang membela katak.

“Purata usia katak yang hidup dalam habitat semula jadinya menjangkau usia 10 hingga 15 tahun,” katanya yang mendapat kerjasama pakar katak dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Norhayati Ahmad untuk menjayakan Pameran Katak dan Kodok yang berlangsung selama sebulan.

Menurutnya, sepanjang pameran dijalankan, pelbagai aktiviti akan dirangka dari masa ke masa pada setiap hujung minggu khusus buat pelajar sekolah.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuklah bicara ilmiah yang mendedahkan pengunjung mengenai kepentingan katak dan kodok serta cara penjagaannya sebagai haiwan peliharaan.


KATAK bertanduk Borneo ini sukar dikesan memandangkan badannya persis daun kering dan sering merayap di lantai hutan.

Ditanya sama ada kedua-dua haiwan amfibia tersebut sesuai untuk dijadikan haiwan peliharaan, Degor memberitahu, ia dibenarkan tetapi mengikut spesies kerana kebanyakan spesies katak dan kodok dilindungi oleh Jabatan Perhilitan.

Katak dan kodok dalam pameran tersebut diperoleh muzium daripada pelbagai pihak manakala katak awet basah dan kering melalui kerjasama UKM.

Dalam pada itu, Pengetua Krista Kindergarten, Bandar Bukit Raja, Klang, B. Subashini, 33, menyifatkan pameran katak dan kodok yang dianjurkan pihak muzium sangat bagus.

“Ia bukan sahaja sarat dengan informasi, malah pengunjung terutamanya kanak-kanak dapat melihat dengan lebih dekat spesies katak dan kodok yang jarang ditemui di Malaysia.

“Pelajar prasekolah yang datang ke sini begitu teruja dan seronok apabila mereka dapat membezakan antara katak dan kodok,” katanya sambil memberitahu mengunjungi muzium lebih baik berbanding taman tema yang memberikan elemen keseronokan sahaja.

Oleh NURUL IZZA ROSLY
Sumber: Kosmo

Kepentingan Katak dan Kodok


Manusia telah menjadikan katak sebagai sumber protein sejak ribuan tahun lalu.

SEBUT sahaja katak mahupun kodok, rata-rata daripada kita menganggap haiwan pemilik fizikal hodoh dan menggelikan ini tidak menyumbang apa-apa kepada kebaikan kehidupan manusia. Hakikatnya, haiwan ini menjadi pelengkap kepada ekosistem kehidupan.

Menurut Kurator Zoologi Muzium Alam Semula Jadi, Nor Zela Suleiman, dalam ekosistem, semua haiwan saling berhubung kait.

"Jika katak dan kodok ini semakin kecil jumlahnya, ia akan menjadi tidak seimbang dan kemungkinan jumlah serangga bertambah.

"Bukan sahaja ular kekurangan makanan, malah ia akan menimbulkan masalah lain pula seperti penyakit pembawaan serangga akibat jumlahnya tidak terkawal," katanya yang suka bermain dengan katak seawal usia lima tahun.

Ujarnya, bilangan serangga perosak akan meningkat dan memusnahkan tanaman sekali gus menyebabkan penggunaan racun perosak secara berleluasa hingga menyebabkan lebih banyak hidupan akuatik mati.

"Populasi serangga pembawa penyakit akan meningkat dan ini akan menyebabkan penyakit seperti denggi dan malaria juga akan meningkat.

"Banyak haiwan pemangsa katak dalam rantaian makanan akan berkurangan seperti ular, burung hantu dan lain-lain," katanya.

Agen kawalan biologi

Pasti ramai yang tidak mengetahui bahawa kedua-dua amfibia tersebut penting sebagai agen kawalan biologi.  Ini dapat dilihat pada tahun 1987, negara India telah mengharamkan pengeksportan katak selepas penurunan populasi katak tempatan secara drastik hingga mengakibatkan populasi nyamuk dan jangkitan malaria meningkat.

Petani pula terpaksa menggunakan racun serangga untuk mengawal populasi serangga perosak tanaman.

Kajian mendapati 1,000 ekor Katak Cengkerik Utara (Acris crepitans) makan empat hingga lima juta antropoda yang kebanyakannya ialah serangga setahun. Hasil kajian itu membuktikan bahawa katak juga merupakan agen kawalan biologi yang penting.

Haiwan dua alam itu yang larvanya hidup di dalam persekitaran akuatik dan apabila dewasa hidup di daratan akan mengalami kesan negatif jika kedua-dua persekitaran iaitu akuatik dan daratan mengalami perubahan serta degradasi.

Kehadiran haiwan dua alam berkenaan juga boleh dijadikan indikator biologi terhadap pencemaran dan perubahan ekosistem di habitatnya.

Sumber protein

Mungkin ia sesuatu yang mengejutkan, tetapi manusia telah menjadikan haiwan ini sebagai salah satu sumber protein sejak ribuan tahun yang lalu. Tidak hairanlah apabila kaki belakang katak menjadi hidangan eksotik yang semakin mendapat permintaan tinggi kini.

Perancis merupakan negara pengimport katak terbesar iaitu sebanyak 2,500 tan hingga 4,000 tan katak diimport ke negara tersebut setiap tahun, manakala Indonesia ialah negara pengeksport katak utama dunia dengan bekalan 5,000 tan katak yang siap diproses ke Perancis, Belgium dan Luxembourg.


KEMEROSOTAN bilangan katak dalam ekosistem akan menyebabkan ular tiada sumber makanan.

Sumber ubat-ubatan

Katak beracun Epipedobates tricolor dari Equador, Brazil mempunyai toksin yang mampu membunuh. Sungguhpun begitu, toksinnya diekstrak untuk mendapatkan sebatian epibatidine bagi tujuan penghasilan ubat tahan sakit yang lebih efektif daripada morfin.

Kini, populasi amfibia tersebut semakin menyusut di seluruh dunia berikutan terlalu sensitif terhadap perubahan persekitaran hingga diancam kepupusan.

Beberapa sebab utama kepupusan haiwan itu telah dirungkai oleh saintis. Antara sebab-sebabnya termasuklah penebangan hutan dan penambakan kawasan bencah yang boleh memusnahkan keseluruhan habitat semula jadi katak.

Dalam pada itu, pencemaran bahan kimia seperti baja dan racun perosak boleh menyebabkan kecacatan fizikal katak ditambah pula dengan kehadiran penyakit serta parasit bawaan bakteria, virus dan chytrid fungus yang menyebabkan kematian amfibia tersebut secara besar-besaran.

"Dalam masa 100 tahun ini, lima spesies katak pupus sepenuhnya. Lebih 300 spesies sudah diancam kepupusan, manakala 37 spesies sudah tiada dalam habitat liar dan cuma dibiak dalam kaptiviti (kurungan)," katanya.

Oleh: NURUL IZZA ROSLY
Sumber: Kosmo

0 comments: