Nuff Atas

04 April 2013

PM Umum Pembubaran Parlimen Untuk PRU-13


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran Parlimen secara langsung menerusi TV1 di Kuala Lumpur pada 3 April 2013.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada jam 11.30 pagi, 3 April 2013 telah mengumumkan pembubaran Parlimen mulai hari tersebut bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) diadakan dalam tempoh 60 hari.

Ucapan PM berhubung pembubaran Parlimen

"Saya ingin memaklumkan kepada rakyat Msia bahawa pada pagi ini telah mengadap Yang d-Pertuan Agong dan menyembah warkah kepada baginda memohon perkenan supaya Parlimen Ke-12 dibubarkan pada hari ini Rabu 3 April 2013.

Sehubungan dengan itu, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, Baginda telah pun memperkenankan bagi Parlimen Ke-12 dibubarkan berkuatkuasa hari ini

Sehubungan dengan itu, saya menasihatkan kepada ketua-ketua kerajaan negeri yang berkenaan untuk mengadap ketua-ketua negeri mereka bagi mendapat perkenan pembubaran DUN masing-masing agar pilihan raya umum dapat diselaraskan secara serentak di seluruh negara.


Hari ini empat tahun lalu, pada tanggal 3 April 2009, saya telah mengangkat sumpah untuk memikul amanah serta tanggungjawab sebagai PM negara Malaysia yang tercinta.

Ikuti teks penuh ucapan PM berhubung pembubaran Parlimen dalam link berikut ini: Utusan [03/04/2013]


TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menandatangani warkah yang dipersembahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) bagi memohon perkenan baginda untuk pembubaran Dewan Rakyat di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Pembubaran DUN

Perdana Menteri menasihati semua kerajaan negeri untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kecuali Negeri Sembilan dan Sarawak, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak.

DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.

Sarawak mengadakan pilihan raya negeri pada 16 April 2011 yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang 55 daripada 71 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Mandat kerajaan semasa akan berakhir pada 28 April 2013. [Kosmo: 03/04/2013]

Speaker Dewan Rakyat terima proklamasi perisytiharan pembubaran Dewan Rakyat ke-12

Yang Dipertua Dewan Rakyat mengesahkan telah menerima Proklamasi Perisytiharan Pembubaran Dewan Rakyat ke-12 yang ditandatangani Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata proklamasi itu diterima daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Beliau menjelaskan perkara itu berdasarkan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

"Dengan perisytiharan ini, maka tempoh Majlis Parlimen ke-12 adalah selama empat tahun 11 bulan. Tempoh ini merupakan antara yang terpanjang dalam sejarah Majlis Parlimen Malaysia," katanya..

Pandikar Amin berkata urusan selanjutnya untuk melaksanakan pilihan raya umum kini terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya. [BHarian: 03/04/2013]

Negara ditadbir kerajaan sementara selepas Parlimen bubar

Selepas pembubaran Parlimen, Perdana Menteri dan anggota jemaah menteri akan meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara yang mentadbir urusan negara.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dibubarkan hari ini, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata kerajaan sementara bermaksud kerajaan sedia ada akan terus mentadbir negara dan semua menteri masih menjalankan tugas dan tanggungjawabnya sebelum ini.

Katanya, amalan yang diterima pakai daripada sistem pentadbiran British itu telah diamalkan sejak merdeka lagi dan ia berjaya memberi kesan positif kepada negara.

“Kerajaan sedia ada akan terus berkhidmat. Kabinet masih mentadbir negara, yang tidak akan menjejaskan pentadbiran negara, dari segi ekonomi dan politik. Semua menteri masih menjalankan tugas sebagai menteri,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, kuasa kerajaan sementara adalah terhad apabila ia hanya melibatkan tugasan harian sahaja tanpa melibatkan sebarang pembentukan dasar atau polisi baharu berikutan pembubaran Parlimen akan membabitkan pembubaran Dewan Rakyat.

“Fungsi untuk mentadbir negara masih sama, tetapi tidak sebagai ahli Dewan Rakyat apabila fungsi di dalam Parlimen tidak ada lagi, dan perundangan tidak boleh dibuat,” katanya.

Wan Junaidi berkata, Ketua Setiausaha Negara selaku ketua pelaksana dasar akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai pegawai tertinggi perkhidmatan awam tanpa kuasa tambahan kerana demokrasi Parlimen hanya memberi kuasa tersebut kepada Badan Eksekutif.

Beliau berkata, istilah kerajaan sementara tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi ia merupakan kelaziman yang dilakukan di negara-negara yang mengamalkan konsep demokrasi berparlimen. [Kosmo: 03/04/2013]

Pembubaran semua DUN lengkap

Pembubaran Semua DUN Lengkap

Pembubaran semua Dewan Undangan Negeri (DUN) lengkap pada hari Jumaat 5 April 2013 dengan yang terakhir DUN Kedah pada jam 10.15 pagi, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Pembubaran DUN sejajar dengan pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 3 April 2013 bagi memberi laluan kepada PRU-13.

DUN pertama dibubarkan sebaik pembubaran Parlimen ialah DUN Perlis apabila ia dimaklumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada jam 12.30 tengah hari, diikuti DUN Melaka apabila Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob menandatangani notis pengisytiharan pembubaran DUN, kira-kira jam 1 tengah hari.

Menyusul petang itu ialah DUN Perak selepas Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah menandatangani watikah pengisytiharan pembubaran DUN, jam 2.30 petang dan DUN Sabah apabila Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin menandatangani notis pengisytiharan pembubaran DUN, jam 3.45 petang.

Dua lagi negeri yang turut membubarkan DUN serentak dengan hari pembubaran Parlimen ialah Terengganu pada 7.45 malam dan Pahang pada 11.45 malam.

Pembubaran DUN Johor juga berkuat kuasa pada hari pembubaran Parlimen, namun pengumumannya hanya dibuat pada hari Khamis 4 April 2013.

Sementara itu, empat negeri yang dikuasai pembangkang pembubaran DUN didahului oleh DUN Selangor selepas Sultan Sharafuddin Idris Shah menandatangani pengisytiharan pembubaran di Istana Alam Shah, petang 4 April 2013.

Pembubaran DUN Kelantan diumumkan oleh apabila Menteri Besar, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat selepas menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Telipot, kira-kira jam 10.50 malam 4 April 2013.

DUN Pulau Pinang pula dibubarkan pada 5 April 2013 selepas Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas menandatangani notis pembubaran, pada jam 9.35 pagi. Pembubaran DUN Kedah diumumkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, jam 10.15 pagi pada tarikh yang sama.

Dalam pada itu, DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik selepas tempoh lima tamat.pada 28 Mac 2013, manakala Sarawak sudah mengadakan pilihan raya negeri pada 2011. [BHarian: 2013/04/05]

PRU-13: Ke mana hala tuju Generasi Y

Seramai 2.3 juta atau 21.69 peratus daripada keseluruhan 13,291,385 orang yang layak mengundi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) merupakan pemilih baharu yang akan mengundi buat julung-julung kalinya tahun 2013 ini.

Menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata angka itu merupakan jumlah pengundi baharu paling tinggi pernah dicatatkan setakat ini.

“Jumlah peningkatan ini adalah hasil kerja kuat dan berterusan oleh SPR untuk menggalakkan rakyat mendaftar sebagai pengundi supaya mereka boleh menjalankan tanggungjawab bila tiba masanya nanti,” kata Wan Ahmad.

Beliau berkata berdasarkan Daftar Pemilih yang diwartakan suku keempat 2012 itu juga menyaksikan 5,564,131 atau hampir 42 peratus daripadanya pengundi yang layak memilih merupakan pengundi muda berusia di bawah 40 tahun.

Daripada jumlah itu, 3,024,909 atau 22.76 peratus merupakan mereka yang berusia antara 30 hingga 39 tahun, manakala 19.1 peratus (2,539,222) lagi berada dalam lingkungan umur 21 hingga 29 tahun.

Kelayakan kumpulan itu untuk menentukan kerajaan yang bakal menerajui negara, menjadikan mereka sasaran ‘pancing’ parti-parti politik yang bertanding pada PRU-13 ini.

Wan Ahmad berkata golongan itu merupakan kelompok yang tidak mengikut telunjuk orang lain. Walaupun mungkin bukan penentu keputusan dalam PRU-13, namun undi kumpulan itu pastinya akan memberi kesan besar dalam pertempuran kali ini yang disifatkan ‘ibu segala pilihan raya’.

Wan Ahmad berkata pada PRU-13 ini SPR akan mengguna pakai Daftar Pemilih (DP) sehingga suku 4/2012 yang diwartakan pada 22 Feb 2013 lepas memandangkan daftar pemilih bagi suku pertama 2013 belum sempat untuk diwartakan.

Katanya, berdasarkan DP itu kumpulan umur paling ramai layak mengundi selepas golongan muda adalah mereka yang berada dalam lingkungan umur 40an (21.85 peratus), 50an (18.39), 60an (10.73) 70an (5.24), 80an (1.58) dan 90an (0.35).

Pada PRU-12 yang dijalankan pada 2008 menyaksikan 10,922,139 pengundi layak mengundi.

Statistik pengundi baru paling ramai menunjukkan Selangor mendahului dengan 2,051,708, penambahan 486,214 (31.06 peratus) berbanding 2008.

Ini diikuti Johor (1,608,326); Perak (1,409,772); Sarawak (1,086,191); Kedah (1,043,281); Sabah (982,311) dan Kelantan (920,433).

Wilayah Persekutuan Putrajaya pula mencatat jumlah pengundi paling sedikit iaitu 15,798 orang. [Kosmo]

1 comments:

MyFreeMinded berkata...

dimana2mana sudah meriah dengan bendera pelbagai kaler... :)