Tidak ramai yang tahu tentang wujudnya geopark di Langkawi. Kebanyakan pengunjung yang mengunjungi Langkawi akan menumpukan lawatan mereka ke tempat-tempat membeli belah selain tempat-tempat peranginan yang biasa-biasa termasuk kawasan pantainya.
Perkataan Geopark itu sendiri begitu asing bagi kebanyakan daripada kita. Ikuti maklumat lanjut tentang Langkawi Geopark yang tercatat dalam artikel yang berikut ini. Semoga Langkawi Geopark menjadi salah satu destinasi kunjungan kita setiap kali bercuti di Langkawi.
Kilim Geoforest Park antara lokasi tumpuan pelancong.
Langkawi telah diiktiraf sebagai geopark global di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (Unesco) pada 1 Jun 2007, dan dikenali sebagai Langkawi Geopark.
Ketika mendapat pengiktirafan dunia daripada Unesco pada 2007, Langkawi Geopark adalah geopark global yang pertama di Asia Tenggara dan yang ke-52 di bawah Global Geoparks Network (GGN), Unesco.
Kini sudah pun terdapat 93 buah geopark global di 29 negara. Namun, Langkawi Geopark kekal sebagai satu-satunya geopark di dunia yang berstatus bebas cukai dan meliputi 99 pulau.
Kumpulan pakar di Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), UKM dan Jabatan Mineral dan Geosains, di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang mengkaji kemungkinan memperkenalkan geopark baru di Malaysia.
Antaranya, termasuklah Kinabalu, Delta Sarawak, Lembah Kinta, Ulu Kelantan, Ulu Pahang, Tasik Kenyir serta beberapa yang lain.
Jika menepati syarat dan kriteria, ia akan dikemukakan ke Global Geoparks Network di bawah Unesco untuk pengiktirafan peringkat antarabangsa, menjadi geopark global, seperti yang diperoleh bagi Langkawi.
Di bawah peraturan baru, geopark kebangsaan perlu beroperasi selama tiga tahun sebelum boleh dipertimbang oleh Unesco. Jadi, kita tidak akan dapat melihat wujudnya global geopark Unesco yang kedua bagi Malaysia dalam tempoh terdekat.
Jambatan di puncak Gunung Machingcang.
Batu pasir usia 550 juta tahun
Geopark mempunyai sempadan yang jelas terdapat di dalamnya tapak-tapak geologi - ada bukti sejarah pembentukan bumi yang unik.
Tapak warisan geologi menjadi tarikan kepada pengunjung dari sudut keindahan dan keunikannya pada pandangan mata. Pada ahli sains pula, mereka mengkaji dari sudut proses pembentukan dan ilmu asal-usul kejadian alam.
Berikutan itu, ia menjadi kawasan untuk dilindungi, tapak untuk penyelidikan saintifik lanjutan dan bahan untuk pendedahan ilmu. Kawasan-kawasan ini yang turut kaya dengan kepelbagaian biologi, amat berpotensi dibangunkan secara lestari untuk faedah ekonomi, khususnya bagi maksud pelancongan.
Geopark bukanlah sekadar batu tetapi berkaitan dengan manusia. Justeru, hasil penciptaan bumi yang terukir pada bukit dan pulau walaupun nampak cantik, unik dan mempesonakan tetapi jika ia berada dalam wilayah yang tidak berpenghuni, maka ia cuma sesuai dipanggil geotapak (tapak geologi) dan bukan geopark.
Di Langkawi Geopark terdapat lebih 90 geotapak dalam wilayah kepulauan yang dihuni 92,000 penduduk. Oleh kerana Langkawi merupakan kepulauan yang khusus dibangunkan untuk pelancongan, maka infrastruktur yang telah dibina turut memudahkan pengunjung melawati tapak-tapak geologi berkenaan.
Langkawi Geopark merangkumi seluruh kepulauan Langkawi. Bagaimanapun, pengenalan geopark secara ketara adalah melalui tiga kawasan iaitu Machinchang Cambrian Geoforest Park, Kilim Karst Geoforest Park dan Dayang Bunting Marble Geoforest Park. Konsep Geoforest memudahkan urusan pemuliharaan dan promosi pelancongan.
Keistimewaan Machinchang ialah formasi batu pasir berusia 550 juta tahun, yang tertua di rantau ini - menjadi tempat lahirnya bumi Malaysia. Masih ramai tidak mengetahui hakikat ini.
Kilim pula berbangga dengan ukiran alam pada bukit dan pulau batu kapur yang diselimuti hutan bakau dan hidupan pelbagai. Pulau Anak Tikus menyimpan khazanah fosil berusia sekitar 400 juta tahun.
Dayang Bunting Geoforest Park pula mempamerkan pulau batu marmar dengan tasik air tawar yang dikatakan terbentuk dari sebuah gua. Ia diulit pula dengan mitos kesaktian air tasik sebagai penyambung zuriat.
Landskap batuan yang unik terhasil oleh proses semula jadi.
Teraju pasaran pelancongan
Konsep geopark yang mengutamakan penglibatan manusia membuka peluang dan potensi yang amat besar dalam pembangunan sosioekonomi bidang pelancongan warisan alam semula jadi atas nama ekopelancongan atau pun geopelancongan.
Namun sejauh manakah negara kita telah memanfaatkan pengiktirafan antarabangsa ini untuk meletakkan Langkawi pada kedudukan yang unggul dalam pasaran pelancongan dunia? Kerajaan negeri Kedah telah memperkenalkan slogan ‘Langkawi Permata Kedah’.
Memang tepat sekali sekiranya ia merujuk kepada pengiktirafan dunia terhadap Langkawi Geopark kerana pencapaian inilah yang menjadikan Langkawi sebutir permata di mata dunia bukan sahaja bagi Kedah tetapi Malaysia.
Keistimewaan Langkawi Geopark yang diiktiraf dunia mampu meletakkannya pada kedudukan yang tinggi dalam pasaran pelancongan antarabangsa. Dengan promosi bijak dan serius, Langkawi Geopark seharusnya menjadi peneraju pasaran pelancongan berasaskan sumber asli kepulauan yang mendukung slogan naturally Langkawi dan bukan sekadar menjadi pengikut dalam kalangan destinasi pulau.
Dengan kata lain, keunggulan dan keistimewaan Langkawi Geopark telah diakui dunia dan tidak terbanding.
Ia satu-satunya produk pelancongan pulau yang mempunyai jenama dunia yang belum mempunyai pesaing nyata. Inilah gelanggang pasaran baru melibatkan inovasi dan nilai baru di mana pesaing menjadi tidak relevan.
Di sinilah Langkawi berpeluang menjadi destinasi pulau terbaik nombor 1, bukan sekadar di kalangan 10 yang terbaik di dunia.
Sumber: SinarHarian [31/3/2013]
2 comments:
tak pernah sampai langkawi.. :(
memang tak tahu pun.. sebab lum pernah lagi ke Langkawi..
Catat Ulasan