13 Mei 2013

Kesan Sukan Ganas Terhadap Otak


OBJEKTIF sukan tinju yang memfokuskan tumbukan padu di kepala meningkatkan risiko kecederaan otak.

KETIKA peninju Ireland, Katie Taylor beraksi buat pertama kali di Olimpik yang berlangsung di timur London pada tahun 2012 lalu, John Hardy langsung tidak mahu menontonnya.

Sebagai seorang neurosaintis dan ahli biologi molekul, John berpendapat, perlawanan tinju seumpama satu sesi merosakkan otak.

"Kita tidak sepatutnya berasa gembira apabila menonton aksi tinju yang boleh merosakkan otak mereka," kata John yang merupakan Pengerusi Penyakit Neurologikal Molekul Biologi, Institut Neurologi di Universiti College London.


Penyelidikan John memberi fokus kepada penyakit alzheimer dan lain-lain jenis demensia.

Kemodenan neurosains bermakna para saintis mampu mengesan kerosakan otak dan trauma jangka panjang hasil daripada tumbukan yang banyak pada kepala.

Berdasarkan kejayaan sains itu, ketika ini merupakan masa yang sesuai untuk meneliti kerosakan otak dalam sukan termasuklah pemain Liga Bola Sepak Kebangsaan Amerika (NFL).

Sesetengah pihak percaya, bekas pemain San Diego Charger, Junior Seau membunuh diri tahun 2012 lalu selepas beberapa tahun menderita akibat konsusi berganda.

Penyelidikan neurologi

Minggu lalu, NFL dan General Electric Co. mengumumkan usaha sama dengan pakar-pakar neurologi. Mereka mengumumkan peruntukan sebanyak AS$60 juta (RM182.67 juta) bagi mempercepatkan kajian terhadap kecederaan otak.

Kajian bertujuan meningkatkan diagnosis dan rawatan selepas keprihatinan masyarakat meningkat mengenai konkusi berkaitan dengan sukan.

Debat mengenai otak telah dibawa ke Rumah Putih. Pada Januari lalu, Presiden Barack Obama mencadangkan perubahan dibuat pada undang-undang NFL bagi mengurangkan tahap impak keganasan.

Dalam sukan bola sepak juga, kebimbangan mengenai kecederaan terhadap pemain meningkat, kebarangkalian berlaku semasa mereka menanduk bola.

Satu kajian ringkas terhadap pemain bola sepak wanita bulan lalu menemui bukti pengurangan mental disebabkan perbuatan menanduk bola dengan banyak kali.

Para penyelidik Amerika Syarikat (AS) yang menjalankan kajian tersebut menyatakan menanduk bola menyebabkan kecederaan traumatik otak lemah pada lobus frontal.

Dalam sukan tinju, pakar kesihatan dan saintis, malah sesetengah atlet sendiri mempunyai kerisauan mengenai keadaan otak selama berdekad-dekad.

Bekas juara tinju dunia kelas featherweight berbangsa Ireland, Barry McGuigan pernah menyuarakan perasaan takutnya yang sukan tersebut boleh merosakkan otaknya.

Peninju kelas lightweight, Terry Marsh yang didiagnosis menghidap epilepsi turut mengakui tumbukan di kepala boleh memberikan kesan negatif.


BOLA sepak Amerika juga dilihat sebagai antara sukan yang menyumbang kepada kecederaan otak.

Tumbukan mabuk

Pada tahun 1928, ahli patologi AS, Stanford Martland menulis sebuah kertas kerja bertajuk Punch drunk (Tumbukan mabuk) yang menceritakan penderitaan seorang peninju yang mengalami kecederaan otak akibat saluran darah pecah.

Kondisi punch drunk dikenali sebagai ensefalopati traumatik kronik (CTE) atau demensia pulilistika. Ia juga dikenali sebagai demensia peninju.

Ia merupakan penyakit neurodegeneratif yang boleh memberi kesan kepada para peninju akibat hentakan di kepala seperti kemurungan, impulsiviti dan kehilangan memori.

"Ramai peninju dan pemain bola sepak Amerika pada usia 30-an dan 40-an mengalami kemurungan," kata John.

Juara heavyweight AS dan idola dunia tinju, Muhammad Ali mula bergelut dengan percakapan tergagap-gagap dan tangan terketar-ketar.

Keadaannya kesihatannya semakin merosot apabila mendapat gangguan neurogeneratif sindrom Parkinson.

Bekas juara heavyweight dunia British, Frank Bruno didiagnosis mempunyai keadaan sama dengan teman senegara, Michael Watson.

Dia memerlukan enam pembedahan otak dan menderita kerosakan kekal selepas ditumbangkan dalam perlawanan pada tahun 1991.

Dalam bahasa sains otak, ia dipanggil hilang kawalan eksekutif.

"Ia tidak wujud dalam personaliti sebagai peninju, ia merosakkan korteks frontal. Mereka sudah pun mengalami pengalaman kecederaan otak. - Reuters

Sumber: Kosmo

2 comments:

Mizz Aiza berkata...

sukan yang nampak seronok tapi bahaya terhadap otak..

Bunda_nora berkata...

bahaya ni...nak sihat jadi lain pulak...