25 Mei 2013

Nombor Pendaftaran WP Kuala Lumpur Baru Bermula W1A


Kenderaan Siapakah Bakal Memiliki Nombor Plat Pendaftaran Ini?

Nombor pendaftaran kenderaan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan bermula dengan siri nombor baharu iaitu W (nombor 1 sehingga 9999) dan berakhir A, dijangka pada Julai 2013 depan, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata, nombor pendaftaran kenderaan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur kini mencapai nombor siri WYK 6xxx dan ia akan berakhir dengan siri nombor WYY 9999 dalam tempoh terdekat, berkemungkinan Julai 2013 ini.

Katanya, terdapat 13 siri lagi sebelum mencapai siri nombor pendaftaran WYY. “Sehubungan itu, adalah diputuskan bahawa siri nombor pendaftaran baru Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan bermula dengan W1A dan berakhir dengan W 9999 A.


"Siri berikutnya adalah W 1 B Sehingga W 9999 B, diikuti dengan W 1 C dan seterusnya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat di Kementerian Pengangkutan.

Selepas berakhir dengan siri nombor W 9999 Y, ia akan bersambung dengan WA 1-9999 A sehingga WY 1-9999 Y dan WAA 1-9999 A sehingga WAY 1-9999 Y. Siri baharu ini pula akan berakhir dengan WYY 1-9999 Y.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berikrar untuk mempertingkatkan pengangkutan awam bandar dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Dengan kerjasama kementerian-kementerian yang berkaitan, saya yakin transformasi dapat dilaksanakan dan kehendak rakyat dan orang ramai akan dipenuhi," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin memberi jaminan Kementerian Pengangkutan yang terdapat sembilan bahagian, lima unit dan 12 agensi akan sentiasa mendahului kepentingan rakyat.

Beliau berkata, semua isu berhubung kait dengan Kementerian Pengangkutan di laut, udara dan darat akan diimbangi dan diberi perhatian, termasuk Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

“Ada isu yang memerlukan perhatian segera, sesetengahnya memerlukan keputusan kabinet sementara yang lain memerlukan keputusasn pihak ketiga.

"Isunya banyak, bukan setakat AES. Saya melihat pada semua isu.

“Isu seperti AES tidak boleh ditentukan dalam tempoh sehari saja...Saya adalah Menteri Pengangkutan untuk negara ini dan bukan hanya untuk AES,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai pelaksanaan AES apabila Jabatan Peguam Negara sebelum ini memutuskan untuk meneliti perkara berkaitan saman trafik yang dikeluarkan.

Pada Disember 2012 lalu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, langkah itu diambil berikutan kebimbangan pihak tertentu berhubung undang-undang dan perkara teknikal dan semua prosiding mahkamah yang berkaitan juga dibekukan sehingga kebimbangan berkenaan selesai. - BERNAMA

Sumber: BHarian [23052013]

2 comments:

Dayang Deno berkata...

deno pun tahu pasal ni kat berita semalam :)

MyFreeMinded berkata...

mesti dah ada yang bida nombor terakhir tu...
Menteri Pengangkutan yang bukan hanya untuk AES sahaja, dan berharap dapat memikirkan untuk semua rakyat bukan "sesetengah rakyat" sahaja..