Nuff Atas

03 Jun 2013

Peraturan Larangan Keluar Negara



Jabatan Imigresen menyenaraihitamkan 6,564 warga negara Malaysia kerana melakukan pelbagai kesalahan di luar negara, sekali gus menyebabkan mereka dilarang untuk keluar antara tiga hingga lima tahun seperti diperuntukkan Akta Pasport 1966.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Alias Ahmad, berkata mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan seperti melanggar peraturan imigresen negara dikunjungi, berkait dengan kegiatan jenayah dan tindakan mencemar imej negara.


Pasport dibatal

“Mereka yang dikenal pasti itu, apabila kembali ke negara ini, maka tindakan diambil termasuk membatalkan pasport mereka, menyebabkan mereka tidak boleh keluar dari Malaysia.

“Tiada undang-undang yang boleh halang rakyat Malaysia pulang ke negara ini tetapi kerajaan boleh halang mereka daripada keluar apabila melakukan kesalahan di luar negara,” katanya ketika hubungi BH, semalam.

Akhbar BH baru-baru ini melaporkan imigresen sedang mengesan rakyat Malaysia di luar negara termasuk pelajar yang didapati melakukan perbuatan yang melanggar undang-undang serta mencemar imej negara.

Burukkan nama negara

Tindakan tegas itu diambil berikutan keghairahan segelintir rakyat Malaysia yang dikesan melakukan perbuatan memburukkan nama negara termasuk melakukan demonstrasi serta mempamerkan bendera Malaysia secara terbalik di luar negara.

Dalam pada itu, Alias meminta mana-mana rakyat Malaysia di luar negara supaya pulang ke tanah air dan menggunakan saluran yang betul bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka terhadap sistem sedia ada, bukan berbuat demikian di luar negara.

Mengenai rakyat asing di negara ini, Alias berkata, pasport mereka juga boleh dibatalkan dan diusir keluar jika menyalahi undang-undang negara seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 8 Akta Imigresen 1959/1963.

Oleh: Wan Noor Hayati Wan Alias
Sumber: BHarian [2013/05/30]

0 comments: