02 Jun 2013

Akta Salah Guna Media Sosial Dikaji



Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang mengkaji undang-undang mengenai penyalahgunaan media sosial yang dilihat boleh mengganggu gugat keharmonian negara.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek, berkata pihak kementerian sedang memantau kaedah yang diguna pakai negara lain dalam menangani isu berkenaan.

Katanya, penyalahgunaan media sosial jika tidak dipantau dikhuatiri akan menjurus kepada penyiaran berita yang tidak dapat dipastikan kesahihan sumbernya dan juga berbaur hasutan.


Perlu bertanggungjawab

Isu penyalahgunaan media sosial perlu diteliti kerana dalam melaksanakan undang-undang berkenaan, kita tidak mahu menyekat kebebasan bersuara.

Semua pengamal media termasuk pengendali media sosial perlu lebih bertanggungjawab terhadap bahan berita yang dihasilkan kerana dikhuatiri akan menjadi punca perbalahan kaum dan agama di negara ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, yang menggesa kerajaan Malaysia mengambil contoh Singapura untuk mewajibkan lesen terhadap semua laman web berita di negara ini.

Azwanddin juga dipetik berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu memainkan peranan penting dalam menguatkuasakan lesen kepada pengendali laman web berita bagi memudahkan kerajaan mengambil tindakan terhadap pihak yang menerbitkan berita dan laporan berbaur hasutan.

Oleh Syalikha Sazili
Sumber: BHarian [2013/05/31]

Singapura perketat undang-undang laman web berita

Pemantau media rasmi Singapura mengumumkan peraturan pelesenan bagi laman-laman web berita, termasuk portal Yahoo! tempatan, yang akan tertakluk sama seperti peraturan yang dikenakan terhadap media tradisional.

Lembaga Pembangunan Media (MDA) dalam kenyataannya berkata, peraturan baharu tersebut akan berkuatkuasa 1 Jun ini terhadap laman web yang memperoleh lebih 50,000 pelawat unik daripada Singapura pada setiap bulan dan menyiarkan sekurang-kurangnya satu berita tempatan seminggu.

Selain itu, laman web yang diberi lesen perlu memadamkan artikel yang boleh mengancam keamanan dan berbaur perkauman dalam tempoh 24 jam selepas diarahkan oleh MDA. - AFP

Sumber: Utusan [28052013]

0 comments: