27 Julai 2013

Jambatan Mataf Untuk Warga Emas Dan Kurang Upaya


Pembinaan jambatan di kawasan tawaf di sekeliling Kaabah, boleh membantu melancarkan pergerakan jemaah umrah yang dijangka semakin meningkat menjelang penghujung bulan Ramadan.

Jurucakap Kementerian Haji Arab Saudi, Hatim Qadi hari ini berkata, jambatan baharu yang dibina di kawasan tawaf (mataf) di sekeliling Kaabah akan dibuka kepada jemaah pada minggu ini.

Beliau bagaimanapun berkata, hanya orang kurang upaya dan warga emas yang dibenar menggunakan jambatan itu. Menurutnya, jambatan yang dibina mengelilingi Kaabah itu boleh menempatkan 7,000 jemaah yang berkerusi roda untuk setiap jam.

"Dengan adanya jambatan tersebut, pergerakan di kawasan tawaf biasa akan menjadi lebih lancar kerana tidak akan ada lagi penggunaan kerusi roda," katanya yang dipetik oleh Arab News.




Pihak berkuasa Arab Saudi telah meningkatkan persediaan untuk menerima berjuta-juta jemaah pada 15 hari terakhir Ramadan.

Dalam tempoh itu, umat Islam dari seluruh dunia akan berpusu-pusu mengerjakan umrah dan menunaikan solat sunat Tarawih di Masjidilharam.

Kira-kira lima juta jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi dijangka menunaikan ibadah umrah pada bulan Ramadan ini. Jawatankuasa itu berkata bahawa 400,000 daripada mereka masih kekal di Makkah dan Madinah.

Umat Islam memilih untuk menunaikan ibadah umrah pada bulan Ramadan kerana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda umrah pada bulan Ramadan menerima ganjaran sama dengan ibadah haji.


Pembinaan Jambatan Tawaf

Persediaan sambut jemaah umrah dipertingkatkan


Seorang anggota polis Arab Saudi memantau keadaan di Mekah melalui kamera keselamatan.

Pihak berkuasa Arab Saudi meningkatkan persediaan mereka untuk menerima berjuta-juta jemaah dari seluruh dunia yang mahu menunaikan umrah dan mengerjakan solat tarawih di Masjidilharam sempena 15 hari terakhir bulan Ramadan.

Jawatankuasa Pusat Haji yang dipengerusikan oleh Gabenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal telah menilai semula persediaan yang dibuat sebelum ini bagi memastikan keselamatan dan keselesaan jemaah. Beliau turut menggesa orang awam dan agensi swasta memberikan perkhidmatan terbaik kepada tetamu Allah.

Kira-kira lima juta jemaah dari dalam dan luar Arab Saudi dijangka membanjiri Masjidilharam untuk menunaikan umrah ketika bulan Ramadan ini.

Menurut Jawatankuasa Pusat Haji, kontrak dengan lima syarikat pengangkutan untuk membekalkan 1,600 buah bas telah ditandatangani bagi menyediakan perkhidmatan mengangkut jemaah pergi dan balik dari kawasan letak kenderaan di luar Mekah ke Masjidilharam.

"Hampir 35,000 pegawai keselamatan, termasuk pasukan khas, turut ditempatkan di dalam dan sekitar Masjidilharam untuk memastikan semua peraturan dipatuhi dan keselamatan jemaah terjamin.

"Kira-kira 4,000 kamera litar tertutup (CCTV) pula dipasang di beberapa kawasan berbeza di sekitar Mekah untuk memantau pergerakan jemaah," kata jawatankuasa itu.

Ketua Bilik Operasi Pertahanan Awam, Haithem Al-Matrafi pula ditugaskan untuk memaklumkan pegawai-pegawai bertugas di lapangan tentang insiden trafik dan kesesakan, sekali gus mengambil tindakan segera.

Pengangkutan Awam di Mekah ditingkat


Perkhidmatan kereta api elektrik Projek Metro Al Mashaaer Al Mugaddassah, merupakan satu daripada pengangkutan awam yang memudahkan perjalanan ibadah umrah para jemaah di Mekah.

Arab Saudi merancang mengutamakan kemudahan pengangkutan awam kepada 15 juta jemaah dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa kemuncak musim umrah pada bulan Ramadan tahun 2013 ini.

Semua aspek dalam melaksanakan pelan dan topik berkaitan 'Kawasan Pusat Haram' telah dibincang pada satu mesyuarat Jawatankuasa Haji Pusat (CHC) yang dipengerusikan Putera Khaled Al-Faisal pada 23 Julai 2013.

Pelan yang diluluskan oleh Putera Khaled itu bertujuan membolehkan kira-kira 15 juta penumpang termasuk jemaah umrah dan pelancong menggunakan pengangkutan awam semasa bulan Ramadan 2013 ini.

Selain perkhidmatan Syarikat Pengangkutan Awam Saudi (SAPTCO), lima syarikat pengangkutan swasta turut ditugaskan untuk menyediakan sebanyak 1,600 buah bas ulang-alik antara beberapa kawasan di dalam bandar dan Masjidilharam sebagai satu daripada rancangan tersebut.

Pelan operasi itu yang sedang diselia oleh jawatankuasa persediaan CHC secara jelas mentakrifkan tugas dan misi bagi setiap agensi dan jabatan berkaitan tentang melanjutkan perkhidmatan dan kemudahan kepada jemaah semasa Ramadan.

Putera Khaled yang juga Pengerusi CHC berkata, pelan yang diterjemahkan menerusi tindakan itu menunjukkan kesungguhan dan keprihatinan Raja Abdullah bagi menyediakan perkhidmatan dan kemudahan sebaik mungkin kepada jemaah.

Beliau pada masa yang sama mengucapkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam memberi perkhidmatan kepada jemaah dan pengunjung Masjidilharam, lapor Saudi Press Agency.

Mesyuarat itu turut membincangkan laporan Kementerian Haji tentang musim umrah kali ini yang menyatakan peningkatan jemaah umrah asing mencecah lima juta orang tahun ini. Buat masa ini, terdapat kira-kira 400,000 jemaah umrah di Mekah dan Madinah.

Sumber: Utusan [22072013], Arab NewsUtusan Artikel1 [24072013] dan Utusan Artikel2 [24072013]

0 comments: