26 Julai 2013

Enam Perkara Adab Berpuasa Mesti Dijaga



Umat Islam dituntut meningkatkan kualiti dan kuantiti amalan ibadat sepanjang Ramadan dan pada masa sama dituntut menahan diri daripada melakukan perkara membatalkan serta mencacatkan kesempurnaan ibadat puasa.

Dalam istilah fekah, amalan menahan diri dikenali sebagai imsak. Pada dasarnya, imsak adalah hakikat ibadat puasa yang sebenarnya. Berdasarkan terminologi fekah, imsak bermaksud menahan diri melakukan perkara membatalkan ibadat puasa.

Menahan diri bukan daripada makan, minum dan memenuhi nafsu syahwat saja, bahkan puasa menuntut lebih daripada itu. Justeru, setiap Muslim wajib memelihara adab berpuasa sepanjang Ramadan termasuk mengelak daripada mengumpat, mencela, memaki nista serta memfitnah.


Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan al-zur (dusta, umpat, fitnah, dengki, permusuhan dan seumpamanya yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah), maka Allah tidak lagi memerlukan dia meninggalkan makan minumnya (Allah tidak akan menerima amalan puasanya).” (Riwayat Bukhari)

Jelas di sini menahan diri secara menyeluruh itu yang bakal menghasilkan takwa sebenarnya bagi orang yang berpuasa selaras objektif utama pensyariatan ibadat puasa oleh Allah kepada umat Islam. Oleh itu, Rasulullah SAW menyeru umatnya meninggalkan apa yang jelas diharamkan dan dilarang Allah SWT.

Sahabat Nabi SAW, Jabir bin Abdullah berkata: “Jika kamu berpuasa, maka hendaklah kamu berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu daripada perkataan dusta dan segala yang haram. Jangan kamu menyakiti jiran tetangga, hendaklah kamu bersikap tenang dan sabar dan jangan kamu jadikan hari puasamu itu sama dengan hari ketika kamu tidak berpuasa.”

Budi luhur dan amal soleh

Orang yang sebenar-benarnya berpuasa itu mereka yang berpuasa daripada perbuatan dosa dan maksiat. Bicaranya baik dan lembut, amal perbuatannya pula luhur dan soleh. Justeru, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya menghiasi diri dengan budi luhur dan amal soleh.

Imam Al-Ghazali menegaskan, puasa orang yang menjaga perut daripada makan dan minum serta memelihara kemaluannya disebut sebagai puasa orang awam yang tidak akan mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga semata-mata.

Manakala puasa yang bernilai di sisi Allah ialah puasa khusus iaitu terdapat enam perkara yang harus dipelihara selain daripada menjaga perut dan kemaluannya. Keenam perkara itu ialah menjaga pandangan daripada melihat yang haram dan menjaga lisan daripada dusta, mengumpat, fitnah dan sumpah palsu.

Menjaga pendengaran daripada mendengar yang haram; menjaga makanan daripada yang makruh dan haram; menjaga tangan daripada berbuat maksiat dan kaki daripada melangkah ke tempat dilarang; penuh pengharapan dan cemas akan puasa yang dilakukannya.

Menurut Imam Al-Ghazali lagi, ada satu lagi darjat puasa yang paling tinggi iaitu puasa lebih khusus daripada yang khusus di samping menjaga enam hal dalam puasa khusus iaitu menjaga hati daripada kecenderungan terhadap pesona dunia.

Justeru, takwa adalah satu kesedaran moral dan keinsafan spiritual yang tinggi hanya diperoleh daripada satu bentuk latihan atau amalan yang menuntut kesungguhan serta pengorbanan. Dengan itu, ibadat puasa berupaya melahirkan peribadi terbilang, jujur dan bertanggung jawab.

Hasil puasa bukan hanya diukur dengan sekadar menahan lapar dan dahaga sebaliknya dilihat pada aplikasinya dalam sebelas bulan yang seterusnya. Sebab itulah seseorang itu dianggap berjaya dalam ibadat puasanya apabila dia hanya menurut kepada kehendak Ilahi semata-mata.

Oleh Engku Mohd Zaki Mohd Alwi
Sumber: BHarian [2013/07/21]

0 comments: