Nuff Atas

31 Julai 2013

Penghafaz Al-Quran Pilihan Allah



PADA usia 11 tahun, Dr. Masyitah Musa sudah menunjukkan minat untuk menjadi hafizah Quran. Perasaan itu muncul dalam dirinya lantaran melihat kesungguhan abangnya, Muhammad Arif menghafaz kitab suci tersebut.

Muhammad Arif yang berusia 14 tahun ketika itu, mengikuti pengajian tahfiz di sebuah sekolah pondok di Kelantan. Justeru, Masyitah mula menyuarakan keinginan untuk berbuat demikian kepada kedua-dua ibu bapanya. Namun, niat anak keempat daripada tujuh beradik itu pada awalnya kurang dipersetujui si ayah.

Ini kerana Masyitah merupakan anak perempuan dan ayahnya bimbang dia tidak dapat menyesuaikan diri apabila dihantar ke sekolah pondok bersama abangnya kelak. Tetapi, melihat semangat yang dipamerkan anak gadisnya, si ayah akhirnya akur.


"Saya kemudian dihantar ke tempat abang belajar iaitu di Sekolah Maahad Tahfiz Antarabangsa Al-Imam, Kubang Kerian, Kelantan. Saya berada di sana selama dua tahun setengah. Pembelajaran hanya fokus kepada hafazan al-Quran sepenuhnya, namun ada juga subjek teras disediakan.

"Walaupun kemudahan asrama di sekolah tersebut kurang sempurna, namun saya tidak mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri. Apa yang dihidangkan, saya makan seadanya. Alhamdulillah, pada usia 13 tahun, saya berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran," ujar Masyitah yang kini bertugas sebagai Pegawai Perubatan Siswazah di Hospital Melaka.

Sebaik menamatkan pengajian di tahfiz, Masyitah bercita-cita pula untuk menjadi seorang doktor. Ini kerana beliau teruja selepas melihat isteri mudirnya di sekolah itu juga seorang doktor.


PELAJAR Maahad Tahfiz Tahsin al-Quran yang diasaskan Muhammad Nasir menghafaz al-Quran secara berkumpulan.

Ingatan lebih kuat

Maka, pada usia 14 tahun, beliau mendaftar di sebuah sekolah swasta iaitu Sekolah Islam Aman di daerah yang sama. Kesungguhannya belajar sendiri di samping mengikuti kelas tuisyen membolehkan Masyitah memperoleh keputusan 7A, 2B dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Begitu juga ketika menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Imtiaz Dungun, Masyitah berjaya mendapat keputusan cemerlang 8A, 4B sekali gus membolehkannya mengikuti pengajian di matrikulasi. Setahun kemudian, beliau menyambung pelajaran dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perubatan, bidang yang pernah diimpikan sewaktu awal remaja.

Bagaimanapun, dalam kesibukannya belajar akademik, beliau tidak pernah lupa untuk mengulang bacaan atau disebut murajaah antara satu ke dua juzuk setiap hari. Perkara itu sentiasa dilakukan sehingga kini, walaupun kerjaya sebagai doktor dipenuhi tekanan tersendiri.

"Bagi saya, antara kelebihan menghafaz al-Quran ialah mampu menjadikan ingatan kita lebih kuat. Maka, apabila kita belajar subjek akademik, ia menjadi lebih mudah untuk dikuasai," kata Masyitah yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan Shaiful Hisham Sharuddin, 31, pada Februari lalu.

Namun, pasangan itu terpaksa hidup berjauhan kerana Shaiful Hisham bertugas sebagai pegawai kewangan di Bank al-Bilad di Riyadh, Arab Saudi sejak lebih dua tahun lalu.

Apabila ditanya perasaan beristerikan seorang hafizah Quran, Shaiful yang kebetulan sedang bercuti di Malaysia pantas menjawab: "Rasa bangga, tetapi dalam masa yang sama rasa tercabar kerana kelebihan yang dimiliki isteri. Apa pun, saya bersyukur atas kurniaan Allah pada isteri tersayang."


KELUARGA besar Raja Aishah bergambar sewaktu perkahwinan Masyitah pada Februari lalu. Daripada tujuh anaknya, empat merupakan hafiz dan hafizah Quran.

Rasa syukur

Bagi wanita yang telah mengandungkan Masyitah selama sembilan bulan 10 hari, tiada apa yang mampu diungkapkan melainkan rasa syukur yang tidak putus-putus pada Ilahi kerana mengizinkannya mengecapi nikmat tersebut.

Menurut Raja Aishah Raja Adnan, 54, sebelum berkahwin lagi, beliau sudah pun memasang niat untuk menjadikan anak-anaknya yang akan dilahirkan sebagai hafiz Quran.

"Subhanallah, segala puji hanya bagi Allah. Tujuh zuriat lahir daripada rahim saya ini, empat daripadanya iaitu dua lelaki dan dua perempuan berjaya menjadi hafiz dan hafizah Quran. Ia merupakan satu anugerah Allah Yang Maha Besar kepada saya dan suami.

"Niat saya hanya satu, untuk menyelamatkan anak-anak daripada terjerumus dalam perkara yang tidak baik. Ini kerana apabila kita sentiasa menerapkan anak-anak dengan al-Quran, ia mampu membentuk peribadi dan akhlak mereka," tutur Raja Aishah yang telah banyak berkorban dalam usaha menjadikan anak-anaknya hafiz dan hafizah Quran.

Menurut Masyitah, ibunya sanggup menetap di Kubang Kerian selama setahun bagi memastikan keperluan mereka dua beradik sepanjang berada di tahfiz ketika itu mencukupi.

Malah, ketika melihat keadaan tandas dan lantai asrama yang agak kotor, Raja Aishah sanggup mencucinya untuk keselesaan anak-anak dan rakan-rakan mereka.

"Tanpa pengorbanan ibu dan ayah, mungkin saya dan adik-beradik yang lain tidak berada di tempat sekarang. Bukan sahaja wang ringgit, tetapi masa dan tenaga juga sanggup dikorbankan semata-mata untuk kejayaan kami," terang Masyitah mengagumi ketabahan si ibu.

Ironinya, al-Quran diturunkan sebagai pedoman buat seluruh umat Islam, namun bukan semua orang mampu menghafaz kitab suci tersebut.


DI Gua Hira' inilah Rasulullah SAW menerima wahyu pertama berupa ayat-ayat al-Quran iaitu kalimah Iqra' yang bermaksud 'Bacalah' melalui perantaraan Jibril a.s.

Manusia pilihan

Perkara ini diakui oleh Ustaz Muhammad Nasir Rustam al-Hafiz, 40, pengasas Madrasah Tahfiz Tahsin al-Quran di Puchong, Selangor. Menurut beliau, mereka yang berjaya menghafaz al-Quran hakikatnya tergolong sebagai manusia pilihan Allah.

Seperti sabda Rasulullah SAW: 'Orang yang paling baik antara kalian adalah orang yang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.'

"Justeru, nikmat tersebut perlu disyukuri para hafiz dan hafizah Quran. Di samping itu, fadilat orang yang belajar dalam bidang tahfiz dan menghafaz al-Quran sangat besar.

"Antaranya ibu bapa yang hantar anak-anak belajar tahfiz, rezekinya akan dimurahkan Allah. Kasih sayang Allah terserlah melalui hubungan keluarga yang baik.

"Di akhirat kelak, Allah akan memakaikan mahkota untuk kedua-dua ibu bapa penghafaz Quran. Paling utama mereka boleh memberi syafaat untuk menyelamatkan ahli keluarganya pada hari timbangan amal di hadapan Tuhan Yang Satu," ungkap Muhammad Nasir yang berjaya khatam menghafaz 30 juzuk Quran pada usia 12 tahun.

Sumber: Kosmo

0 comments: