07 Ogos 2013

Aidil Fitri Mengikut Cara Rasulullah SAW


Umat Islam wajib menghadirkan diri untuk mendirikan solat Hari Rraya Aidilfitri secara berjemaah. - Gambar hiasan

Telah sahih dari hadis bahawa Nabi SAW mandi sebelum keluar menuju ke musalla (tanah lapang). Baginda akan menjamah dahulu beberapa biji kurma dalam bilangan yang ganjil sekiranya hari raya itu adalah Aidilfitri. Manakala Hari Raya Haji pula baginda akan menjamah makanan selepas daripada solat hari raya itu dengan makanan yang telah dikorbankan.

Nabi SAW pada hari raya akan mengenakan pakaian yang indah dan cantik tanda meraikan hari raya yang menjadi hari kebesaran Islam. Apabila selesai mengenakan pakaian yang cantik, Nabi SAW keluar dari rumah menuju ke musalla yakni tempat untuk mendirikan solat hari raya dengan berjalan kaki tanpa menaiki kenderan. Adalah sunnah Nabi SAW andai kita mampu berjalan kaki menuju ke tempat solat.


Nabi SAW juga tidak lupa untuk memakai minyak wangi untuk pergi ke musalla dan baginda menggalakkan kaum muslimin memakai wangian juga tetapi tidak kepada kaum muslimah. Nabi SAW melarang kaum muslimah mendedahkan aurat, bertabarruj dan bersalaman dengan lelaki ajnabi dalam merayakan hari raya.

Nabi SAW keluar berjalan kaki setelah terbit matahari (waktu Dhuha). Dalam perjalanan menuju ke musalla, baginda bertakbir dengan membesarkan Allah SWT. Takbir yang diajarkan Nabi SAW untuk membesarkan Allah SWT berbunyi:"Allahu akbar, Allahu akbar, la ilahaillallahu akbar, Allahu akbar walillahil hamd".

Hanya lafaz takbir ini sahaja yang diulang-ulang oleh Nabi SAW sehingga sampai ke musallla. Nabi SAW berhenti bertakbir setelah solat selesai.

Sampai sahaja di musalla, Nabi SAW akan memacakkan tongkat yang dibawa di hadapan baginda sebagai tanda sutrah (pembatas) sebelum menunaikan solat. Tempat yang dipilih oleh Nabi SAW untuk mendirikan solat adalah di tanah lapang bukannya di masjid. (Semoga suatu hari nanti negara kita dapat melaksanakan solat hari raya ini di tanah lapang bersama dengan pemerintah Islam).

Setelah itu, Nabi SAW terus sahaja mendirikan solat hari raya tanpa didahului dengan azan dan iqamah bahkan tidak juga dengan ucapan lafaz assolatu jami'ah . Apa yang benar dari sunnah yang dipraktik oleh baginda adalah dengan tidak melakukan apa pun dari hal tersebut. Bahkan tidak pernah juga Nabi SAW mendahului dengan solat sunat dua rakaat sebelum ataupun sesudahnya. Andai solat ini didirikan di masjid maka solatlah tahiyatul masjid sekiranya kita memasuki masjid.

Menjadi sunnah Nabi SAW untuk melewatkan pelaksanaan solat Hari Raya Aidilfitri tetapi baginda menyegerakan solat Hari Raya Adha.

TATACARA SOLAT

Telah sahih juga Nabi SAW tidak melafazkan niat solat hari raya. Nabi SAW memulakan solat dengan bertakbir sekali sebagai pembukaan dan disusuli 7 kali takbir berturut-turut, tiada riwayat tentang zikir tertentu di antara lafaz takbir tersebut, tetapi kata Ibnu Mas'ud r.a bahawa Nabi SAW memuji, menyanjung Allah serta membaca selawat kepada Nabi SAW ketika saat itu.

Dalam melafazkan 7 takbir rakaat pertama tersebut tiada riwayat yang mengatakan diangkat tangan setiap kali takbir tersebut, cuma perbuatan Ibnu Umar r.a yang mengangkat tangan setiap kali lafaz takbir disebut.

Setelah itu Nabi SAW memulai dengan al-fatihah dan meneruskan dengan membaca surah-surah tertentu dari al-Quran seperti surah Qaaf.

Selesai rakaat pertama, Nabi SAW bertakbir lima kali untuk rakaat yang kedua dan membaca surah 'Iqtarabatis saa'atu wan syaqqatil qamaru'. Kadang kala membaca 'Sabbihis marabbikal a'la'.

Selepas memberi salam, Nabi SAW terus berpaling dan berdiri langsung memberikan khutbah kepada para jemaah. Senantiasa Nabi SAW mendahului solat kemudian berkhutbah. Telah sahih juga bahawa Nabi SAW sentiasa membuka khutbah hari raya dengan 'Alhamdulillah'. Tidak ada riwayat yang sahih Nabi saw membuka khutbah hari raya dengan bertakbir'.

Nabi SAW memberi keringanan kepada jemaah yang hadir sama ada untuk pulang ataupun tetap mendengar khutbah. Nabi saw juga memberi keringanan sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat maka gugurlah kewajipan solat Jumaat kerana memadai dengan solat hari raya tersebut. Seperti sabda Nabi SAW:

"Telah terkumpullah dua hari raya di hari kamu ini, maka sipa yang ingin bersolat hari raya adalah telah memadai baginya tanpa tanpa solat Jumaat..tetapi kami akan melakukan solat Jumaat." (Hadis Hasan, HR Abu Dawud dan Ibnu Majah)

Nabi SAW berangkat pulang dari solat hari raya dengan menggunakan jalan yang lain tidak menggunakan jalan yang digunakan ketika baginda datang pada permulaannya.

HUKUMNYA WAJIB BUKAN SUNAT

Bahkan Nabi SAW, bila tiba hari raya baginda dengan serius dan bersunggguh mengajak semua orang Islam agar menghadirkan diri untuk mendirikan solat hari raya ini dengan berjemaah di tanah lapang sehinggakan disuruh semua perempuan yang haid dan kanak-kanak yang pada mereka ini tidak diwajibkan solat pun diajak keluar beramai-ramai bagi menunjukkan hari raya adalah hari kemenangan orang Islam dan lambang syiar Islam yang agung.

Sewajarnya kita orang Islam yang berada di negara ini, hendaklah turut serta meraikan sunnah Nabi SAW dengan mengejutkan anak-anak kita yang sedang tidur, persiapkanlah isteri-isteri kita serta ajaklah saudara-saudara supaya turun beramai-ramai untuk melakukan solat jemaah hari raya ini. Janganlah banyak membuat alasan untuk tidak menghadirkan diri dengan berhujah solat hari raya ini sunat dan tidak wajib.

Telah rajih dari jumhur ulama bahkan termasuk Imam Syafie sendiri akan kewajipan solat hari raya ini. Bahkan fardu ain bagi setiap orang Islam yang mukallaf. Adapun ulama yang mengatakan solat hari raya ini sebagai sunat dan fardu kifayah adalah lemah dan tidak menepati kebenaran.

Telah sahih juga daripada praktik Nabi SAW di mana baginda tidak pernah langsung meninggalkan solat hari raya sama ada Aidilfitri mahupun Adha. al-Alamah Siddiq Hasan Khan menjelaskan, katanya :

"Ketahuilah bahawa Nabi SAW sentiasa memelihara solat dua hari raya ini, baginda tidaklah pernah meninggalkan pada suatu hari antara hari raya-hari raya itu, dan baginda menyuruhkan orang ramai supaya keluar ke musalla untuk solat, sehingga baginda memerintahkan supaya orang perempuan yang merdeka, yang keuzuran dan dalam keadaan haid keluar beramai-ramai.

Baginda menyuruh perempuan yang berhaid agar tidak solat di mana semua mereka akan menyaksikan kebaikan dan bersama-sama menjalankan seruan untuk orang Islam, sehingga baginda menyuruhkan wanita yang tiada tudung agar diberi pinjam tudung kepadanya.

Semua ini menunjukkan bahawa solat ini merupakan suatu kewajipan muakkad ke atas setiap orang, bukan kifayah, sedangkan perintah keluar itu menentukan kewajipan solat bagi sesiapa yang tiada keuzuran ."

UCAPAN YANG SUNNAH

Telah sahih juga dari Nabi SAW bila mana berjumpa sesama orang Islam di hari raya Nabi SAW telah mengucapkan kalimah:

"Taqabbalallahu minna wa mingkum". (Semoga Allah menerima amalan dari kami dan kamu)

Maka akan dijawab oleh orang yang menerima ucapan ini dengan lafaz yang sama seperti di atas. Ucapan ini juga menjadi perbuatan para sahabat dan juga seluruh salaf.

Nabi Muhammad SAW ketika Aidilfitri seperti mana hadis diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani yang bermaksud: "Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu pada hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain taqabbalullah minna waminka (Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu)." [Utusan]

Marilah kita bersama-sama di hari raya ini memulakan ucapan ini sebagai bukti kecintaan kita dalam mencontohi Nabi SAW. Memang pada mulanya kita merasa janggal tetapi yakin dah percayalah sekiranya kita melazimi sesuatu sunnah itu lambat laun tidak akan ada kejanggalan lagi padanya.

Semoga hari raya kali ini kita berusaha bersungguh untuk melaksanakan tuntutan Nabi SAW dalam meraikan hari raya. Bergembiralah meraikannya hindarilah dari menziarahi kubur di pagi raya kerana ia akan menghilangkan kegembiran hari raya dengan suasana kesedihan dan kepiluan.

Sesungguhnya bergembira di hari raya adalah sunnah Nabi SAW manakala bersedih-sedihan di hari raya pula bukan daripada ajaran Islam. Apa yang terbaik itu adalah mengikut petunjuk Nabi SAW. Insya-Allah jika esok diisytiharkan hari raya marilah kita sama-sama mencontohi seperti mana Nabi SAW berhari raya.

Oleh AHMAD TAJUDDIN IDRIS AL-MANHAJI
Sumber: Utusan

0 comments: