25 Ogos 2013
Kisah Usahawan Batik Amri Dan Rebecca
Pasangan suami-isteri Amri Yusoff dan Rebecca Crown menunjukkan antara produk batik ekslusif keluaran syarikat mereka, Coast Handmade Sdn. Bhd. yang boleh dijadikan cenderahati.
Apabila pegawai dagang Rebecca Crown hilang pekerjaan sebagai arkitek dengan firma Malaysia yang berpejabat di Kuala Lumpur sewaktu krisis kewangan 1998, dia tidak kembali ke tanahairnya.
Kampung halamannya terletak lebih dari 6,000km nun di Sydney, Australia.
Sebaliknya, dia mengemas beg untuk ke negeri pantai timur laut Kelantan. Rebecca yang berminat dalam bidang tekstil dan fabrik mahu belajar mengenai batik dan dia tidak keseorangan.
Rebecca berjaya memujuk mantan rakan sejawatnya, yang kini suaminya, Amri Yusoff untuk menemaninya.
"Saya diberhentikan kerja terlebih dahulu dan Amri mengalami nasib yang sama kira-kira enam bulan kemudian. Saya beritahu Amri yang saya berminat dalam batik lagi pun semasa saya datang ke Malaysia saya meminati tekstil dan fabrik.
"Saya minta Amri bawa saya ke kampungnya di Kelantan untuk lihat sama ada kami boleh buat perniagaan batik," Rebecca memberitahu penulis dalam wawancara di kediaman pasangan itu di Ampang, Selangor baru-baru ini.
Amri yang turut sama ketika diwawancara mengakui meskipun dia dilahir dan dibesarkan di Kota Baharu, Kelantan, dia tidak pernah meminati batik dan tidak tahu menahu langsung mengenai industri itu.
Kedua-duanya, bagaimanapun yakin batik membuka peluang keemasan untuk mereka memulakan kehidupan baru setelah hilang pekerjaan.
Berkat usaha gigih serta penat-lelah, produk batik pasangan ini yang dipasarkan di bawah jenama "Coast Handmade" semakin terserlah keunggulannya.
IDEA SEGAR
Meskipun tidak ada pengalaman dalam perniagaan batik, kedua-dua Amri dan Rebecca mahu menghasilkan produk khusus untuk kegunaan rumah.
Mereka juga mahu rekabentuk batik yang segar serta moden selari dengan sasaran gaya hidup di Australia.
Bermula secara sederhana, menggunakan khidmat pengeluar batik di Kelantan dengan Amri sebagai pereka bentuk utama, pasangan ini mula menghasilkan perhiasan rumah serta sarong untuk jualan di Sydney di bawah jenama "Coast Living."
Ditanya mengenai pilihan nama label, Rebecca dengan pantas menjawab, "Amri berasal dari pantai timur dan saya sendiri datang dari Sydney yang terletak di pantai timur Australia.
"Kami fikir perkataan Coast sesuai dengan kami dan mencerminkan gaya santai rakyat Australia di mana kami mahu menjual produk batik kami," jelas Rebecca.
BUKAN MUDAH
Menurut pasangan itu, produk batik mereka mendapat sambutan yang baik di Australia cuma yang mencabar ialah dari segi pengeluaran.
Amri menjelaskan apa yang mereka mahu pembuat batik lakukan untuk mereka sememangnya sukar.
"Kami tidak sedar pada masa itu, tetapi untuk pembuat batik menghasilkan saban kali warna yang sama adalah perubahan besar daripada apa yang mereka biasa lakukan, memandangkan pengkhususan mereka ialah batik eksklusif, di mana setiap helai batik adalah berbeza," katanya.
Mendengar kenyataan ini, Rebecca menambah: "Satu sahaja cara untuk memastikan produk yang dihasilkan menepati jangkaan pasaran ialah dengan berada di bengkel.
"Secara logistiknya bererti Amri perlu berada di Kelantan dan saya pula di Sydney untuk menjual produk kami."
Di sebalik masalah yang dihadapi, bisnes batik pasangan ini bertahan selama tiga tahun sebelum diberhentikan.
"Saya fikir pembuat batik yang membuat batik kami menarik nafas lega kerana kami membuat keputusan untuk tidak meneruskan bisnes ini," kata Rebecca.
"Bagaimanapun, secara jujurnya kesediaan mereka untuk memenuhi keperluan kami sepanjang bisnes batik ini berjalan memberikan banyak pengajaran untuk kami.
"Dalam banyak hal, kami merasa kejayaan kami hari ini adalah berdasarkan apa yang kami pelajari di kampung," Amri mencelah.
PERTANDINGAN BATIK
Kembali kepada dunia korporat di Kuala Lumpur, Amri dan Rebecca mendirikan rumah tangga pada 2002 dan menimang cahaya mata pertama pada 2005. Pasangan ini kini mempunyai tiga orang anak, Mikhail berumur lapan tahun, Aden (empat tahun) dan Isabella (dua tahun).
Meskipun sibuk dengan pekerjaan serta keluarga, pasangan ini masih menaruh minat terhadap batik dan meluangkan masa untuk menghadiri majlis yang ada kaitan dengan batik.
Antaranya Piala Sri Endon, pertandingan reka bentuk batik mengambil sempena nama Allahyarhamah Tun Endon Mahmood, isteri mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
"Kami mengikuti pertandingan ini selama beberapa tahun dan saya beritahu Amri saya pasti dia boleh menang jika dia menyertainya," kata Rebecca.
Pada 2007 Amri menyertai pertandingan itu di bawah kategori hiasan dalaman rumah.
"Banyak yang perlu dilakukan. Kami diberi sebuah bilik hotel di Berjaya Times Square Hotel dan perlu menghiasnya dengan reka bentuk asli batik kami," kata Amri.
Segala kerja keras berbaloi apabila Amri mendapat tempat kedua.
"Saya mengharapkan menang tempat pertama tetapi pertandingan begitu sengit sekali. Saya menerima banyak pujian dan yang paling penting daripada Zuraidah Abdul Razak, Pengurus Besar Karyaneka pada masa itu yang bertanyakan sama ada saya berminat untuk menghasilkan beberapa produk batik untuk rangkaian kedai Karyaneka," kata Amri.
PELUANG KEDUA
Memenangi tempat kedua dalam pertandingan Piala Sri Endon serta sokongan Zuraidah memberikan keyakinan kepada Amri untuk menceburi semula perniagaan batik.
Pada awalnya Amri menjalankan perniagaan batik ini bersendirian dan Karyaneka adalah pelanggan pertamanya.
"Saya begitu teruja bila menerima cek pertama bernilai RM1,000. Bila kita hasilkan sesuatu dengan tangan dan orang bayar untuk kerjatangan kita, rasa kepuasannya begitu menakjubkan," tambahnya.
Pasangan itu menjelaskan untuk cubaan kedua mereka dalam bisnes batik, mereka mengekalkan cita rasa selari dengan jenama awal 'Coastal Living' tetapi kali ini fokus kepada produk cenderahati untuk pasaran Malaysia.
Menurut Rebecca, menjelang 2007, Malaysia adalah sebuah negara yang berbeza berbanding dengan apa yang dilihatnya pada lewat 90-an.
Pada pandangannya, kuasa belanja rakyat Malaysia telah meningkat dalam tempoh itu.
Perkembangan itu menyebabkan timbul keinginan untuk rakyat negara ini membeli produk yang lebih sofistikated dan bertaraf antarabangsa berbanding sebelumnya.
"Secara keseluruhannya suasana di Malaysia lebih bertenaga. Fenomena ini beserta dengan fokus kerajaan Malaysia untuk menarik pelancong antarabangsa menyakinkan kami ada potensi untuk cenderahati batik, buatan tangan yang mempunyai reka bentuk menarik.
"Inilah kisah permulaan Coast Handamade," kata Rebecca.
PRODUK COAST HANDMADE
Kejayaan Amri dan Rebecca dalam cubaan kedua mereka menerokai perniagaan batik kira-kira enam tahun kemudian jelas menunjukkan azam dan tekad mereka.
Mereka percaya kekuatan Coast Handmade terletak kepada cenderahati yang unik dengan pembungkusan yang cantik serta produk gaya hidup tempat peranginan yang santai.
Menurut pasangan ini, meskipun mereka mempunyai pasaran yang kukuh daripada pelancong antarabangsa yang membeli apabila mereka berada di negara ini, tetapi yang paling menyentuh perasaan ialah pujian dan galakan daripada rakyat Malaysia.
"Rakyat Malaysia bangga dengan tradisi batik. Perubahan gaya hidup membuatkan mereka mencari cara baru untuk menggunakan batik dalam kehidupan mereka.
"Apabila ada rakyat Malaysia memberitahu saya mereka menghadiahkan produk Coast Handmade kepada rakan dan pelanggan mereka di luar negara, saya merasa amat tersentuh.
"Ini menandakan mereka menerima produk Coast Handmade sebagai sebahagian daripada warisan mereka dan bersedia untuk mempersembahkannya kepada dunia," kata Rebecca.
Menurut Amri, dia bermula dengan produk digunakan di meja makan seperti alas meja serta 'serviette' kemudian diikuti barangan cenderahati dan baru-baru ini pakaian santai untuk dipakai di pusat percutian serta aksesori.
Mereka juga memberitahu minat sektor awam dan swasta terhadap jenama ini semakin meningkat.
Pasangan ini menaruh harapan tinggi agar suatu hari nanti nama Coast Handmade akan menjadi tersohor di rantau Asia dan sinonim dengan warisan serta kecantikan batik Malaysia.
Memandangkan barangannya yang semakin bertambah, daripada produk meja makan kepada beg kantung, rantai kunci, beg mini, alas gelas, kaftan serta pakaian kanak-kanak, bisnes batik pasangan ini ternyata semakin rancak.
Motif batik untuk barangan Coast Handmade mengambil ilham daripada flora dan fauna Malaysia di samping reka bentuk bercirikan Islam dan abstrak.
Sila layari laman sesawang Coast Handmade www.coasthandmade.com untuk maklumat lanjut.
Oleh Melati Mohd Ariff
Sumber: BERNAMA, Utusan
Labels:
Maklumat Umum,
Motivasi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan