Nuff Atas

19 Ogos 2013

Proton Suprima S Dilancar



KUALA LUMPUR 17 Ogos - Proton Suprima S, model kereta terbaharu yang dilancarkan pengeluar kereta nasional, Proton Holdings Bhd. (Proton) dilihat sebagai kereta keluaran negara terbaik yang bertaraf dunia pada harga mampu milik.

Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, model 'hatchback' terbaharu itu yang dilengkapi pelbagai teknologi termasuk dari segi keselamatan terkini dilihat mampu menarik lebih ramai golongan muda untuk memiliki Proton Suprima S.

Malah beliau memberitahu, model kereta itu yang akan dieksport dalam tempoh terdekat dilihat mampu menembusi pasaran antarabangsa dan seterusnya dapat melonjakkan syarikat automotif negara itu ke satu tahap baharu.


"Model terbaharu ini memenuhi cita rasa pelanggan tempatan dan global yang seterusnya akan menjadikan Proton sebagai pengeluar kereta berkualiti antarabangsa pada harga berpatutan.

"Saya juga berharap orang ramai akan terus menyokong kereta keluaran Proton dengan membeli model Suprima S ini yang dilengkapi pelbagai teknologi terkini pada harga mampu milik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan model kereta terbaharu keluaran Proton, Suprima S 'hatchback' di dewan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil; Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Lukman Ibrahim dan Ketua Pegawai Operasi Komersial Proton, Hisham Othman.

Harga jualan atas jalan bagi varian Suprima S Eksekutif diumumkan RM76,338 seunit manakala varian Premium pula pada harga RM79,638 seunit.

Dalam masa sama, Dr. Mahathir melahirkan melahirkan rasa bangga dengan kelengkapan canggih serta kejuruteraan Suprima S yang semakin menunjukkan peningkatan ketara.

Kata beliau, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh pakar-pakar dalam kalangan anak tempatan itu menjadikan model Suprima S itu sebagai kereta terbaik keluaran Proton yang dapat memenuhi kehendak pasaran termasuk antarabangsa.

"Saya harap persepsi Proton merupakan pengeluar kereta murah dengan berkualiti rendah dapat ditamatkan kerana syarikat ini telah berjaya mengeluarkan kereta setanding dengan pengeluar kereta berjenama terkenal lain," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Khamil pula memberitahu, model Suprima S itu akan mula dieksport dalam tempoh terdekat bermula di ASEAN dan seterusnya ke negara lain seperti Australia.

Menurutnya, Proton telah memberi perhatian dalam meningkatkan semua aspek Suprima S khususnya ciri-ciri keselamatan.

Model terbaru itu turut melepasi piawaian antarabangsa apabila menerima penarafan lima bintang menerusi Program Penilaian Kereta Baru Australasian (ANCAP). Programme dan dikatakan lebih baik daripada model hatchback kelas sama yang lain yang berada dalam pasaran Malaysia berharga di atas RM120,000. [Utusan]

"Proton Suprima S ini merupakan model yang didatangkan dengan standard keselamatan terbaik termasuk Australian New Car Assesment Program (ANCAP).

"Ini adalah masa depan kita membayangkan untuk semua produk dan perkhidmatan kami serta tanda aras kepada standard kualiti yang ingin diberikan kepada pelanggan," katanya.

Oleh TERMIZI CHE ANUAR
Sumber: Utusan


Majlis pelancaran Suprima S di dewan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Kuala Lumpur.

Proton Suprima S 'hatchback' serba lengkap, penuhi kehendak pengguna

KUALA LUMPUR 17 Ogos - Proton Holdings Bhd. (Proton) hari ini melancarkan model 'hatchback' terbaharunya, Proton Suprima S berenjin 1.6 liter berharga antara RM76,338 seunit hingga RM79,638 seunit.

Nama Suprima yang dipinjam daripada kata asal Inggeris supreme yang membawa maksud tertinggi dilihat sesuai kerana model itu memiliki semua kehendak serta keperluan semasa lebih moden sekarang.

Kereta terbaharu ini merupakan model dilengkapkan dengan produk terkini yang tidak pernah dimiliki model Proton terdahulu seperti lampu siang (DRL), Android-based Operating System, lampu LED di belakang dan Hill-hold Assist serta Park Assist bagi varian premium.

Proton Suprima S merupakan sebuah model lima pintu yang dinamik serta memiliki reka bentuk luaran dan dalaman yang sporty lagi premium dengan prestasi enjin yang unggul.

Kereta model tersebut menggunakan enjin 1.6 liter dengan ProTonic Continuous Variable Transmission (CVT), tujuh kelajuan automatik yang menawarkan kuasa maksimum 140 PS pada 5,000 revolusi per minit (rpm) dan kuasa kilas 205 Newton meter (Nm) pada 2,000 hingga 4,000 rpm, berkuasa sama seperti enjin 2.0 liter lain.

Malah, Suprima S juga dilengkapi ciri-ciri keselamatan terbaik dengan enam beg udara, tingkap kuasa anti-perangkap, Sistem Anti Kekunci Membrek (ABS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) serta bagi model premium disertakan Park Assist dan kamera undur.

Selain itu, Proton turut menawarkan program lima bintang kepada pembeli Suprima iaitu jaminan lima tahun atau 150,000 kilometer dan bantuan jalan raya secara percuma selama lima tahun.

Pengerusi Eksekutif Proton, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil berkata, model itu terhasil daripada pelbagai kajian dari dalam dan luar negara bagi memastikan Suprima S dapat memberi kepuasan kepada pelanggan.

"Sekali lagi, Proton telah membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia kami komited untuk memenuhi keperluan pengguna dengan menghasilkan pelbagai produk yang seronok di pandu lagi selamat," katanya.

Sumber: Utusan




‘Kikis persepsi kereta nasional tak bermutu’
 
Persepsi bahawa Proton Holdings Bhd (PROTON) adalah pengeluar kenderaan bermutu rendah perlu dihapuskan kerana syarikat kereta nasional itu kini sudah bertapak selama 27 tahun dalam industri automotif.

Penasihat PROTON, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata pengeluar kereta tempatan itu menghasilkan kereta yang menepati piawaian antarabangsa dan harus dibanggakan.
Mampu milik

“Walaupun tidak semurah seperti yang dikehendaki iaitu RM25,000 untuk sebuah kereta, ia mampu dimiliki terutama generasi muda yang lebih berminat dengan model hatchback berbanding sedan,” katanya pada majlis pelancaran model baru Proton, di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, beliau turut berbangga dengan pencapaian PROTON kerana mampu mengeluarkan dua jenis kenderaan tahun ini.

“PROTON sebelum ini melancarkan Saga SV dan hari ini (semalam) satu lagi model baru dilancarkan dengan spesifikasi lebih canggih dan ciri keselamatan lebih baik.

“Saya yakin kereta itu boleh dieksport ke negara maju kerana spesifikasinya menepati segala standard ditetapkan untuk pasaran di sana,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif PROTON Holdings, Tan Sri Mohd Kamil Jamil berkata PROTON mensasarkan penjualan Suprima S akan mencecah 750 unit setiap bulan.

Sumber: BHarian



Model Proton paling premium

Nama Suprima diambil daripada perkataan bahasa Inggeris “Supreme” yang membawa makna agung. Sementara S pula bermaksud Sport.

Biarpun dibina berasaskan kepada model Preve, Proton tidak mahu Suprima S dikaitkan dengan sedan tersebut. Ia seolah-olah memberi isyarat bahawa hatchback itu mungkin menjadi pemula kepada satu rangkaian model lain yang lebih sporty.

Ditawarkan dalam dua varian iaitu Executive dan Premium, jentera itu dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri yang juga Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohammed.

Di bawah tangan pasukan pereka Proton, rekaan Suprima S hadir sebagai sebuah hatchback yang tidak mengecewakan. Berpaksikan kepada hala tuju rekaan terbaharu dikenali sebagai Proton Wings, Suprima S jelas memiliki reka bentuk luaran dan dalaman yang kemas serta moden.

Bahagian hadapan diserlahkan menerusi rekaan lampu utama jenis projektor bersama butiran LED yang nipis. Gril radiatornya kini menggunakan gril honeycomb berwarna hitam untuk kelihatan lebih sporty. Rekaan perumah lampu kabus pula dikatakan berfungsi untuk mengalirkan udara bagi tujuan penyejukan enjin.

Rekaan bahagian belakang Suprima S nampak ringkas dengan sepasang lampu LED. Penampilan itu disempurnakan dengan penggunaan rim aloi bersaiz 17 inci untuk model Premium, manakala Executive pula 16 inci.

Ada sebab kenapa Suprima S menerima penarafan lima bintang oleh Australia NCAP. Hatchback itu dilengkapi sistem keselamatan aktif dan pasif. Ia terdiri daripada sistem brek ABS, EBD, ESC, kawalan cengkaman dan ISOFIX.

Malah, enam beg udara menjadi ciri standard untuk kedua-dua varian Suprima S, pertama pada model Proton.



Suprima S dikuasakan oleh unit enjin sama seperti yang ada pada Preve. Enjin Campro bersesaran 1.6 liter dengan sistem pengecas soft turbo itu mampu menjana kuasa sebanyak 138hp @ 5,000 rpm. Sementara kuasa tork 205Nm pula boleh diperoleh ketika rpm mencecah takat 2,000 hingga 4,000rpm. Ia kemudian dipadankan dengan kotak gear Punch VT3 CVT tujuh kelajuan.

Proton menyatakan bahawa transmisi CVT itu telah menerima talaan baru bagi disesuaikan dengan profailnya sebagai sebuah jentera sporty. Kalau mahu varian manual, anda kena tunggu kerana versi itu akan ditawarkan oleh Proton tidak lama lagi.

Menyentuh tentang prestasi pula, hatchback segmen C itu berupaya mencapai kelajuan 0-100km/j dalam tempoh 9.9 saat dengan kelajuan maksimum 190mk/j. Penggunaan bahan api pula dianggarkan sebanyak 9.1 liter untuk setiap 100km.

Sebenarnya angka itu sedikit tinggi jika dibandingkan dengan Preve yang mencatatkan bacaan 8.2 liter untuk setiap 100km. Sebabnya, Suprima S adalah 35 hingga 55kg lebih berat berbanding Preve berikutan penggunaan cermin lebih besar. Selain mungkin tahap ketegaran kerangka yang telah dipertingkatkan.

Selepas lama menghilang, Proton mengembalikan emblem “Handling by Lotus” kepada Suprima S. Saya yakin, ramai yang percaya dengan kualiti pengendalian jitu model-model keluaran Proton.



Setup chasis hatchback ini terdiri daripada sistem suspensi jenis topang MacPherson untuk roda hadapan. Ia dipadankan dengan suspensi multi-link dan bar penstabil bagi roda belakang. Input pemandu pula diserahkan kepada stereng kuasa hidraulik yang menjanjikan kualiti pengendalian memuaskan.

Disifatkan sebagai model Proton paling premium setakat ini, Suprima S hadir dengan pelbagai ciri inovatif. Sebagai contoh, sistem audio Android dengan kemampuan WiFi untuk melayari internet, ciri Hill Hold Assit dan banyak lagi.

Bunyi daripada sistem audio Android yang pertama untuk OEM di Malaysia itu disalurkan menerusi enam unit pembesar suara (Premium).

Bagi mereka yang berminat, Suprima S boleh anda miliki pada harga bermula RM76,338 (Executive) hingga RM79,988 untuk model Premium.

Ini adalah harga di atas jalan, lengkap bersama jaminan selama lima tahun atau perbatuan sejauh 150,000 kilometer (km). Selain program Free Road Assist Proton selama lima tahun.

Sebenarnya, Suprima S memasuki daerah yang sudah pun dihuni oleh pesaing-pesaing seperti Honda Jazz, Ford Fiesta dan Kia Rio.

Oleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN
Sumber: Kosmo

1 comments:

Mizz Aiza (Dunia Kecil) berkata...

nampak smart model baru proton ni.. :D