Nuff Atas

08 September 2013

Fungsi Pintar Televisyen Android


TELEVISYEN generasi kini sudah boleh digunakan untuk melayari internet.

PERKEMBANGAN internet pada hari ini membolehkan jalinan komunikasi dilakukan dengan lebih berkesan. Jika dahulu, internet hanya digunakan menerusi komputer peribadi, hari ini ia boleh disambungkan dengan mana-mana gajet.

Antaranya adalah tablet, telefon pintar, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), televisyen dan terbaharu, televisyen pintar. Televisyen pintar mempunyai capaian internet dan dilengkapi pelbagai aplikasi termasuk hiburan, berita dan pendidikan.

Lazimnya, ia mempunyai perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar WiFi atau sekurang-kurangnya Local Area Network (LAN) untuk disambungkan kepada internet.


Bagaimanapun, terdapat sesetengah model yang menawarkan ciri tambahan seperti kamera web yang membolehkan pengguna membuat panggilan video menerusi aplikasi seperti Skype.

Aplikasi pada televisyen pintar juga membolehkan pengguna menonton siaran tambahan menerusi teknologi streaming yang mungkin tidak terdapat pada siaran televisyen percuma.

Antara siaran yang boleh ditonton secara streaming ialah program berita agensi berita antarabangsa, dokumentari dan drama bersiri.


PENGGUNAAN internet dan gajet pintar membolehkan bahan dicapai pada apa sahaja peralatan.

Walau bagaimanapun, bagi yang mempunyai bajet yang terhad, kini terdapat alternatif gajet yang mempunyai ciri-ciri televisyen pintar. Ia merupakan televisyen android atau lebih dikenali sebagai kotak televisyen android. Produk itu dilihat menjadi pilihan buat pengguna yang mempunyai TV tanpa ciri pintar.

Ia hanya perlu disambungkan kepada kotak televisyen android menggunakan sambungan Antaramuka Multimedia Definisi Tinggi (HDMI) manakala akses internetnya sama ada melalui sambungan WiFi atau kabel LAN.

Satu lagi ciri tambahan ialah ia menyokong modem USB 3G yang membolehkan akses internet secara terus tanpa memerlukan WiFi atau sambungan rangkaian kawasan setempat.

Jenama android

Geniatech merupakan salah satu jenama kotak televisyen android yang mendapat perhatian pengguna di seluruh dunia pada masa kini.


JIKA tidak berpuas hati dengan melayari internet pada skrin telefon pintar yang kecil, kini terdapat pilihan untuk mendapatkan skrin yang lebih lebar.

Ia dilengkapi dengan unit pemproses termaju ARM Cortex A9 dengan kombinasi unit pemproses grafik Open GL 3D dan digandingkan dengan RAM DDR3 berkapisiti 1GB (gigabit) sekali gus menjanjikan tontonan yang lancar.

Malah, ia juga dilengkapi dengan unit kawalan jauh QWERTY. Set Android TV ini dilengkapi dengan capaian WiFi dan juga RJ45 untuk sambungan ke modem internet.

Selain itu, ia juga menyokong cakera keras mudah alih atau thumbdrive disambungkan pada sambungan USB bagi memainkan fail media seperti video dan muzik. Lebih menarik, ia turut mempunyai slot untuk cakera keras SATA yang boleh dipasangkan secara terus.

Ciri-ciri lain ialah sokongan Adobe Flash, HTML5, aplikasi Digital Living Network Alliance (DLNA) serta perkongsian fail melalui aplikasi.

Ia khusus bagi membolehkan perkongsian fail media dengan telefon pintar, komputer tablet dan gajet yang bersambung pada rangkaian kawasan setempat.

Berharga dalam lingkungan antara RM200 hingga RM400 bagi satu set, televisyen android merupakan alternatif terbaik bagi mereka yang inginkan fungsi pintar pada televisyen dengan pelaburan minimum.

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN
Sumber: Kosmo

1 comments:

khairul hassan berkata...

teknologi dh semakin canggih