07 September 2013

Intipati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025



Pada hari Jumaat 6 September, 2013, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  telah melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025. Pelan tersebut merupakan dokumen rasmi yang amat signifikan untuk pembangunan negara serta dalam masa sama mampu melahirkan pelajar bersahsiah terpuji serta berkeperibadian tinggi. [Utusan]

Berikut ialah intipati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025:

* Kementerian Pendidikan berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang 2020.


* Meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun akan datang.

* Merapatkan jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020.

* Menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuh lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.

* Memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

* Mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia dan setiap anjakan perlu memberi impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kcekapan.

* Melanjutkan pendidikan wajib daripada enam tahun kepada 11 tahun bermula pada umur enam tahun dengan disokong program pengekalan yang disasarkan.

* Melancar Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada 2017 bagi mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan.

* Standard pembelajaran yang jelas akan dirangka agar murid dan ibu bapa memahami kemajuan yang dijangkakan bagi setiap tahun persekolahan.

* Merombak peperiksaan kebangsaan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara berperingkat dengan menjelang 2016, soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada soalan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada soalan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

* Menjelang akhir 2013, kerjaya perkhidmatan kaunseling dan akademik akan dimasukkan ke dalam jadual waktu sekolah menengah untuk membantu pelajar membuat pilihan bermaklumat mengenai pelbagai laluan pendidikan yang ditawarkan.

* Menjelang 2025, pelajar Orang Asli, kumpulan minoriti lain, serta murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran akan disediakan sekolah yang mempunyai kemudahan dan peralatan lengkap bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

* Mulai 2016, mata pelajaran Bahasa Inggeris akan dijadikan kertas wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

* Menjelang 2025, setiap pelajar digalakkan mempelajari bahasa tambahan supaya dapat membantu mereka menyertai tenaga kerja global.

* Tumpuan menambah bilangan guru bahasa Cina, Tamil dan Arab bagi memastikan bilangan guru bahasa sepadan dengan keperluan pelajar, selain memperkenalkan bahasa penting lain seperti bahasa Sepanyol, Perancis dan Jepun.

* Mulai 2013, syarat kelayakan kemasukan guru ditingkatkan supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus teratas.

* Mulai 2013, guru akan menikmati pengurangan beban tugas pentadbiran supaya boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka kepada fungsi teras pengajaran, dengan sesetengah tugas pentadbiran akan diserahkan kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru pentadbiran yang khusus di peringkat sekolah.

* Mulai 2015, semua sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas bermula dengan Sabah dan Sarawak.

* Menambah bilangan model Sekolah Amanah kepada 500 menjelang 2025 dengan melibatkan kumpulan alumni dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berpotensi sebagai penaja.

* Kementerian Pendidikan akan menerbitkan laporan tahunan tentang perkembangan setiap inisiatif yang direncanakan dalam pelan ini.

* Kementerian Pendidikan akan membuat semakan berkala tentang pencapaian utama sepanjang pelaksanaan pelan ini pada 2015, 2020 dan 2025.

Sumber: BERNAMABHarian [06092013]
Teks Penuh Ucapan Pelancaran PPPM: Gelombang transformasi pendidikan

Soalan UPSR, SPM berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016 - PPPM

Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.

Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran.

"Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza," demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan pentaksiran untuk mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga akan dikaji semula.

Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek, khusus bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.

Wajib Lulus Bahasa Inggeris SPM 2016

Dalam usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula 2016.

Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan pembelajaran murid.

Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.

Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.

Dengan itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah menengah.

Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga akan diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru penasihat aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.

"Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan pembabitan ini sebagai syarat tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi," menurut pelan itu.

Sumber: BERNAMABHarian [06092013]

Transformasi Pendidikan Dilaksana Dalam Tiga Gelombang

Tranformasi pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dilaksanakan dalam tiga gelombang.

Gelombang 1 (2013-2015) memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.

Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.

Menjelang akhir Gelombang 1, kementerian akan memastikan semua guru, pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan.

Dalam Gelombang 2 (2016-2020), kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu dan penstrukturan semula kementerian.

Kurikulum standard sekolah rendah dan menengah yang disemak semula juga akan diperkenal dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.

Gelombang 3 (2012-2025) akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran, dalam usaha membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.

Bagi memastikan objektif PPPM terlaksana, kementerian juga akan melaksanakan beberapa tindakan, termasuk mengekalkan komitmen dan tumpuan dari kepimpinan atasan terhadap pelan ini, serta penubuhan satu unit kecil iaitu Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu) untuk memacu pelaksanaan PPPM.

Padu akan mempunyai kuasa eksekutif dan berperanan memantau kemajuan, menyelesaikan isu pelaksanaan dengan pegawai bertanggungjawab dan berkomunikasi dengan pihak berkepentingan tentang transformasi.

Kementerian juga akan mewujudkan sistem pengurusan prestasi melalui KPI yang jelas, selain terus melibatkan pegawai kementerian dengan pihak berkepentingan yang lain untuk mendapatkan maklum balas dan input bagi memastikan keseluruhan sistem pendidikan terlibat dalam proses transformasi ini.

Sumber: BERNAMA [06092013]

5 keberhasilan diharap dicapai bagi sistem pendidikan negara - PPPM

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan merangkumi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

Menurut pelan itu, kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang tahun 2020.

Dari segi kualiti, kementerian berharap kedudukan sistem pendidikan negara diletakkan dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) yang menguji bacaan, Matematik dan Sains dalam tempoh 15 tahun.

Selain itu, jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020 juga diharap dapat dirapatkan serta menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman berinteraksi dengan pelbagai etnik bagi memperkukuh asas perpaduan rakyat.

Dari segi kecekapan, walaupun kerajaan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, kementerian berhasrat untuk memaksimum keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

Selain keberhasilan sistem pendidikan, setiap murid juga perlu berupaya untuk bersaing pada peringkat global.

Oleh itu, sebanyak enam ciri utama membabitkan pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, dan identiti nasional perlu ada pada setiap murid sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Dari segi pengetahuan, setiap kanak-kanak perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan numerasi di peringkat paling asas serta pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif serta inovatif dari segi kemahiran berfikir.

Mereka juga perlu menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi antarabangsa serta digalakkan untuk mempelajari bahasa lain sebagai bahasa tambahan.

Di samping itu, setiap murid akan dibantu untuk mencapai potensi mereka dengan sepenuhnya melalui bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan yang merangkumi keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi secara berkesan serta dibentuk sebagai individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan komuniti dan negara dari segi etika dan kerohanian.

Selain itu, setiap murid dipupuk dengan semangat patriotik dengan cara memahami sejarah negara dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara kerana identiti nasional akan dapat dicapai bukan hanya belajar memahami dan menerima kepelbagaian tetapi juga menghayati kepelbagaian.

Sumber: BERNAMA, BHarian [06092013]

Sistem Pendidikan Negara Diperkasa Menerusi PPM 2013-2025

Sistem pendidikan negara dapat diperkasa dan dibangunkan secara berterusan menerusi Pelan Pembangunanan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dirangka berasaskan tiga objektif khusus supaya Malaysia mampu berdaya saing pada peringkat global.

Menurut PPPM 2013-2025, tiga objektif itu ialah:

* Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia berfokuskan penambahbaikan akses kepada pendidikan, peningkatan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid serta memaksimumkan keberkesanan sistem.

* Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk sistem pendidikan dan murid bagi 13 tahun yang seterusnya sehingga 2025.

* Menggariskan program transformasi yang menyeluruh untuk sistem pendidikan termasuk perubahan utama dalam kementerian yang membolehkan sistem ini memenuhi permintaan baharu dan jangkaan yang meningkat serta menyokong transformasi awam.

"Pendekatan yang diambil dalam menghasilkan pelan ini adalah suatu langkah berani dan julung-julung kali dilakukan. Pandangan pelbagai pakar dan agensi antarabangsa dikumpulkan untuk menilai dan mentaksir prestasi sistem pendidikan Malaysia termasuk agensi luar seperti Bank Dunia, Unesco dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD)," menurut pelan pembangunan pendidikan itu.

PPPM juga merangkumi pelan tindakan dan inisiatif utama transformasi keseluruhan sistem pendidikan dan terdapat tiga fasa iaitu:

* Fasa Satu - melibatkan kajian semula dan diagnostik menyeluruh tentang sistem pendidikan. Fasa ini bermula dengan penilaian terperinci prestasi sistem pendidikan Malaysia, memberi tumpuan kepada keberhasilan murid, mentaksir punca sebenar dan penggerak utama pencapaian tahap prestasi masa kini di samping mengenal pasti kecemerlangan yang terdapat dalam sistem pendidikan sebagai model untuk diikuti dan dicontohi.

* Fasa Dua - memberikan tumpuan kepada penyediaan Laporan Awal PPPM dengan menggunakan dapatan dalam Fasa Satu untuk mengenal pasti bidang keutamaan dan memperinci program transformasi yang tuntas tentang dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tempoh pelan 13 tahun itu. Fasa ini merangkumi maklum balas yang dijana daripada Dialog Nasional Pendidikan Negara dan Makmal Pendidikan GTP 2.0.

* Fasa Tiga ditumpukan kepada penyediaan laporan akhir PPPM. Fasa ini melibatkan rundingan dan penglibatan guru, ibu bapa, murid dan pihak berkepentingan yang lain bagi mendapatkan maklum balas tentang Laporan Awal PPPM. Maklum balas berkenaan telah dipertimbangkan dalam penyediaan laporan akhir.

PPPM 2013-2025 itu juga mengkaji pengalaman sistem pendidikan negara lain yang menunjukkan peningkatan signifikan, meluas dan berupaya mengekalkan peningkatan dalam keberhasilan murid.

Ia bertujuan menyediakan metodologi yang mantap untuk memahami dan membandingkan standard dan prestasi sistem pendidikan Malaysia dengan negara lain.

"Sebagai sebahagian daripada proses, kementerian telah mengkaji data antarabangsa, menganalisis dan menanda aras pendekatan daripada sumber antarabangsa yang terkemuka seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS)," menurut laporan pelan itu.

Menurut PPPM 2013-2025 itu, kejayaan masa depan negara bergantung kepada perkembangan sosiobudaya yang sihat dan pembangunan ekonomi yang mampan iaitu kedua-dua faktor ini bergantung kepada keupayaan menambah baik keberhasilan sistem pendidikan negara dengan cepat dan berkesan.

"Maka tidak menghairankan sekiranya sesebuah negara yang mempunyai rakyat berpendidikan tinggi mampu menjana ekonomi dengan pesat demi kemakmuran negara," menurut PPPM itu.

Sumber: BERNAMA [06092013]

Pengambilan Guru Hanya Dalam Kalangan 30 Peratus Graduan Terbaik

Profesion keguruan akan menjadi lebih berprestij dan elit apabila pengambilan dibuat hanya dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik dalam negara dalam usaha mentransformasi profesion itu menjadi profesion pilihan.

Ini bermakna Kementerian Pendidikan akan meninggikan syarat kelayakan kemasukan ke profesion keguruan bagi memastikan semua guru yang mengikuti setiap latihan perguruan memenuhi syarat minimum kelayakan akademik.

Kementerian turut berhasrat untuk mengubah Institut Pendidikan Guru (IPG) kepada universiti latihan guru bertaraf dunia menjelang 2020 dan menilai semula kurikulum latihan praperkhidmatan semasa bagi memastikan guru bersedia untuk mengajar kemahiran berfikir aras tinggi yang diperlukan murid.

Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM, mulai tahun ini, guru akan menerima program Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) bagi membantu guru mencapai potensi penuh.

Program CPD itu termasuk latihan komponen teras dan elektif mengikut keperluan pembangunan diri yang akan diberi latihan secara individu daripada penyelia masing-masing.

Pelan itu turut menyebut, guru boleh memilih laluan kerjaya yang menarik berdasarkan prestasi, potensi dan minat mereka, sama ada memilih untuk menjalankan tugas kepimpinan atau menjadi guru pakar.

Selain itu, guru juga akan dinilai secara tahunan oleh pengetua atau guru besar dengan menggunakan input yang mungkin diberikan oleh rakan sejawat dan menggunakan instrumen penilaian baharu yang memberi tumpuan kepada keupayaan guru menyampaikan pengajaran secara berkesan di dalam dan luar bilik darjah.

Dalam memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah, kementerian akan menukar kriteria pemilihan pengetua dan guru besar daripada pemilihan berasaskan tempoh perkhidmatan kepada pemilihan yang berfokuskan kecekapan kepimpinan.

Setiap pengetua atau guru besar juga dikehendaki mendapatkan sijil Kelayakan Profesional Kebangsaan bagi Kepimpinan Pendidikan (NPQEL) daripada Institut Aminuddin Baki sebelum boleh dilantik.

Pengetua dan guru besar yang bakal dilantik juga akan mengikuti program pementoran selama satu bulan di bawah bimbingan pengetua dan guru besar yang akan berpindah dan bersara.

Dalam pada itu, kementerian akan memastikan 100 peratus sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas menjelang 2015, bermula dengan Sabah dan Sarawak bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, bersih dan kondusif.

Kementerian juga akan melaksanakan prinsip asas yang telus dan saksama dalam pengagihan kewangan dan sokongan lain kepada semua sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan.

Bagi memanfaatkan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam meningkatkan kualiti pembelajaran, kementerian menyediakan akses Internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui iBestariNet bagi kesemua 10,000 sekolah menjelang tahun ini.

Perpustakaan video pengajaran oleh guru cemerlang akan diwujudkan supaya guru boleh menggunakan sumber ini bagi mendapatkan idea dan murid pula dapat menjadikannya sebagai alat ulang kaji.

Sumber: BERNAMA [06092013]

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 Lahirkan Murid Berpengetahuan Dunia

Murid yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran bertaraf dunia, nilai moral yang tinggi serta berupaya bersaing dengan rakan sebaya dari negara lain merupakan antara impak daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut pelan itu, impak yang didapati daripada murid ialah golongan ini akan belajar dalam persekitaran yang mempunyai kepercayaan asas bahawa semua murid boleh belajar dan boleh berjaya selain mempunyai lebih hak bersuara dalam membentuk pengalaman mereka.

"Murid juga akan mempunyai pembelajaran yang kaya dari segi akademik dan bukan akademik kerana lebih banyak projek dan tugasan berkumpulan dilakukan bagi meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi murid serta keupayaan untuk bekerja secara individu dan berkumpulan," menurut pelan berkenaan.

Menurut pelan itu dari sudut kesannya kepada guru, golongan ini akan menikmati laluan kerjaya yang lebih baik serta proses penilaian yang telus dan adil serta berkait dengan keupayaan dan prestasi yang relevan.

"Guru akan mendapat sokongan yang diperlukan untuk berjaya dan menikmati persekitaran kerja yang lebih sesuai, ganjaran berasaskan prestasi dan laluan kerjaya yang lebih baik serta didedahkan dengan budaya kerjasama dan kecemerlangan profesional," jelas laporan itu.

Impak kepada pemimpin sekolah pula ialah golongan ini akan mendapat akses yang lebih besar terhadap latihan kepimpinan bertaraf antarabangsa serta amalan terbaik daripada rakan sejawatan mereka di Malaysia.

"Mereka akan mendapat sokongan dan sumber yang mereka perlukan bagi memacu sekolah dengan berkesan selain menikmati persekitaran bekerja yang lebih baik dan ganjaran berasaskan prestasi serta diberi kuasa melalui pengurusan berasaskan sekolah yang lebih tinggi," jelas pelan itu.

Pegawai kementerian turut mendapat impak apabila mendapat manfaat daripada meritokrasi yang lebih besar dengan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi dan tidak akan terbatas dengan kawalan.

"Mereka akan menerima sokongan, latihan dan sumber yang bersasaran yang diperlukan bagi memenuhi peranan baharu mereka serta mempunyai keluwesan pengoperasian dan kebertanggungjawaban yang lebih besar selain bekerja dalam persekitaran yang telus dan saling bekerjasama," katanya.

Ibu bapa pula akan berperanan seperti rakan kongsi sebenar dengan sekolah dalam membantu pembelajaran anak mereka kerana mereka mempunyai akses penuh terhadap prestasi anak mereka dalam peperiksaan kebangsaan dan pentaksiran berasaskan sekolah.

"Ibu bapa akan mempunyai lebih peluang untuk memberikan input kepada strategi penambahbaikan sekolah anak mereka kerana mereka mempunyai hak untuk tahu sepenuhnya tentang misi sekolah, prestasi terkini serta program penambahbaikan tahunan," menurut pelan itu.

Sumber: BERNAMA [06092013]

3 comments:

Ummiadri berkata...

Tahniah...sangat puas hati dengan ringkasan PPP 2013-2025..dapat memahami isi kandungan tersebut.

blog KaMi berkata...

Terima kasih banyak di atas perkongsian ini.Catatan ini sangat memudahkan saya untuk mencari kesimpulan mengenai PPPM .Terima kasih dan tahniah.

Melati Putih berkata...

Terima kasih dan tahniah di atas perkongsian ini, banyak ilmu dapat dimanfaatkan.