22 September 2013

Mitos Viking Hasil Kerja Yusry


PENGGUNAAN kostum amat bersesuaian bagi setiap watak yang ditampilkan dalam Vikingdom.

JIKA tidak mengetahui fakta bahawa Vikingdom merupakan buah tangan daripada pengarah Malaysia iaitu Yusry Abdul Halim, pastinya ramai yang menganggap filem yang menelan bajet sebanyak RM20 juta itu adalah filem luar negara yang ditayangkan di Malaysia.

Ini kerana kesemua pelakon yang membintangi Vikingdom merupakan pelakon luar negara, malah filem itu juga seolah-olah dirakamkan di luar negara sedangkan semua babak dilakukan di Malaysia.

Itu kelebihan Yusry yang bijak menggunakan kesan khas visual (CGI) untuk filem terbaharu arahannya itu biarpun ada beberapa babak yang dianggap tidak realistik.


Babak tidak realistik itu, terutamanya ketika tunjang utamanya iaitu Irick Bloodletter (Dominic Purcell) berdepan dengan cabaran sekumpulan kuda untuk berenang ke dasar laut bagi mendapatkan tanduk yang mampu menghapuskan musuh ketatnya, Thor (Conan Stevens).

Begitu juga cabaran akhir yang perlu diharungi Irick iaitu bertembung dengan anjing gergasi. Anjing tersebut langsung tidak menggerunkan apabila ia cuba mengejar dan memakan Irick.

Vikingdom berjaya memaparkan visual ribuan tentera di medan pertempuran, selain adegan-adegan pertarungan yang membabitkan imej-imej besar seperti binatang buas yang 'dihidupkan' dengan menggunakan teknik-teknik tersebut.

Begitu juga dengan paparan suasana latar tempat bersalji, bergunung-ganang dan latar prob yang mewarnai era tahun 793 Masihi berjaya dicerna dengan baik bagi menggambarkan jalan cerita filem ini. Dengan Dana CGI RM2 daripada kerajaan, KRU Studio berjaya memanfaatkan teknologi itu dalam Vikingdom.

Tanpa bantuan CGI agak sukar untuk menghasilkan adegan-adegan seperti itu, malah jika boleh pun kosnya memang sangat mahal. Tidak mustahil Yusry mampu melakukan pendekatan yang sama tetapi jauh lebih baik jika diberi peluang dan juga dengan bajet yang mencukupi pada masa depan.


DOMINIC Purcell (dua dari kiri) watak utama Vikingdom, sebuah naskhah epik yang diimport.

Selain teknik-teknik kesan khas yang mewarnai visual Vikingdom, filem ini turut dihidupkan lagi dengan audio yang melatari bunyi adegan-adegan di sepanjang perjalanan filem itu. Edry Abdul Halim selaku tonggak utama dalam hal-ehwal muzik latar serta penggubah lagu termasuklah untuk skor filem ini juga harus diberi pujian.

Pada tahap ini, sentuhan Edry boleh dilabelkan sebagai bertaraf antarabangsa. Dengan gaya muzik yang dihasilkannya ia bukan sahaja secocok dengan semua adegan yang dipaparkan. Malah, sentuhan untuk halwa telinga filem ini yang berteraskan muzik moden yang kental dengan kesan-kesan khas berjaya menaikkan penghayatan para penonton.

Banyak adegan pertarungan yang kemudiannya diperlahankan pergerakkannya dalam konsep komik bergrafik lalu dipadankan dengan alunan muzik yang segar, keras dan penuh semangat pop kental di sebaliknya. Lantaran itu, Edry berjaya mencetuskan suatu rasa penghayatan yang menjurus ke arah adegan-adegan seperti itu.

Tidak mustahil, lagu-lagu latar yang dipersembahkan dalam filem ini boleh diperpanjangkan dan mampu berdiri atas kapasitinya sendiri di luar filem tersebut.

Kekuatan melodi dan rasa penghayatan yang kuat banyak melingkari lagu-lagu dalam Vikingdom. Tahniah buah KRU Studio kerana filem ini tetap membanggakan dan menarik untuk ditonton oleh segenap lapisan usia.

Vikingdom menjadi filem cereka tempatan pertama yang akan ditayangkan di pawagam-pawagam di Amerika Syarikat (AS) mulai 4 Oktober 2013 ini dan diedarkan juga di negara-negara seperti United Kingdom, Australia, Sweden, Denmark serta Brazil.

Bagaimanapun, sejujurnya apa yang amat membanggakan adalah Yusry berani menghasilkan filem berkisarkan tentang Thor (Dewa Petir) yang dianggap antagonis dalam kepercayaan orang-orang Viking.

Yusry cuba menterjemahkan watak Thor menurut kepercayaan orang Viking dalam ideologinya yang tersendiri. Kalau sebelum ini Thor digambarkan sebagai hero, sebaliknya menerusi Vikingdom Thor digambarkan sebagai watak yang antagonis.

Vikingdom secara terus mengangkat mitos bercampur sedikit sejarah bangsa Viking yang berevolusi di daerah Scandinavia khususnya di Sweden sebelum era pemodenan ribuan tahun yang lalu.

Pada masa sama, watak mitos seperti Thor yang juga sudah banyak kali dikisahkan dalam komik dan filem sekali lagi diangkat dalam karya ini.


FANTASI... Siapa sangka filem Vikingdom ini merupakan hasil arahan seorang anak jati Malaysia.

Yusry juga kreatif kerana mengolah jalan cerita tersebut supaya tidak menyamai cerita-cerita tentang Viking yang sedia ada khususnya yang pernah dihasilkan Hollywood.

Vikingdom mengisahkan seorang raja bernama Irick Bloodletter yang mati tetapi dihidupkan semula oleh dewa. Dia dihidupkan atas amanah yang perlu dilaksanakan iaitu membunuh Thor dan konco-konconya yang merancang untuk memusnahkan dunia.

Misinya itu tidak dapat dilaksanakan seorang diri apabila dia perlu mengumpulkan tenteranya bagi menghapuskan Thor dan konco-konconya. Irick bersama teman baiknya iaitu Sven (Craig Fairbrass), akhirnya disertai oleh Yang (Jon Foo), Brynna (Natassia Malthe) dan lain-lain lagi.

Taruhan Yusry memilih Dominic Purcell sebagai tunjang utama pada dasarnya agak menarik dan ia juga mampu menarik penonton kerana ramai mengenali hero tersebut menerusi siri TV popular, Prison Break.

Malangnya, lakonan Dominic ibarat seperti kata pepatah ‘melepaskan batuk di tangga’. Lontaran dialog, memek muka dan aksi lawan yang ditonjolkan kaku dan tiada jiwa!

Begitupun, pujian harus diberikan kepada watak Thor lakonan Conan Stevens, heroinnya Natassia Malthe dan juga watak hamba abdi dari China, Jon Foo yang cukup menghidupkan watak dalam filem tersebut.


VIKINGDOM banyak dibantu dengan penggunaan CGI.

Vikingdom membuktikan kemampuan rakyat Malaysia dalam menghasilkan filem yang hampir menyamai standard produksi antarabangsa, malah tenaga kerjanya juga adalah 100 peratus dari Malaysia.

Biarpun jalan ceritanya agak membosankan kerana tegang dan tidak diselitkan dengan sebarang humor, selain beberapa babak tidak realistik yang begitu ketara, namun ada juga babak- babak menarik dalam Vikingdom.

Antaranya, babak pertarungan yang membabitkan Brynna dan Jon Foo bersama dengan konco-konco Thor. Aksi pergaduhan dan wajah dua pelakon itu mampu menarik penonton melekat lama di kerusi pawagam.

Begitu juga, penggunaan kostum- kostum yang bersesuaian dengan setiap watak. Buat Yusry, Vikingdom merupakan satu percubaan yang bagus untuk meniti anak tangga keja- yaan dalam menghasilkan filem bertaraf global pada masa hadapan.

Olahan daripada artikel:
1. Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA, Sumber: Kosmo
2. Oleh ABD. AZIZ ITAR, Sumber: Utusan

0 comments: