27 September 2013

Rukun Haji



IBADAT haji merupakan salah satu rukun Islam yang mesti dilaksanakan oleh setiap Muslim yang mukalaf (cukup syaratnya). Dengan itu, hukum melaksanakan haji adalah wajib sekali seumur hidup apabila cukup syarat-syaratnya.

Bagi setiap Muslim perlulah berazam untuk melaksanakan ibadat haji kerana ia perintah Allah SWT yang wajib ditunaikan bagi melengkapkan Rukun Islam yang kelima.

Rukun haji ialah pekerjaan yang mesti ditunaikan oleh jemaah haji, jika tidak ditunaikan sama ada sengaja atau tidak maka tidak sah hajinya. Rukun haji merupakan amalan yang sekiranya ditinggalkan satu daripadanya, ibadah haji akan terbatal dan tidak boleh digantikan dengan sebarang kaffarah dan fidyah.


Rukun-rukun haji ialah;

1. Niat ihram haji

Niat ihram haji ini dilafaz serta berqasad dalam hati ingin mengerjakan haji dengan lafaz "Sahaja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana Allah SWT" (untuk Haji Tamattuk dan Haji Ifrad).

Manakala lafaz "Sahaja aku mengerjakan haji dan umrah serentak dengannya aku berihram haji dan umrah kerana Allah SWT" (bagi mereka yang mengerjakan Haji Qiran).

Dengan lafaz ini, maka bermulalah amalan haji. Jemaah perlu menjaga perkara-perkara wajib haji seperti larangan dalam ihram.

Lafaz atau niat ihram boleh dilakukan walaupun tanpa dalam keadaan berwuduk (bersuci) seperti berada dalam haid dan lain-lain kerana lafaz niat haji tidak disyaratkan dalam keadaan bersuci.

Sememangnya lafaz itu disebutkan semasa atau sebelum melintas miqat. Bagi mereka yang sudah berada di Tanah Suci Mekah, miqatnya di Mekah itu sendiri dan perlu berpakaian ihram.

Jika jemaah datang dari luar Mekah, ia mestilah berniat ihram di tempat arah mereka datang. Contohnya, kalau dari Madinah tempat miqat di Bir Ali (Zulhulaifah), dari Malaysia dan terus memasuki Mekah, miqatnya di Qarnul Manazil. Bagi mereka yang tidak berniat ihram haji di miqat maka dikenakan dam tertib dan taqdir (menyembelih seekor kambing atau 1/7 daripada lembu/ unta).

2. Wuquf di Padang Arafah

Rukun ini berdasarkan hadis sahih, Nabi SAW bersabda: “Haji itu ialah Arafah. Sesiapa yang datang ke Arafah pada malam perhimpunan sebelum fajar terbit, bererti dia dapat ibadah haji tersebut." (riwayat al-Tirmizi (898), al-Nasaie, Ibnu Majah, Imam Ahmad, Ibnu khuzaimah, al-Baihaqi, al-Daraqutni, al-Thayalisi dan Imam Malik dalam al-Muwatta’)

Justeru, wukuf merupakan teras utama bagi seluruh amalan haji, seolah-olah ibadah haji itu semata-mata wukuf di Arafah. Arafah ialah nama sebuah bukit yang berbanjar, menghala ke Mina, kira-kira 25 kilometer ke tenggara Mekah.

Wuquf bermaksud berhenti atau berada di Padang Arafah pada masa yang ditetapkan. Ia adalah merupakan salah satu daripada rukun haji yang sangat penting kerana Nabi SAW bersabda, "Haji itu mesti berwuquf di Arafah."

Fahaman daripada itu bererti jemaah yang sudah berpakaian ihram dan berniat ihram mesti berada atau pergi ke Padang Arafah. Jika tidak, hajinya tidak sah.

Wuquf di Arafah bermaksud mesti berada di Arafah walaupun seketika dalam sebarang keadaan dari masa gelincir matahari (masuk waktu Zuhur) pada 9 Zulhijjah sehingga sebelum masuk waktu Subuh pada 10 Zulhijjah.

Pada hari tersebut, disunatkan banyak melakukan solat sunat, berdoa, berzikir dan lain-lain. Berdoa di Arafah adalah salah satu tempat yang mustajab berdoa. Tidak disunatkan berpuasa pada hari Arafah dan dilarang sama sekali melakukan perkara-perkara yang khurafat.

Syarat-syarat Wukuf:

Pertama: Wukuf hendaklah dalam tempoh waktu Zuhur, hari yang ke-9 Zulhijah hingga terbit fajar pada Hari Raya Korban. Ini bererti, seseorang yang wukuf di Arafah sebelum atau selepas tempoh tersebut, hajinya tidak sah.

Dalam hal ini, memadai berada di Arafah seketika dari tempoh wukuf tersebut sama ada siang ataupun malam. Namun, afdal menghimpunkan kedua-dua bahagian siang dan malamnya. Justeru, sesiapa yang meninggalkan Arafah sebelum terbenam matahari, dia sunat menyembelih binatang ternakan sebagai dam disebabkan berlainan daripada perbuatan Rasulullah SAW.

Kedua: Wukuf di tempat yang dikehendaki di Arafah. Ia berdasarkan hadis Nabi SAW: Di sinilah aku berwukuf dan seluruh Arafah adalah tempat berwukuf. (riwayat Muslim (3011), Abu Daud, al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

Oleh itu, tidak memadai wukuf di `Urnah, yang bertentangan dengan sempadan Arafah, ditandai dengan batu-batu besar. Lakukan lah solat Maghrib dan Isyak secara jamak ta'khir di Muzdalifah semasa perjalanan balik ke Mina kerana ia perbuatan baginda SAW.


Jambatan tawaf setinggi 13 meter dan seluas 12 meter itu boleh memuatkan kira-kira 1,700 jemaah yang menggunakan kerusi roda dalam satu-satu masa.

3. Tawaf Rukun Haji (Tawaf Ifadhah)

Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan, bermula di penjuru Hajarul Aswad dan berakhir pada sudut yang sama menurut syarat-syarat tertentu.

Pada asasnya ia mempunyai tujuh jenis iaitu tawaf qudum (tawaf selamat datang), tawaf rukun umrah, tawaf rukun haji, tawaf sunat, tawaf nazar, tawaf wada' (tawaf selamat tinggal), tawaf tahiyatul al-bait dan tawaf tahallul.

Waktu untuk tawaf haji bermula pada waktu melebihi separuh malam pada malam 10 Zulhijjah.

Syarat sah Tawaf:

Pertama: Hendaklah mempunyai semua syarat, sebagaimana syarat sah sola. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: Tawaf adalah sebagaimana solat kecuali Allah SWT membenarkan perbuatan berkata-kata ketika tawaf. Sesiapa bercakap, hendaklah bercakap dengan perkara yang baik-baik. (riwayat al-Tirmizi (975), Imam Ahmad, al-Nasaie dan al-Tabarani)

Kedua: Semasa tawaf, mana-mana bahagian badan, janganlah termasuk ke dalam sempadan Kaabah. Hendaklah tawaf di luar kawasan Hijr Ismail kerana ia juga termasuk kawasan Kaabah.

Ketiga: Dimulai dari Hajar Aswad dengan Kaabah berada di sebelah kiri badan. Sesiapa yang memulakan tawaf di belakang garisan Hajar Aswad ia belum dikira tawaf sehingga dia sampai ke garisan tersebut.

Keempat: Hendaklah menyempurnakan tawafnya sebanyak tujuh kali.

4. Sa'ie (Antara Bukit Safa dan Marwah)

Safa dan Marwah merupakan dua buah bukit yang berhampiran dengan Kaabah, manakala sa’ie di antara kedua-duanya bermaksud berjalan dari Safa ke Marwah dan sebaliknya sebanyak tujuh kali, iaitu dari Safa ke Marwah dikira sekali dan dari Marwah ke Safa dikira sekali dan begitulah seterusnya.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW. "Baginda menghadap kiblat untuk bersa’ie, lantas Baginda bersabda: “Wahai manusia! Kerjakanlah sa’ie." (riwayat al-Daraqutni (2613) dan al-Baihaqi)

Begitu juga, hadis daripada Jabir r.a yang diriwayatkan oleh Muslim tentang cara ibadah haji Nabi SAW. Antara kandungannya: Kemudian, Baginda keluar daripada pintu menuju ke arah Safa. Apabila hampir sampai ke sana, Baginda pun membaca firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Safa dan Marwah itu ialah sebahagian daripada syiar (lambang) agama Allah. Baginda bersabda lagi: Aku mulai dengan sesuatu yang Allah memulakannya. Lalu Baginda naik ke atas bukit Safa, sehingga ternampak Kaabah. (riwayat Muslim (3009), Abu Daud, Ibn Majah, Ibnu Hibban, Abi Ya’la, al-Daraqutni, al-Baihaqi dan al-Darimi)

Sa'ie ialah berjalan ulang-alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah menurut syarat-syarat iaitu;

a) Hendaklah dilakukan selepas melaksanakan Tawaf Qudum (bagi mereka yang masuk Mekah untuk melakukan Haji Qiran dan Ifrad) atau selepas tawaf haji. Bagi mereka yang masuk Mekah dengan niat ihram umrah, tawaf qudum terjadi dengan serentak bersama tawaf rukun umrah.

b) Mesti bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. Jangan mula di tengah-tengah antara Bukit Safa dan Bukit Marwah.

c) Cukup tujuh ulang-alik dengan yakin bermula di Bukit Safa ke Bukit Marwah dikira satu kali dan di Bukit Marwah ke Bukit Safa dikira sekali. Mesti berakhir di Bukit Marwah apabila cukup tujuh pusingan.

d) Hendaklah sampai ke penghujung tempat sa'ie di kaki Bukit Marwah dan kaki Bukit Safa pada setiap pusingan (untuk mengetahui di mana kaki Bukit Safa dan Marwah pada masa sekarang ini, jemaah haji perlu lihat berakhirnya pagar untuk kawasan saie bagi kerusi roda).

e) Hendaklah dilakukan di tempat yang telah ditentukan oleh Allah SWT (termasuk kawasan yang diperlebarkan dan kawasan yang sama dengannya, sama ada lapisan bawah atau atas).

f) Mengekalkan niat sa'ie kerana Allah SWT sepanjang masa sa'ie (contohnya, tidak kekal niat kerana Allah, sambil-sambil sa'ie mencari selipar yang hilang).

5. Bercukur atau Bergunting

Apa yang dikehendaki di sini ialah menanggalkan rambut di kepala sekurang-kurangnya tiga helai rambut (sama ada di pangkal atau di hujung rambut). Jika tiada rambut di kepala, boleh hanya melalukan pisau cukur di kepala sebagai menandakan kita telah bercukur/ bergunting. Waktu bagi jemaah haji boleh bercukur atau bergunting ialah selepas waktu separuh malam 10 Zulhijjah.

6. Tertib 

Rukun yang keenam ini dimaksudkan rukun-rukun haji hendaklah dilakukan mengikut tertib pada kebanyakan rukun iaitu didahulukan niat ihram haji dari rukun-rukun yang lain. Didahulukan wuquf daripada tawaf rukun dan didahulukan tawaf daripada sa'ie. Tetapi sa'ie haji boleh dipilih untuk dikerjakan sebelum wuquf atau selepas wuquf dengan syarat mereka melakukan haji ifrad atau haji qiran dan dilakukan selepas Tawaf Qudum.

Sebahagian besar rukun ini mestilah dilakukan secara tertib, iaitu ihram, wukuf di Arafah, tawaf dan sa’ie. Sementara bercukur boleh dilakukan selepas atau sebelum tawaf.

Sumber Asal Artikel:

Artikel 1 Oleh TENGKU AZIZ RAJA ABDULLAH
Pengurus Besar (Bimbingan), Lembaga Tabung Haji.
Sumber: Utusan

Artikel 2 Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim)
Sumber: Utusan

0 comments: