26 September 2013

Wan Nazri ~ Jurutera Di Sebalik Menara Jam Makkah


Ketua jurutera struktur menara jam Makkah berpegang prinsip berusaha sampai berjaya

Kelibat figura berusia 33 tahun ini pernah mencetuskan kebanggaan buat Malaysia tatkala dirinya berserta beberapa lagi anak tempatan lain dihidu media ekoran kemampuan serta tanggungjawab sebagai tulang belakang di sebalik pembangunan hebat Menara Jam Diraja Makkah atau dikenali sebagai Abraj Al-Bait, di Masjidil Haram, Makkah.

Betapa bangganya melihat susuk anak tempatan menjadi antara orang penting dalam pembangunan menara jam penuh berprestij setinggi 601 meter. Terbit rasa bangga tatkala berpeluang bersemuka dengan empunya diri yang pernah menjadi ketua jurutera struktur bagi pembangunan menara jam hebat berkenaan.


Wan Nazri Wan Aria  merupakan anak kelahiran Melaka tetapi dibesarkan di Segambut, Kuala Lumpur. Beliau memiliki sebuah pejabat di Solaris Dutamas, Kuala Lumpur.

Beliau merupakan seorang yang begitu bersemangat apabila bercerita tentang pengalaman serta kerjayanya. Pesanan beliau, menimba ilmu serta keinginan untuk menabur bakti kepada anak bangsa di negara sendiri adalah suautu perkara yang penting.

Selepas tujuh tahun berkelana di Jerman, lantas berjaya membina reputasi cemerlang sebagai jurutera struktur disegani, keputusan pulang ke tanah air dilihat sebagai suatu keputusan tepat.

Lantas bersama rakan kongsi, Datuk Sharif Shamsuddin yang juga Pengarah Urusan Asturi Metal Builders (M) Sdn Bhd, Wan Nazri sepakat membuka syarikat sendiri, Trinum Steel Structure Sdn Bhd.

“Sudah tiba masanya pulang semula ke tanah air. Keputusan ini saya lihat suatu lagi lembaran baru dalam hidup saya. Bagi saya, perjalanan hidup ini cukup indah dan mensyukuri nikmat pemberian-NYA. Isteri saya, Munira Mohamad baru saja menamatkan pengajian doktor falsafah di Jerman, sekali gus semuanya nampak molek untuk kami pulang,” katanya.



Biayai pengajian sendiri

Menceritakan detik awal dirinya membina karier profesional khususnya di Jerman, kata bekas lulusan bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2002, penghijrahan dirinya ke bumi Eropah bermula dengan menemani isteri yang melanjutkan pengajian peringkat ijazah dalam jurusan kejuruteraan hidraulik di University of Stuttgart, Jerman.

Memikirkan mengapa tidak untuk turut serta melanjutkan pelajaran, Wan Nazri mengambil risiko membiayai sendiri pengajian yang akhirnya memutuskan melanjutkan pengajian peringkat ijazah bagi jurusan kejuruteraan bahan mekanik pengiraan dan struktur di universiti sama dengan isterinya.

“Sepanjang kira-kira 21 bulan belajar itu, saya bekerja di restoran Jerman milik rakyat Malaysia yang sudah 25 tahun menetap di sana. Beliau kagum kerana mengatakan, sayalah Melayu pertama yang dia jumpa, belajar dengan duit sendiri,” katanya.

Selain bekerja sambilan di restoran, keazaman untuk menambah pendapatan dimanfaatkan dengan menganjurkan kelas bermain badminton bersama kira-kira 20 anak muda di sekitar Stuttgar.

“Kalau kita lihat di Jerman ini, ibu bapa mereka cukup menekankan aktiviti bersukan untuk anak-anak. Jadi, aktiviti harian mereka cukup padat dari pagi hingga ke petang. “Salah satu peluang yang saya lihat ialah dengan mengadakan kelas bermain badminton,” katanya yang pernah mewakili UiTM Shah Alam dalam sukan badminton.

Sebaik menamatkan pengajian di University of Stuttgar, Wan Nazri diterima bekerja di SL Rasch, iaitu syarikat kejuruteraan disegani di Jerman.

Mengakui bukan mudah bersaing dengan anak tempatan, beliau mempunyai cerita sendiri yang berakhir dengan gemilang.

“Di Jerman untuk mendapatkan gelaran atau lesen profesional, kita perlu berurusan dengan pejabat buruh. Di situlah seseorang itu diberi kelayakan profesional. Untuk mendapatkan kedudukan profesional bukan mudah kerana sebagai rakyat bangsa asing, kita perlu bersaing dengan rakyat tempatan yang tentunya lebih diutamakan.

“Saya bersyukur SL Rasch banyak membantu mendapatkan kedudukan sebagai profesional. Kemampuan saya menguasai empat bahasa iaitu Inggeris, Jerman, Melayu serta Arab mempermudahkan kelayakan saya,” katanya yang mengakui hampir putus asa kerana selama enam bulan pertama berkhidmat kerana berasakan betapa sukarnya bersaing dengan jurutera tempatan.

Beliau bersyukur kerana kemampuan serta kebolehannya mula dipandang syarikat sebelum dipertanggungjawabkan mengemudi projek terbesar SL Rasch di Makkah.

“Saya tidaklah mendaki dengan pantas dalam membina reputasi. Saya ibarat menyimpan kebolehan dalam kuku kerana mulanya saya tidak diberi peluang tetapi apabila waktu bersesuaian dan apa yang sama persembahkan dalam mesyuarat mendapat perhatian pihak atasan, dari situlah kepercayaan itu datang hinggalah rentetan kepada pelan pembangunan menara jam Abraj Al-Bait,” katanya.

Oleh Fairuz Zaidan
Sumber: BHarian [2013/09/21]

0 comments: