31 Oktober 2013

Artifak Mata Wang Di Sasana Kijang



KEDATANGAN Ahmad Zaki Rosli ke Sasana Kijang yang terletak di Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur pada pada ketika itu adalah untuk membuat rujukan bagi tugasannya sebagai seorang pelajar reka bentuk grafik.

"Kadangkala idea dapat dijana bukan sahaja melalui pembacaan atau melayari internet tetapi dengan mengunjungi tempat-tempat pameran. Gaya pameran di sini unik dan tidak konvensional. Ia dapat dilihat dengan cara maklumat disampaikan dan kepelbagaiannya,” cerita Ahmad Zaki.

Ahmad Zaki turut tertarik dengan karya seni di sebalik bahan pameran dan artifak yang dipertontonkan. Antaranya, corak yang tertera pada kedua-dua muka syiling pada masa lampau serta beberapa jenis peralatan untuk membuat syiling emas dan timah.



Tangga yang mengambil inspirasi daripada cengkerang siput.

Reka bentuk bangunan yang diilhamkan daripada siput gerus, bahagian depan bangunan merupakan penafsiran semula motif songket dan kelarai.

Unsur yang terdapat pada kedua-dua elemen tersebut diberi interpretasi baharu menghasilkan reka bentuk moden, namun masih lagi bercirikan Malaysia.

Sasana Kijang yang terletak berhadapan Memorial Tunku Abdul Rahman mempunyai tujuh aras yang menempatkan beberapa ruang pejabat serta Muzium dan Galeri Seri Bank Negara Malaysia.

Barangkali ada dalam kalangan orang ramai yang tertanya-tanya maksud perkataan sasana. Susunan aksara itu daripada bahasa Sanskrit bermaksud pusat, bangunan atau tapak. Kijang pula merupakan logo bagi Bank Negara Malaysia (BNM).


DUIT haiwan yang pernah digunakan oleh pawang untuk ditawarkan sebagai korban kepada penunggu lombong yang baharu.

Tangga berputar

Melangkah kaki ke dalam ruang legar ke galeri-galeri yang terdapat di Sasana Kijang, mata para pengunjung pasti tertancap pada satu binaan tangga berputar di tengah-tengahnya. Tangga tersebut mengambil inspirasi daripada cengkerang siput.

Dikenali sebagai tangga nautilus, ia menghubungkan ketiga-tiga aras di dalam Muzium dan Galeri Seni (MAG) BNM. Semakin tinggi aras, tangga berpusar lebih besar. Uniknya tangga tersebut, tiada sebarang tiang yang menyokong tangga-tangga itu berpusar sehingga ke atas.

Terdapat enam buah galeri di situ iaitu Galeri Seni, Galeri Numismatik, Galeri BNM, Galeri Ekonomi, Galeri Kewangan Islam dan Galeri Kanak-Kanak.

Galeri Numismatik yang sering menjadi tarikan bagi peminat duit antik merupakan yang menarik kerana menempatkan banyak artifak sejarah mengenai wang dan mata wang secara menyeluruh.

Bermula dengan pameran sistem barter sehingga spesimen mata wang dunia, pameran di galeri itu adalah untuk menjana minat pada koleksi BNM.

Di ruang pameran artifak, terdapat pelbagai bentuk wang yang pernah digunakan pada masa lalu seperti wang bentuk haiwan, jongkong timah, wang awal yang digunakan di negeri-negeri Melayu, wang awal Borneo, wang Cina dan Siam terawal yang digunakan di negeri-negeri Melayu.

Bukan sahaja mempunyai bentuk yang menarik tetapi terdapat kisah di sebalik mata wang timah berbentuk haiwan.

Menurut kurator Galeri Numismatik, Rohaya Juli, mata wang itu dibangunkan sekitar abad ke-18 di Perak dan Selangor.

“Pawang membuat jongkong pelbagai bentuk haiwan untuk ditawarkan sebagai korban kepada penunggu lombong yang baharu” jelasnya.

Selain itu, di bahagian Denai Duit Syiling (River of Coin) menyaksikan satu koleksi syiling sejak zaman pemerintahan Kesultanan Melayu sehingga penjajahan Barat.


MESIN pencetak cek keluaran tahun 1910 ini digunakan untuk melindungi amaun pada sekeping cek daripada diubah.

Pangkalan data

Berhadapan dengan peti-peti yang mempamerkan duit syiling terdapat imej yang dipancarkan dari kiri ke kanan mengikut aliran pergerakan para pengunjung.

“Pelawat boleh memilih salah satu imej syiling bagi membuka pangkalan data yang mengandungi pelbagai maklumat informasi termasuk sejarah dan penggunaannya dengan menekan butang di depan peti pameran bergelas ini,” katanya lagi.

Di Galeri Kewangan Islam, sebuah glob Bumi menjadi pusat tarikan. Pelawat boleh menekan butang pada panel bagi mendapatkan maklumat yang bakal terpapar pada glob tersebut.

Galeri Ekonomi pula, gaya maklumat dipersembahkan mempunyai kepelbagaian supaya sesuai dengan beraneka peringkat usia.

Bagi golongan profesional yang mahu mendapatkan maklumat mengenai perjalanan ekonomi negara, surat khabar gergasi yang tertulis berita-berita mengenai ekonomi menjadi tarikan.

Bagi para pelajar sekolah yang mahu memahami secara ringkas mengenai rakan dagangan utama Malaysia, sebuah replika kapal kontena dibina di galeri itu.

Setiap kontena mempunyai nama negara yang menjadi rakan dagangan dan apabila dibuka, maklumat mengenai barang-barang dagangan dipaparkan dalam bentuk gambar. Ia sangat menarik dan mudah difahami tanpa mengira peringkat usia.

Jangan sangka MAG hanya sesuai untuk kelompok pelajar sehingga profesional, kanak-kanak yang datang juga boleh belajar mengenai wang dengan cara yang sangat menghiburkan.

Galeri Kanak-Kanak di aras bawah pasti mengujakan kanak-kanak mahupun orang dewasa.



BANGUNAN Sasana Kijang terletak berhadapan Memorial Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur ini mempunyai tujuh aras yang menempatkan ruang pejabat serta Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia.

Duit sebenar

Sebaik kaki melangkah, pelawat akan melalui Terowong Satu Juta yang mengandungi duit sebenar sebagai hiasan dinding terowong.

Di galeri itu, semua maklumat disampaikan secara permainan seperti mesin imbas harga barangan, mesin manual membuat duit dan mengesek duit syiling.

Sebuah kaunter bank olok-olok dibuat bagi mewujudkan rasa tanggungjawab menyimpan wang dalam diri kanak-kanak.

Setiap galeri direka dengan mempunyai keunikan tersendiri baik dari segi persembahan maklumat mahupun gaya bahan pameran dibuat.

Oleh ADLAN JAAFAR
Sumber: Kosmo

0 comments: