16 Oktober 2013

Jasa Profesional Malaysia Pastikan Ibadah Haji Lancar



BERJUTA-JUTA jemaah haji termasuk kira-kira 22,320 rakyat Malaysia kini berada di tanah suci Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima.

Dalam kesibukan melakukan ibadah berkenaan, mungkin tidak ramai jemaah menyedari sumbangan golongan profesional Malaysia dalam membina infrastruktur dan menyediakan perkhidmatan sokongan bagi memastikan proses haji berjalan lancar.

Pada masa sekarang, terdapat 16 profesional muda Malaysia termasuk Hairul Nizam Baharuddin, 36, dan Nursham Ibrahim, 40, yang sedang bekerja siang dan malam bagi menyiapkan projek pembesaran dan menaik taraf Masjidil Haram yang kini sedang berjalan dengan rancak.


Mereka yang bekerja dengan syarikat kejuruteraan antarabangsa, Premier Composite Technologies bertugas menyelia 100 pekerja binaan dari Bangladesh, Pakistan, Syria dan Mesir yang terlibat dengan projek berkenaan.

Projek memperluas ruang solat kepada lebih 300,000 meter persegi di Masjidil Haram adalah bagi membolehkan ia memuatkan sekurang-kurangnya 700,000 jemaah pada satu-satu masa.

Anak-anak muda ini turut terlibat menyelia projek pembinaan mataf iaitu ruang tawaf bertingkat setinggi 13 meter dan selebar 12 meter di sekeliling Kaabah bagi memudahkan jemaah kurang upaya dan warga tua melaksanakan rukun haji.

Sebelum ini, Premier Composite Technologies telah terlibat membina struktur kubah di Kompleks Pejabat Perdana Menteri dan Masjid Putra di Putrajaya dan Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur serta komponen untuk gerabak kereta api berkelajuan tinggi di seluruh dunia.

Dalam pada itu, golongan profesional negara ini turut terlibat menguruskan perkhidmatan kereta api elektrik Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Line Arab Saudi (Mekah Metro) sepanjang 18 kilometer yang digunakan jutaan jemaah haji.

Perkhidmatan kereta api yang beroperasi sejak 2010 yang menghubungkan Mekah, Arafat, Muzdalifah dan Mina itu mempunyai kapasiti untuk membawa 72,000 penumpang setiap arah sejam.

Kesemua 31 kakitangan Express Rail Link Sdn. Bhd. (ERL) itu telah dipinjamkan bagi memberikan khidmat sokongan operasi sepanjang musim haji.

Ini merupakan tahun kedua kakitangan ERL bertugas di sana. Antara tanggungjawab yang diberi kepada mereka adalah bagi menguruskan pengambilan dan melatih pekerja sementara, ujian dan penyerahan sistem, penyediaan operasi stesen, menjalankan perjalanan ujian dan menyelia operasi mengikut syif.

Selain itu, banyak juga kemudahan yang sudah siap di Mekah adalah hasil jasa anak Malaysia termasuk projek pembesaran Jambatan Jamarat berharga lebih RM5 bilion di Mina.

Ia dibina oleh MTD Group yang diterajui oleh Datuk Dr. Nik Hussain Abdul Rahman dan Datuk Azmil Khalili Khalid. Ia adalah konglomerat Malaysia yang banyak terbabit dalam aktiviti pembinaan jalan raya, pelbagai kemudahan prasarana dan hartanah.

Pembesaran jambatan itu telah berjaya mengelak berulang kejadian pada 1990 apabila seramai 1,426 jemaah haji termasuk 153 orang dari Malaysia terkorban ketika mereka berasak-asak di dalam terowong Al-Muassem untuk melakukan ibadat melontar.

Kerja pembesaran jambatan yang mempunyai reka bentuk seperti kapal angkasa itu telah bermula pada November 2005 dan siap pada 2008.

Ia mempunyai 12 laluan masuk dan 12 laluan keluar. Laluan secara sehala itu memastikan jemaah tidak lagi pergi ke tempat melontar dan berpatah balik melalui laluan yang sama.

Projek Jambatan Jamarat itu sebenarnya dibina merangkumi enam tingkat iaitu empat tingkat di atas, satu tingkat di bawah dan satu tingkat lagi di bawah tanah yang digunakan untuk tujuan kecemasan, pemindahan dan perkhidmatan pembersihan.

Komitmen MTD Group dalam menyiapkan pembinaan Jambatan Jamarat mendapat pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan Industri Pembinaan Malaysia (MCIEA) 2009 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam kategori Pencapaian Antarabangsa.

Satu lagi sumbangan rakyat Malaysia adalah dalam pembinaan bangunan kedua tertinggi di dunia iaitu Menara Jam Diraja Mekah atau lebih dikenali sebagai Abraj Al-Bait.

Rakyat Malaysia, Wan Nazri Wan Aria, 33, merupakan jurutera syarikat dari Jerman, SL Rasch. Beliau bertanggungjawab menampilkan reka bentuk dan membina menara jam gergasi tersebut.

Wan Nazri yang menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Stuttgart, Jerman terlibat dalam reka bentuk struktur keluli ringan untuk menyokong jam gergasi itu.

Seramai 14 anak muda Malaysia dari syarikat Premier Composite Technologies pula diberi tanggungjawab untuk memasang jam gergasi itu.

Dengan ketinggian 601 meter, ia merupakan menara jam tertinggi dan terbesar dunia serta tiga kali ganda lebih besar berbanding menara jam The Big Ben di London.

Oleh NIZAM YATIM
Sumber: Utusan

0 comments: