17 Oktober 2013

Travelog HAJI ~ Mengubah Sempadan Iman



SEORANG hamba Allah sentiasa melafazkan doa supaya ibadat hajinya lancar serta berjaya memperoleh haji yang mabrur. Amalan berdoa inilah yang menjadi bekalan pengarang buku Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman, Profesor Dr Muhd Kamil Ibrahim bagi mengerjakan rukun Islam yang kelima itu.

Buku ini bukanlah sekadar coretan biasa yang merakamkan pengalaman seorang yang pernah menunaikan haji. Tetapi berupa coretan peribadi yang menyingkap falsafah kerohanian di sebalik ibadat haji. Ia berkisar pengalaman Prof Kamil, isterinya, Roza dan dua orang saudara perempuan iaitu Shalmiah dan Azlina yang telah sama-sama terpilih menjadi tetamu Allah pada tahun 2006.


Perlu ditekankan di sini bahawa buku ini bukan kompilasi kisah-kisah pelik yang berlaku di tanah suci. Justeru pengalaman Prof Kamil sepanjang di tanah suci adalah pengalaman seorang hamba yang dahagakan reda dan rahmat Allah serta bebas daripada unsur-unsur mistik.

Prof Kamil bertuah kerana beliau terpilih untuk mengerjakan haji pada usia 40-an, iaitu usia yang boleh dianggap masih kuat tulang empat kerat. Ini prasyarat penting bagi melaksanakan ibadat haji kerana ibadah ini banyak memerlukan kekuatan fizikal terutama ketika mengerjakan tawaf dan saie.

Kronologi travelog haji yang ditempuhi oleh Prof Kamil ini tidak dirakamkan bermula sejurus beliau dan ahli keluarganya tiba di tanah suci. Sebaliknya pengarang mengajak pembaca bersama-sama menelusuri episod yang menggerakkan hati beliau untuk menunaikan haji.

Ketika buku ini ditulis Prof Kamil adalah salah seorang tenaga akademik di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Prof Kamil menyedari bahawa gelaran profesor yang disandangnya itu merupakan satu kurniaan oleh Allah.

Beliau bersabar selama hampir 12 bulan sementara menantikan keputusan kenaikan pangkat ke jawatan profesor. Sejurus mendapat khabar yang gembira itu, hajat yang beliau ingin tunaikan sebagai tanda kesyukuran dengan nikmat gelaran profesor itu ialah menunaikan haji. Roza sebagai isteri Prof Kamil yang setia menyokong hasrat murninya itu.

Serentak dengan itu Prof Kamil telah mengambil langkah mendaftarkan diri, isteri dan dua saudaranya sebagai jemaah haji. Beliau juga mengemukakan rayuan agar giliran mereka berempat ke tanah suci disegerakan.

Dengan izin Allah permintaan Prof Kamil dimakbulkan. Cuma bagi memenuhi undangan sebagai tetamu Allah di tanah suci Prof Kamil perlu mengatasi beberapa halangan. Pertama beliau perlu memastikan dirinya mampu membaca al Quran dengan lancar. Halangan tidak dapat membaca Al Quran dengan lancar itu dapat diatasi berkat kegigihan Prof Kamil berguru dengan seorang ustaz yang sabar mengajarnya.

Walaupun Prof Kamil belajar mengaji pada usia yang sudah terlampau dewasa namun itu bukanlah faktor penghalang bagi beliau berjaya menamatkan pengajian tajwidnya. Kegigihan beliau memperbaiki bacaan al Quran membolehkan Prof Kamil tidak kekok untuk membaca pelbagai doa dalam bahasa Arab semasa menunaikan haji.

Satu lagi ujian yang menimpa Prof Kamil sebelum berangkat ke tanah suci ialah penyakit batu karang. Alhamdulillah berkat doa kepada Allah yang tidak putus-putus serta keazaman yang kuat untuk menunaikan haji maka Prof Kamil akhirnya sembuh daripada penyakitnya itu dalam tempoh yang singkat.

Walaupun tergolong sebagai individu yang berkemampuan membiayai pakej haji yang lebih selesa namun Prof Kamil memilih untuk mengerjakan haji dengan pakej muassasah. Ketika mengikuti pakej inilah Prof Kamil, isteri dan dua saudaranya mendapat pengalaman bergaul dengan golongan yang susah dan kurang upaya yang tinggal sebilik bersama mereka.

Pengalaman tinggal bersama jemaah haji senegara yang datang dari pelbagai latar belakang ini menginsafkan Prof Kamil dan menghadirkan rasa syukur dalam jiwanya. Kisah rakan sebilik Prof Kamil terakam dalam bab 46: Haji Daud Tanjung Karang.

Sudah menjadi amalan kebanyakan jemaah haji yang pulang ke tanah air tidak akan menceritakan pengalaman yang mereka tempuhi semasa berada di tanah suci. Prof Kamil sendiri berada di persimpangan dilema sama ada pengalaman hajinya itu perlu dibukukan atau tidak.

Timbul perasaan bimbang di hati Prof Kamil andainya nawaitu untuk membukukan pengalaman hajinya itu dipandang serong sebagai menunjuk-nunjuk.

Namun Prof Kamil mengagahkan dirinya untuk meneruskan usaha murni itu apatah lagi beliau pernah berdoa di hadapan Kaabah agar Allah memberi petunjuk kepadanya untuk menyempurnakan travelog ini supaya menjadi iktibar kepada umat Islam yang lain.

Oleh MUHAMMAD NIZAM AB GHANI
Sumber: Utusan

0 comments: