08 Oktober 2013

Kuasai Peranti Android Anda


RAMAI dalam kalangan pengguna tidak mengetahui kemampuan sebenar peranti Android pada telefon pintar mereka.

ANDROID boleh dikatakan salah satu sistem operasi telefon pintar dan tablet paling ramai penggunanya di dunia.

Saban tahun, pelbagai model dihasilkan oleh para pengeluar telefon pintar, menawarkan pelbagai ciri terkini pada model keluaran terbaharu mereka.

Namun, di sebalik ciri-ciri terkini yang diperkenalkan pengeluar, ramai yang masih tidak tahu sepenuhnya kemampuan peranti Android mereka. Berikut disenaraikan ciri-ciri 'tersembunyi' yang sedia ada pada telefon Android anda:


Akses komputer daripada Android

Ingin mengakses komputer anda dari luar rumah? Terdapat banyak aplikasi yang membenarkan capaian jauh menerusi internet yang boleh dimuat turun dari Play Store seperti 2x atau Slashtop 2 Remote Desktop.

Anda juga boleh mengakses peranti Android anda daripada komputer dengan menggunakan aplikasi komputer seperti AirDroid yang boleh dimuat turun dari www.airdroid.com.

Menggunakan tetikus dan papan kekunci USB

Dengan kabel adapter USB, anda boleh berinteraksi dengan telefon atau tablet Android anda menggunakan tetikus USB berwayar mahupun wayarles.

Telefon Android mampu membekalkan kuasa yang mencukupi untuk membolehkan tetikus wayarles 2.4 GHz berfungsi.

Namun begitu, untuk menggunakan papan kekunci pada masa yang sama, anda perlu menggunakan hub USB bagi membolehkan kedua-duanya berkongsi port micro USB yang sama.


APLIKASI MapMyRide sesuai bagi mereka yang aktif dalam sukan berbasikal.

Kamera keselamatan

Bagi mereka yang sering menukar telefon dalam tempoh yang singkat, telefon Android anda yang terdahulu boleh digunakan sebagai kamera keselamatan.

Hanya muat turun aplikasi Android seperti AtHome Video Streamer dan ia akan menukarkan telefon anda kepada sebuah Kamera IP, membolehkan anda memantau keadaan di dalam rumah, atau boleh digunakan sebagai 'mata dan telinga' di rumah bagi mengawasi tingkah laku pembantu rumah.

Mengakses storan USB

Disebabkan Android menggunakan sambungan micro USB, yang fizikalnya lebih kecil berbanding port USB biasa, ramai yang beranggapan Android tidak boleh digunakan untuk mengakses storan USB, seperti yang lazimnya dilakukan pada komputer.

Akan tetapi dengan menggunakan kabel adapter USB, aplikasi Android seperti USB Storage Manager dan akses root pada sistem operasi, anda kini boleh memindahkan fail terus dari storan USB, sama ada ke telefon atau terus ke aplikasi web seperti e-mel dan sebagainya.

Pedometer dan meter basikal

Anda gemar melakukan aktiviti riadah seperti berjoging dan berbasikal? Gunakan aplikasi seperti Accupedo pada Android yang boleh mengukur langkah dan jarak larian anda.

Bagi yang berbasikal, anda boleh menggunakan aplikasi MapMyRide untuk mengesan laluan, kelajuan, jarak, tempoh masa dan jumlah kalori yang berjaya ‘dibakar’ hasil daripada aktiviti kayuhan anda.


RIBUAN aplikasi yang dihasilkan pada peranti Android memberi kelebihan kepada pengguna.

Memanjangkan hayat bateri dengan Undervolt

Pengguna telefon pintar sering mengeluh tentang hayat bateri mereka yang hanya mampu bertahan tidak sampai sehari. Pelbagai gajet wujud di pasaran yang membolehkan pengguna mengecas telefon mereka dengan mudah.

Selain membeli pengecas tambahan, adapter pengecas kereta dan menggunakan power bank, pengguna juga boleh memilih untuk merendahkan frekuensi CPU dan voltan, satu proses yang dikenali sebagai undervolting.

Proses ini dapat menjimatkan penggunaan kuasa bateri sekali gus memanjangkan hayat bateri telefon anda dengan tambahan sehingga dua jam sebelum ia perlu dicas.

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN
Sumber: Kosmo

1 comments:

Unknown berkata...

sy xtau semua tu...ehehe yg sy tau main pakaiiiii jer sampai rosak.nmpak sgt xperihatin bab2 nih...uhuk uhuk