09 Oktober 2013

Pastikan Sayur Dan Buah Bebas Racun Serangga


Pastikan sayur dan buah selamat dimakan

SEJAK kecil, kita sering diingatkan manfaat sayur-sayur hijau. Ia menjadi menu wajib seharian bagi memperoleh gizi yang seimbang dalam diet seseorang.

Mengikut aras piramid makanan, sayur terletak dalam kategori kedua yang kaya dengan vitamin, mineral dan serat. Pengambilannya sama penting dengan buah-buahan yang perlu dimakan sebanyak tiga hingga lima hidangan sehari.


"Saya mempunyai tiga orang anak yang masih kecil. Disebabkan itu, saya menekankan pengambilan sayur dan buah-buahan. Walaupun kadangkala mereka cuba mengelak, saya akan pastikan setiap hidangan sayur dan buah akan dihabiskan," ujar Salina Haiza Ibrahim, 35, yang ditemui ketika membeli kelengkapan dapur di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, timbul keraguan dalam diri suri rumah sepenuh masa itu apabila mengetahui bahawa sesetengah hasil tanaman mengandungi kepekatan kimia yang amat tinggi.

"Saya ada terbaca dalam akhbar tentang adanya peladang yang mengambil langkah mudah dengan menggunakan racun serangga dan baja secara berlebihan," kongsi Salina.

Kebiasaannya, ladang-ladang komersial banyak menggunakan racun serangga perosak atau racun haiwan perosak dan baja kimia. Ia dipercayai dapat menghapuskan haiwan perosak dengan cepat seperti belalang, kumbang dan ulat. Di samping itu, ia dapat meningkatkan produktiviti hasil tanaman mereka berlipat kali ganda.

Antara contoh racun serangga perosak yang banyak digunakan ialah racun paraquat, organofosfat, organoklorin, glifosat dan karbamat. Ia dijual untuk kegunaan pertanian dan domestik.

Kesan racun serangga perosak dipercayai menyebabkan kerosakan pada organ dalaman. Mereka yang terdedah kepada bahan kimia ini berdepan masalah kerosakan kekal fungsi ginjal, paru-paru, kemandulan dan kematian.


LADANG TZ Agro Riyadh Enterprise merupakan antara syarikat yang mempunyai sijil MyGAP.

Situasi ini bukan sahaja memberi kesan buruk kepada kesihatan malah turut mengakibatkan pencemaran alam sekitar.

Dalam membantu pengguna, satu garis panduan perladangan telah dilakukan pada Ogos 2013 lepas.

Ia dikenali sebagai Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) yang bertujuan memastikan peladang menggunakan racun serangga perosak dan baja kimia secara terurus. Piawaian ini meliputi menghasilkan produk berkualiti, selamat dan sesuai untuk dimakan.

Logo

Peladang yang memiliki sijil MyGAP akan meletakkan pelekat atau pembungkus plastik yang mempunyai logo MyGap di atas hasil tanaman mereka.

Setiap sayur-sayuran atau buah-buahan yang mempunyai logo MyGAP dijamin ciri-ciri keselamatannya memandangkan peladang yang ingin mendapatkan pengesahan perlu melalui beberapa saringan ketat.

Ironi, tidak ramai yang mengetahui kewujudan MyGAP yang merupakan penjenamaan semula kepada Skim Amalan Ladang Baik Malaysia (SALM), Skim Amalan Ladang Ternakan (SALT) dan Skim Pensijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM).

Ketika membuat tinjauan di pasar raya besar sekitar ibu kota, kebanyakan pengguna yang ditemui kurang jelas dengan logo MyGAP yang terdapat di sayur-sayuran. Mereka hanya mengambil mana-mana sayuran yang diingini tidak kira ia mempunyai pelekat MyGAP atau tidak.

Jaminan keselamatan

"Sejujurnya, saya memang tidak tahu maksud dan kewujudan logo tersebut. Mungkin penjelasan secara terperinci perlu diberikan memandangkan ia memberi kesan kepada keselamatan dan kesihatan pengguna," ujar Salina.

Pengusaha ladang TZ Agro Riyadh Enterprise, Noor Hartini Derapi, 35, berkata, masih ramai pengguna yang tidak menyedari kepentingan sayur atau buah-buahan yang mempunyai logo MyGAP.

"Ketika berniaga di pasar tani, kami terpaksa memberi penerangan tentang kebaikan membeli sayur atau buah-buahan yang mempunyai lambang MyGAP disebabkan pengetahuan mengenai perkara itu masih belum meluas.


PRODUK yang mempunyai sijil MyGAP dijamin selamat untuk dimakan kerana ia telah mengikut piawaian yang ditetapkan. - Gambar hiasan

"Sebenarnya, mereka tidak perlu risau tentang harga kerana kebanyakan hasil tanaman dijual sama seperti produk lain," ujar Noor Hartini ketika ditemui di ladangnya yang terletak di Serdang, Selangor.

Bezanya, tambah Noor Hartini, produk di bawah MyGAP mempunyai jaminan keselamatan dari segi penggunaan racun dan baja yang terkawal.

"Selama dua tahun mendapat sijil MyGAP, ladang kami selamat daripada sebarang pencemaran. Serangan serangga perosak dapat dikurangkan melalui sistem racun dan baja yang sistematik," kata Noor Hartini yang mengusahakan ladang tersebut bersama rakannya, Zulfa Zamzam, 37.

Mengusahakan tanaman Rock Melon, Zulfa menjelaskan, sistem yang digunakan sangat terurus, mesra alam dan tidak perlu menyembur racun atau baja secara konvensional.

"Baja dibancuh dalam sebuah bekas kecil sebelum dituang ke dalam bekas besar yang akan menghantar bancuhan tersebut melalui sistem perpaipan. Ia akan disalurkan terus kepada tumbuhan-tumbuhan tersebut," ujar Zulfa.

Dalam memastikan produk tanaman di bawah MyGAP mendapat perhatian yang lebih meluas, Zulfa berpendapat, pihak berkaitan perlu menjalankan promosi dan penerangan kepada masyarakat umum.

Informasi tersebut dapat meningkatkan lagi kesedaran mengenai keselamatan dan kesihatan sumber makanan mereka.

"Selain itu, peladang-peladang juga harus diberi penerangan mengenai kebaikan MyGAP. Mungkin ia masih belum dikuatkuasakan, maka mereka terus mengambil remeh perkara itu," katanya.

Oleh HAFIZ AHMAD
Sumber: Kosmo

0 comments: