22 Oktober 2013

Malala ~ Pejuang Pendidikan Remaja Perempuan Pakistan



KANAK-KANAK kadangkala mengalami kesukaran untuk tidur sepanjang malam kerana kemungkinan diganggu lembaga menakutkan yang mereka tidak kenali.

Bagaimanapun, Malala Yousufzai, mengetahui dengan tepat bagaimana bentuk lembaga berkenaan. Pada pandangannya, lembaga itu berjanggut panjang, memakai jubah berwarna kusam dan kini menguasai tempat kelahirannya di lembah Swat, barat laut, Pakistan.

Swat terkenal sebagai lokasi pelancongan yang indah, subur dan kerap menjadi tumpuan peminat-peminat ski dari serata dunia. Bagaimanapun, pada tahun 2003 lokasi itu telah dijadikan markas operasi tentera Taliban.


Tentera Taliban percaya wanita tidak layak mendapat sebarang pendidikan apatah lagi untuk keluar rumah. Di Swat, mereka melaksanakan undang-undang tegas bagi memastikan setiap penduduk mematuhinya.

Bagaimanapun, Malala mempertahankan pendiriannya. Sokongan bapanya, Ziauddin Yousafzai, yang juga seorang guru besar di sebuah sekolah di wilayah itu menyebabkan dia langsung tidak gentar ke sekolah.

"Tentera Taliban sering menyerang sekolah-sekolah di Swat," tulisnya melalui blog Diary of a Pakistani Schoolgirl yang turut dikongsi di seluruh dunia dalam laman web agensi penyiaran dari Britain, British Broadcasting Corporation.

Menggunakan nama samaran, Malala menulis pelbagai isu mengenai penindasan tentera Taliban termasuk arahan melarang kanak-kanak perempuan ke sekolah pada Januari 2008.

Di blognya yang ditulis dalam bahasa Urdu itu, dia memuji tindakan bapanya yang menyokong dan memperjuangkan isu itu.


Malala dibawa menggunakan helikopter tentera untuk dihantar ke hospital tentera Peshawar selepas beliau ditembak Taliban.

Kepala ditembak

"Ayah beritahu seseorang telah mencetak diari di dalam blog saya dan menyatakan ia sesuatu tindakan yang berani.

"Ayah hanya tersenyum mendengarnya dan tidak bersuara biarpun mengetahui ia ditulis oleh anak perempuannya," tulis Malala.

Pada 9 Oktober 2012 lalu, Malala yang ketika itu berusia 15 tahun terpaksa membayar pada harga yang tinggi di atas perjuangannya selama ini.

Ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah, bas yang dinaikinya telah ditahan dua lelaki bersenjata. Selepas mengenal pasti identitinya, penyerang terbabit telah menembak leher dan kepalanya sebelum melarikan diri. Dua rakannya turut cedera.

"Kami tidak akan bertolak-ansur dengan mereka yang cuba menentang seperti Malala," kata seorang jurucakap Taliban sejurus selepas serangan. Jurucakap itu juga mengancam untuk memburunya sekali lagi jika remaja itu terselamat.

Malala telah diterbangkan ke hospital tentera di Penshawar dan menerima rawatan rapi di sana. Satu pembedahan berjaya mengeluarkan serpihan peluru di leher dan otaknya.

Pakar juga terpaksa membuang sebahagian kecil daripada tempurung kepalanya. Malala ditempatkan di unit rawatan rapi selama tiga hari.

Seorang doktor dari Britain yang kebetulan melawat negara itu mencadangkan Malala dibawa ke United Kingdom untuk menerima rawatan lanjut.

Sekumpulan doktor pakar melakukan beberapa pendedahan lain untuk menyelamatkan nyawanya. Lubang pada bahagian tempurung kepalanya turut ditampal dengan plat titanium.

Ekoran kecederaan parah yang dialaminya, Ziauddin menggesa ahli keluarganya bersedia untuk melakukan upacara pengkebumian.

"Kami tidak menyangka mereka sanggup menyerang Malala, ia bukan tradisi di tempat kami. Undang-undang rotan atau sebat memang sudah lama dipraktikkan, tetapi bukan membunuh kanak-kanak yang tidak berdosa.

"Saya sangat kecewa kerana ia merupakan tidakan pengecut untuk menghentikan apa yang telah diperjuangkan Malala selama ini," katanya ketika ditemuramah wartawan.

Berita serangan itu tersebar ke seluruh Pakistan dan menerima reaksi orang ramai.


ZIAUDDDIN (dua dari kanan), bapa Malala sentiasa memberi dorongan kepada anak gadisnya meskipun nyawa Malala terancam.

Masa depan

Sebuah akhbar tempatan menyiarkan gambar Malala dalam keadaan kepala berbalut sambil diusung oleh kakitangan hospital. 'Kebencian menentang harapan' kata tajuk muka depan akhbar Express Tribune.

Presiden Pakistan, Perdana Menteri dan barisan menteri dalam kalangan pelbagai parti di negara itu turut menyertai pertubuhan hak asasi, Amnesty International dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengutuk serangan itu.

"Masa depan Pakistan terletak pada gadis muda dan berani seperti Malala. Sejarah tidak akan melupakan si pengecut yang cuba membunuhnya," kata Duta Amerika Syarikat ke PBB, Susan Rice dalam mesej Twitternya.

Hari ini, Malala dan keluarganya menetap di Birmingham. Sejak bulan Mac 2013 lalu, dia telah menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Edgbaston High School.

Bagaimanapun, Malala bertekad untuk kembali semula ke negaranya selepas tamat pengajian.

"Pakistan merupakan negara tempat asal saya. Saya perlu kembali ke sana dan berjuang untuk masyarakat. Saya perlu bekerja keras untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pendidikan. Namun, apa yang penting ketika ini saya perlu melengkapkan diri dengan ilmu," katanya.

Dia tahu risiko yang bakal dihadapinya, lebih-lebih lagi tentera Taliban masih berdendam dan meletakkan namanya sebagai sasaran utama sekiranya dia kembali semula ke negara itu. Bagaimanapun, kemungkinan-kemungkinan itu langsung tidak mematahkan semangat Malala.

"Saya tahu mereka pengganas, namun saya tidak perlu takut. Saya perlu teruskan perjuangan ini dan saya percaya kematian itu pasti bagi setiap manusia, jika ia datang lebih awal sekali pun, saya reda," ujarnya.

Kelantangan dan keberaniannya menerima pengiktirafan di seluruh dunia. Malala turut diberi peluang berucap di PBB ketika ulang tahun kelahirannya yang ke-16 pada Julai 2013 lalu.

Ucapannya yang disaksikan jutaan penduduk dunia, berkisar terhadap nasib golongan wanita di negaranya sehingga kepada peristiwa serangan berdarah yang dilalui sebelum ini.

Ditanya mengenai rahsia ketenangannya ketika berucap di hadapan jutaan penduduk di pentas sebesar itu, Malala berkata, dia hanya berfikir tentang masa depan penduduk di negaranya.

Tercalon

"Apabila mula bercakap, saya lupa segala-galanya dan hanya membayangkan pelbagai penderitaan dan wajah-wajah yang menjadi mangsa kekejaman pengganas di negara saya.

"Hati saya berkata, 'Malala bercakaplah dari hatimu. Jangan bimbang, yakin dan katalah apa yang kamu rasakan wajar'," katanya.

Biarpun telah menjalani pelbagai pembedahan untuk menutupi kecacatan pada wajahnya, namun ia masih kelihatan sekiranya dilihat dari beberapa sudut. Malala juga tidak boleh menutup mata kirinya dengan baik ekoran kerosakan saraf.


KANAK-KANAK perempuan Pakistan dalam sebuah kelas pembelajaran.

"Saya bersyukur kerana masih hidup dan kesihatan juga semakin baik setiap hari. Sekarang saya boleh tersenyum, biarpun ia kelihatan senget sedikit tetapi ia tetap sebuah senyuman," ujarnya.

Senyuman itu semakin melebar selepas namanya tercalon Anugerah Hadiah Nobel tahun ini di samping 259 calon yang lain.

Terdahulu, dia telah menerima Teenager of Courage Award yang merupakan sebahagian daripada Pride of Britain Awards di ITV yang disampaikan oleh bekas ketua pasukan bola sepak England, David Beckham.

Pada 18 Oktober 2013 ini, Malala telah dijemput untuk bertemu Ratu Elizabeth di Istana Buchingham manakala buku bibiografi dirinya, I Am Malala juga telah berada di pasaran sejak minggu lalu.

"Saya tidak kisah jika orang ramai tidak menyokong saya secara peribadi, namun apa yang penting mereka menyokong perjuangan saya," katanya.

Bagaimanapun, tidak semua rakyat di negaranya menyenangi perjuangan Malala. Salah seorang daripadanya ialah Maulana Gul Naseeb, pemimpin berpengaruh dari JUI-F, salah sebuah parti politik utama di Pakistan.

"Barat mencipta Malala untuk mempromosikan budaya mereka dan memburuk-burukkan imej Islam dan Pakistan di mata dunia.

"Mereka hanya bercerita tentang kecederaan beliau, tetapi terlupa ratusan kanak-kanak Afghanistan dan Pakistan yang terbunuh akibat dibom sebelum ini," katanya.

Sumber: Kosmo

Malala Gagal Menang Anugerah Novel

Gembira Malala tak menang
Malala berbual dengan Presiden Barack Obama, di Pejabat Oval, Rumah Putih, pada 12 Oktober, 2013.

Aktivis pendidikan, Malala Yousafzai terlepas anugerah Nobel Keamanan. Anugerah Nobel tersebut telah dianugerahkan kepada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) untuk tugasnya memusnahkan senjata kimia dunia.

Gadis 16 tahun ini yang dianggap oleh Kumpulan Taliban Pakistan sebagai tidak melakukan apa-apa untuk menerima anugerah Nobel, bagaimanapun telah diberi anugerah hak asasi Sakharov dari Parlimen Eropah, Khamis 10 Oktober, 2013.

Malala sendiri memberitahu radio Pakistan bahawa dia merasakan masih tidak melakukan yang cukup untuk mendapat anugerah Nobel dan bercakap hasratnya melakukan lebih banyak kerja praktikal bagi mempromosi pendidikan.

Selain itu, Aktivis muda Pakistan itu juga bakal dianugerahkan warganegara kehormat Kanada. Kenyataan yang dibuat kerajaan Kanada pada 17 Oktober, 2013, menyatakan bahawa selain Malala beberapa tokoh juga menerima penghormatan itu seperti Nelson Mandela dari Afrika Selatan dan Aung San Suu Kyi, Myanmar.

Sumber: Bharian [13/10/2013], BHarian [18/10/2013]

Malala dapat anugerah PBB

Malala dapat anugerah PBB

Aktivis remaja Pakistan, Malala Yousafzai diberi Anugerah Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2013 pada 6 disember, 2013.

Anugerah itu sebelum ini diberi kepada ikon tertentu termasuk bekas pemimpin Afrika Selatan, Nelson Mandela, sebagai mengiktiraf pencapaian dalam isu hak asasi manusia.

Hadiah itu diberi sekali setiap lima tahun dan pernah diberi kepada pertubuhan Amnesty International dan bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter.

"Ia bertujuan mengiktiraf pencapaian penerimanya selain memberi mesej jelas kepada semua pejuang hak asasi manusia bahawa PBB berterimakasih atas usaha mereka tidak mengenal penat," kata Pejabat Hak Asasi Manusia Suruhanjaya Hak Asasi.

Sumber: BHarian [2013/12/07]

0 comments: