23 Oktober 2013

Sejarah Diajar Di Sekolah Rendah



Mata pelajaran Sejarah akan diajar kepada murid-murid tahap dua (tahun 4) sekolah rendah mulai tahun 2014.

Pengajaran mata pelajaran ini sememangnya dialu-alukan kerana sebelum ini tidak ada mata pelajaran tertentu yang ada elemen sejarah secara khusus diketengahkan untuk murid sekolah rendah dan jika adapun elemen sejarah hanya dalam mata pelajaran Kajian Tempatan.

Walau bagaimanapun unsur sejarah yang diketengahkan dalam mata pelajaran berkenaan lebih kepada sejarah sosial dan budaya masyarakat Malaysia seperti belajar hidup bersama dan bermuafakat.


Dalam era negara mencipta kemajuan khususnya dalam bidang sains dan teknologi, ramai yang khuatir dan bimbang dengan tahap patriotisme serta semangat cinta akan tanah air di kalangan generasi muda yang diharapkan dapat mendokong aspirasi negara.

Dengan cadangan mata pelajaran Sejarah diajar di sekolah rendah pada tahun 2014 ibarat 'pucuk dicita ulam mendatang'.

Para pendidik tentunya sangat bersetuju mata pelajaran Sejarah diajar di peringkat rendah dan menengah sekiranya perkara itu mampu menyelesaikan masalah sosial yang melanda masyarakat khususnya anak remaja yang merupakan pewaris dan pemimpin masa depan.

Apa yang penting, sukatan mata pelajaran Sejarah sekolah rendah yang digubal perlu bersesuaian dan berkesan, bukannya sejarah yang mengandungi fakta yang dimanipulasi oleh Barat.

Di sinilah fokus asal dan matlamat kita memperkenalkan mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah iaitu untuk memberi pemahaman dan penghayatan mendalam kepada murid supaya menghayati sejarah sejak awal usia di samping mengenali secara dekat tokoh terbilang yang berjasa kepada negara.

Pendidikan sejarah juga penting dalam usaha melahirkan warga negara yang setia dan cinta akan negara. Oleh yang demikian, murid perlu diberikan pemahaman mendalam mengenai proses perkembangan masyarakat dan negara.

Kesedaran mendalam mengenai sejarah penting kerana pada masa kini negara melalui pelbagai cabaran serta kejayaan justeru melalui mata pelajaran Sejarah kita dapat mewujudkan kebanggaan serta keperibadian bangsa Malaysia itu sendiri.

Mata pelajaran Sejarah memainkan peranan penting dalam memberikan penekanan kepada unsur kesinambungan dan perubahan yang berlaku dalam kehidupan masyarakat serta negara.

Harapan kita agar sejarah yang diajar nanti bukan sekadar untuk tujuan peperiksaan semata-mata malah lebih penting daripada itu adalah menanam rasa hormat, persefahaman dan toleransi rakyat pelbagai kaum.

Di samping itu, pengajaran sejarah diharap dapat menyedarkan mereka betapa sejarah dan asal-usul sesuatu bangsa tidak wajar diperlekehkan atau dipermudahkan demi keharmonian dan perpaduan kaum.

Mungkin juga kita mengharapkan pada peringkat sekolah rendah, mata pelajaran Sejarah tidak perlu disibukkan dengan tujuan peperiksaan yang memerlukan murid menghafal fakta dan tarikh tertentu untuk mendapat markah tinggi.

Oleh sebab mata pelajaran Sejarah baru diperkenalkan, kita mengharapkan mata pelajaran itu diajar dengan cara paling menyeronokkan dan menghiburkan.

Janganlah sampai mata pelajaran Sejarah menjadi bebanan hingga menyebabkan hilang minat dan keyakinan untuk mereka mempelajari sejarah semasa di peringkat menengah nanti.

Oleh ABDULLAH ABDUL RAHMAN
Guru Besar SK Pasoh 1 (Felda)
Simpang Pertang, Negeri Sembilan
Sumber: Utusan

0 comments: