27 November 2013

Gangguan Tidur Bayi


Pasangan bergilir urus anak kurangkan tekanan berjaga malam

Bayi mudah terjaga dan menangis pada waktu tengah malam atas pelbagai sebab, mungkin mahu susu atau lampin basah dan sebagainya.

Bagaimanapun, situasi membimbangkan apabila tangisan yang kerap boleh memberi kesan berpanjangan. Justeru, ibu menggunakan pelbagai cara membolehkan si kecil tidur nyenyak sepanjang malam.

Cara terbaik tidur terlentang atau mengiring, boleh menggalakkan bayi tidur lebih lena, sementara cara meniarap pula boleh menyebabkan bayi lemas dan sering terjaga." Sarah Ong, Pakar Perunding Tidur Bayi Bertauliah


Pakar Perunding Tidur Bayi Bertauliah, Sarah Ong, berkata lazimnya bayi baru lahir akan tidur lama iaitu kira-kira 17 hingga 18 jam sehari pada peringkat awal kelahiran, manakala ia berkurangan kepada 15 jam sehari menjelang bulan ketiga.

Katanya, kadangkala tidur tidak lebih daripada tiga hingga empat jam pada satu-satu masa, sama ada pada waktu siang atau malam.

“Mengikut keperluan fisiologi bagi bayi baru lahir hingga usia tiga bulan, mereka memerlukan susu setiap dua hingga tiga jam atau pun apabila lampin basah. Bayi pada usia antara empat hingga enam bulan pula akan mendapat tidur lebih panjang iaitu sekitar empat hingga lima jam sebelum terjaga untuk diberikan susu,” katanya.

Sarah berkata, cara terbaiknya tidur terlentang atau mengiring, boleh menggalakkan bayi tidur lebih lena, sementara cara meniarap pula boleh menyebabkan bayi lemas dan sering terjaga.

Ubah gaya hidup

Selain itu, beliau berkata, bayi menangis pada tengah malam disebabkan faktor gaya hidup ibu bapa yang tidur tidak teratur atau tidak sihat seperti membawa anak keluar hingga larut malam, melepak atau keluar ke tempat yang bersesak dengan ramai orang.

“Keadaan itu boleh menjejaskan waktu tidur anak. Ibu bapa perlu mengubah gaya hidup sihat dengan memberi keutamaan kepada anak,” katanya.

“Pelajari teknik terbaik menenangkan bayi. Sebelum melatih bayi untuk tidur sendiri, ibu hanya pandai mendodoikan anak setiap kali mahu tidur, tetapi amalan mendodoikan itu bagaimanapun akan membuatkannya terbiasa. Apabila bayi terjaga mahu didodoi,” katanya.

Sarah yang juga ibu kepada dua cahaya mata itu turut mengalami masalah sama sebaik menimang cahaya mata kedua.

Beliau yang asalnya bertugas di agensi korporat tidak dapat menikmati tidur yang cukup apabila anak keduanya sering terjaga dan menangis setiap dua jam, berbanding anak pertama yang tiada masalah tidur.

Bagi membantu menyelesaikan masalah yang bukan saja dihadapinya malah lebih ramai lagi ibu di negara ini, beliau menyertai program pengajian latihan dan pensijilan Maternity and Child Sleep Consultant di International Maternity Institute, California, Amerika Syarikat. Latihan selama lebih setahun itu mengiktirafnya sebagai perunding bertauliah masalah tidur yang pertama di Malaysia.



Sokongan suami

Sebagai langkah meringankan beban menjaga anak, bahagikan waktu tidur dengan suami.

Sarah berkata, ibu yang kurang waktu tidur dan keletihan tanpa sokongan suami dalam membahagikan masa tidur boleh menyebabkan mereka mengalami tekanan perasaan dan murung. Tidak mustahil keadaan itu boleh mengundang masalah lain seperti berlakunya kes penderaan anak, bertindak kasar, memukul dan sebagainya.

Contohnya, tahun lalu seorang ibu muda sanggup memukul anaknya akibat terlalu tertekan kerana mengalami masalah dengan pihak lain, yang mungkin disebabkan suami. Wanita itu ditahan selepas rakaman video yang dipaparkan di laman Youtube itu tersebar.

“Bahagikan masa antara kedua suami isteri amat penting kerana wanita dibebani dengan pelbagai masalah selain perlu bekerja. Oleh itu, suami perlu membantu isteri secara bergilir-gilir menjaga anak supaya isteri dapat menikmati waktu rehat yang cukup tanpa tekanan,” katanya.



INFO: Waktu tidur bayi yang disarankan

* Bayi baru lahir hingga usia tiga bulan tidur selama 18 jam sehari : lapan atau 10 jam pada malam dan lapan jam pada waktu siang

* Bayi usia empat hingga enam bulan akan tidur selama 16 jam sehari : 12 jam tidur pada waktu malam dan empat jam lagi pada waktu siang

* Bayi usia enam hingga lapan bulan akan tidur selama 14 jam : 11 jam pada waktu malam sementara tiga hingga empat jam pada waktu siang.

* Bayi usia lapan bulan hingga setahun akan tidur selama 13 jam : 11 hingga 12 jam pada waktu malam sementara dua jam pada waktu siang.

* Bayi pada usia 12 bulan hingga 18 bulan akan tidur antara 11 hingga 12 jam waktu malam sementara kira-kira hanya dua jam pada waktu siang

Panduan membentuk tabiat tidur yang baik:

Aktiviti pada siang hari
Lakukan aktiviti bersama-sama bayi pada waktu siang. Ajak mereka berbual-bual menyanyi atau bermain. Biasakan bayi suasana bising kerana stimulasi sebegini pada waktu siang hari membantu tidur yang lebih baik pada waktu malam.

Pantau tidur siang si kecil
Tidur sekejap pada waktu siang amat penting tetapi jika tidur terlalu lama pada waktu siang akan mengganggu pola tidur anak pada waktu malam.

Ikut rutin waktu tidur yang konsisten
Sebelum tidur, mandikan si kecil. Lakukan urutan ringkas sambil membelai badannya. Ketika di bilik tidur menyanyi dan bacakan buku lama kelamaan si kecil akan mengaitkan semua aktiviti ini dengan tidur.

Tidurkan bayi ketika mengantuk
Walaupun bayi belum tidur, tetapi sudah mula mengantuk, bawa anak terus masuk ke bilik tidur. Ini boleh membantu anak mengaitkan rasa mengantuk dengan tidur. Bagaimanapun, pastikan tempat tidur yang kemas.

Beri masa untuk bertenang
Bayi kerap menggeliat dalam tidur mereka. Kadangkala ini disebabkan oleh faktor bising. Tunggu beberapa saat sebelum bertindak balas kerana kadangkala si kecil akan senyap dengan sendirinya.

Posisi tidur yang betul
Si kecil mungkin menangis sebelum bertemu posisi tidur yang selesa. Cara terbaik ialah dengan mengiring ataupun terlentang.

Cakap dengan lembut dan tenang
Jika mendapati si kecil lapar atau terganggu dengan mimpi menyebabkan tangisannya tidak berhenti. Oleh itu, bercakaplah dengan dengan tenang, belai dan tepuk perlahan belakangnya. Dengan cara begitu, si kecil tahu ibu berada di sisinya dan membantu unuk tidur.

Pastikan malamnya sentiasa gelap
Jika bayi perlu minum susu pada waktu malam, guna lampu yang suram cahayanya. Perlahankan suara dan memberitahu bayi, masa itu adalah untuk tidur.

Elakkan menonton televisyen
Galakkan anak tidur di ruang tamu sambil menonton televisyen. Pastikan ibu bapa menetapkan rutin menonton sebelum waktu tidur dan tidak menonton lagi. Ini bagi memastikan mereka memahami rutin tidur harian mereka.

Oleh Hidayah Mohammad
Sumber: BHarian [2013/11/20]

0 comments: