06 November 2013
Herba Dan Sayuran Tingkat Imuniti Badan
SEJAK zaman dahulu penggunaan herba diterapkan dalam pemakanan dan perubatan.
Sejak 6,000 tahun lepas manusia menggunakan tumbuhan herba, daun hijau, buah-buahan mentah, akar dan kulit kayu untuk hidup sihat dan mengubati penyakit.
Nenek-moyang kita menjadikan amalan 'makanan sebagai ubat dan ubat sebagai makanan' dalam kehidupan seharian.
Seorang tabib perubatan India 'Siddha' tempatan, Dr M.S. Chelliah berkata, pada zaman awal manusia menggunakan herba seperti halia, kunyit dan lada yang mempunyai nilai perubatan dalam penyediaan makanan mereka.
"Contohnya, kunyit boleh mencairkan kahak, lada melegakan sakit kerongkong, jintan putih mengurangkan kepanasan perut. Sayuran daun hijau dapat mengurangkan pitam dan panas badan," katanya.
Dr Chelliah berkata gaya pemakanan serta penyediaan makanan menggunakan herba, buah-buahan, sayur-sayuran tempatan dan ulam-ulaman boleh meningkatkan ketahanan tubuh badan manusia.
"Perlu diingatkan bahawa bahan makanan semulajadi yang dijadikan ubat secara tradisional selamat digunakan dan lebih berkualiti. Walaupun ubat tradisional daripada tumbuhan herba ini agak lambat menampakkan kesan namun ia memberi kesan positif untuk jangka panjang berbanding ubat daripada farmasi yang tidak menjamin kesihatan berterusan.
UBAT MODEN SAKIT BERULANG
"Ubat-ubatan moden ini kalau makan cepat hilang sakit tetapi akan datang balik. Makan ubat tradisional ini sakit tidak akan datang balik," kata Dr Chelliah ketika melancarkan buku perubatan herba dalam bahasa Tamil tidak lama dulu.
Namun kini tahap kesedaran masyarakat terhadap kebaikan amalan pemakanan berasaskan bahan semulajadi itu masih rendah berikutan kurang pendedahan berhubung perubatan herba berbanding perubatan moden.
Dr Chelliah berkata perubatan tradisional berasaskan herba kurang mendapat sambutan di negara ini memandangkan kurang pengetahuan mengenai faedah tumbuhan herba terhadap kesihatan manusia.
"Apabila ada ubat-ubatan moden sekarang orang ramai sudah tidak ingat dan tidak mahu mengamalkan makan ubat-ubatan tradisional ini," katanya.
Masyarakat perlu sedar bahawa bahan semulajadi itu berfaedah untuk penyembuhan penyakit dan mampu menjamin kelangsungan kesihatan yang baik terhadap sistem tubuh badan manusia.
BANYAK KEBAIKAN YANG TIDAK DIKETAHUI
Dr Chelliah yang berpengalaman selama 15 tahun dalam perubatan Siddha memberi contoh dalam melegakan demam, tumbuhan herba 'tumbei' yang direbus dapat mengurangkan panas dalam badan.
Pengamal perubatan tradisional perlu memberi penerangan terperinci berhubung manfaat daripada pemakanan sayuran hijau dan tumbuhan herba kepada masyarakat supaya dapat menimbulkan kesedaran mereka terhadap peri pentingnya bahan makanan itu terhadap tubuh badan manusia.
"Misalnya makan pisang, apakah manfaat daripada makan pisang, dapat bagi tenaga atau pun tidak ada vitamin?," katanya.
Dr Chelliah menasihatkan masyarakat supaya menjaga dan mengawal pemakanan serta tidak mengikut nafsu dengan makan berlebihan sehingga menjejaskan kesihatan.
"Kurangkan pengambilan gula, garam, makanan pedas dan makanan yang ada karbohidrat tinggi. Sekarang saya lihat orang makan 24 jam, macam mana tubuh badan hendak sihat kalau perut tidak ada rehat langsung," tanya beliau.
HERBA MALAYSIA KURANG BERKESAN?
Ditanya mengenai herba tempatan, beliau berkata herba di negara ini kurang berkesan jika dibandingkan dengan herba dari India dan Indonesia.
"Tumbuhan herba di Malaysia ada banyak macam jenis, tetapi kurang baik disebabkan terdapat kandungan air yang lebih berikutan tanah yang tidak elok. Kalau berlebihan air macam mana ia boleh memberi kesan mujarab untuk tubuh badan manusia apabila dimakan?," katanya.
Oleh itu, Dr Chelliah meminta kerajaan supaya melaksanakan inisiatif memperbanyakan tanaman organik di lokasi strategik supaya sumber herba di negara ini dapat dipelihara sekaligus membangunkan industri herba tempatan.
"Sekarang saya lihat kerajaan memang sudah banyak memberi perhatian terhadap perkembangan industri herba di negara ini dengan pelbagai insentif. Tetapi kalau boleh kerajaan perlu adakan satu tempat sesuai untuk tanaman herba organik yang boleh membawa manfaat bagi kesihatan rakyat," katanya.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenalpasti industri herba sebagai sumber pertumbuhan ekonomi negara.
Inisiatif itu adalah satu daripada projek permulaan (EPP) di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Pertanian dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).
Oleh Nurrul Huda Ahmad Lufti
Labels:
Kesihatan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan