08 November 2013

Mengenang Kehidupan Masa Silam


SETIAP mukmin harus bersyukur dan terus mendekati Yang Maha Esa di atas segala rahmat yang diberi-Nya.

SELAMAT Tahun Baru Hijrah. Kita meninggalkan tahun 1434 hijrah dan menyambut kedatangan tahun baru hijrah 1435. Secara amnya, ia hanya perubahan nombor yang tidak membawa makna besar.

Masa datang dan pergi tetapi apa yang pasti, masa tidak akan kembali. Setiap saat yang ditinggalkan semakin jauh meninggalkan kita. Hari esok juga masih misteri pada setiap manusia.

Kematian juga tidak mengira waktu. Sesaat yang baru berlalu masih segar dalam ingatan tetapi sesaat kemudian, mungkin nama kita bakal tersimpan dalam kenangan.


Begitulah roda kehidupan yang sentiasa bergerak selari dengan perubahan masa. Semalam pasti tidak sama dengan hari ini. Misalnya, semalam anak perempuan saya belum mencapai akil baligh tetapi hari ini dia sudah menjadi anak yang perlu menanggung sendiri dosa dan pahala.

MasyaAllah, Subhanallah, Allahuakbar. Bayangkan jika semalam anak itu tidak menutup auratnya dengan sempurna kerana belum akil baligh, secara tiba-tiba dia perlu bertanggungjawab melaksanakan perintah wajib tersebut pada hari ini. Mampukah beliau?

Bagaimana pula dengan anak-anak yang tidak diberatkan solat lima waktu sehari semalam, juga kerana belum mengecap akil baligh dengan tiba-tiba perlu melaksanakan amalan wajib yang menjadi teras utama agama Islam. Mampukah beliau?

Lantas, mampukah seorang bapa mengajak anak lelaki yang baru menginjak dewasa bersama-sama menunaikan solat subuh di masjid? Pasti anjakan rutin itu menjadi sukar.

Ia akan bertambah sukar jika bapanya juga tidak diajar semasa waktu kecilnya dan sehingga menyambut tahun baru hijrah 1435, dia masih belum mengenal tangga masjid untuk solat berjemaah.

Siapakah yang perlu dipersalahkan? Mampukah kita sebagai ibu bapa yang diamanahkan Allah SWT membentuk anak daripada sehelai kain putih kepada pelbagai warna yang berbeza-beza mencapai damai di hati?

MasyaAllah, saya terkenang bagaimana baginda Rasulullah SAW berpesan melalui hadis yang direkodkan oleh Imam Abu Daud yang bermaksud: "Ajarlah anak-anakmu solat ketika umur mereka tujuh tahun dan rotan mereka (sekiranya enggan solat) pada umur sepuluh tahun."

Hakikatnya, menyambut tahun baru hijrah sepatutnya membawa perubahan signifikan bagi membentuk hati yang damai. Ia satu perasaan yang boleh memandu kita ke syurga Firdaus. Ia benar-benar hijrah yang perlu dikejar.

Maknanya, bagi mereka yang mahu berfikir, kedatangan tahun baru boleh dilihat daripada pandangan sisi. Masa berbaki bagi menyambut kedatangan saat-saat kematian berkurang lagi setahun menandakan kehidupan kita semakin suntuk.

Adalah sangat relevan bagi setiap orang memikirkan masa lampau yang telah dilalui untuk memulakan hijrah (perubahan) sempena kedatangan tahun baru.

Misalnya, setiap kali berseorangan terutamanya ketika satu pertiga malam masih bersisa dan mengenang kisah semalam, anda tentunya tidak dapat mendustakan nikmat masa yang telah dikurniakan Allah.


MENYAMBUT tahun baru sepatutnya membawa perubahan signifikan pada diri individu kerana kita tidak tahu bila ajal akan mengundang.

Dia masih memberi ruang masa untuk kita berfikir dan merenung masa yang akan hadir. Banyak pertanyaan, jika ditanya, tidak mampu dijawab dengan lega dan memberikan rasa damai di hati.

Barangkali ramai yang berpura-pura tidak mahu berfikir dan membiarkan hari-hari berlalu seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Misalnya jika ada yang bertanya: "Adakah tuan berkesempatan solat lima waktu di masjid? Adakah tuan membaca al-Quran dan memahami bacaan tersebut? Berapa banyakkah tuan memberi pinjaman (sedekah) kepada Allah SWT? Adakah tuan bangun malam bertahajud dan bermunajat? Adakah tuan berpuasa sunat? Sudah hilangkah rasa cemburu di hati melihat rakan sejawat dinaikkan pangkat?"

Jika ditakdirkan anda dijemput pulang pada atau sebelum tahun 2015, maka jawapan kepada kesemua soalan di atas adalah seperti berikut: "Tidak, saya tidak terfikir pun untuk solat berjemaah di masjid. Tidak, saya tidak mengenal huruf, tidak tahu membaca al-Quran dan saya tidak terfikir untuk membaca terjemahannya. Tidak, pendapatan saya tidak mencukupi dan pinjaman kad kredit tidak pernah sifar. Pinjaman Bank Rakyat dan koperasi kakitangan masih berbaki, maka tidak perlulah saya bersedekah (memberi pinjaman kepada Allah SWT).

"Saya tidak tahu pun wujudnya puasa dan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis sangat mencabar. Tidak, saya tidak mampu bangun malam kerana saya berjawatan tinggi dan perlukan tidur yang mencukupi untuk bekerja di siang hari. Saya juga tidak mahu jawatan tertinggi yang mampu dicapai dipegang rakan sejawat yang juga lawan kepada saya. Saya mahu menjadi yang terbaik."

Kehidupan dunia sentiasa mempesona dan melalaikan. Malah ia seringkali menjarakkan kita dengan Allah SWT. Kita sering terlupa bahawa pada suatu ketika, ia akan ditinggalkan dan kita akan berdepan kehidupan yang kekal abadi.

Masa berlalu pantas. Allah SWT telah berpesan kepada hamba-Nya melalui ayat 114, surah al-Mu'minun yang bermaksud: "Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia)."

Kami mohon keampunan-Mu ya Allah.

Sumber: Kosmo

0 comments: