13 November 2013

Inovasi Pasar Negara Maju Di Jepun

Teladan inovasi pasar negara maju
INOVASI... Beginilah bilik sistem bidaan harga bunga secara elektronik di pasar bunga Ota Market.

INOVASI Jepun dalam bidang pertanian tidak boleh disangkal, sama ada dari peringkat penanaman hingga ke peringkat pengumpulan dan jualan produk di pasar.

Mengambil contoh sistem pasar Jepun. Sistem pasar di negara kita mungkin boleh mencontohinya untuk penambahbaikan pada masa depan.

Bagi melihat perbezaan itu mungkin kita boleh tinjau Ota Market, pasar borong buah-buahan, bunga, dan ikan terbesar di Tokyo. Dengan keluasan 386,426 meter persegi, Ota Market mempunyai infrastruktur canggih setepat fungsinya sebagai pusat pengumpulan produk pertanian dari dalam dan luar negara.


Mungkin sahaja tidak banyak perbezaan dengan pasar kita, tetapi berkenaan Ota Market, mengikut peraturan asas, harga barang jualan ditentukan secara lelong yang bermakna harga tawaran tertinggi akan menjadi harga barang pada hari tersebut.

Manakala dari segi pengagihan, barangan dikumpulkan secara pek di dalam kotak, dibahagikan kepada kuantiti dan saiz lebih kecil untuk dijual kepada pembeli.

Teladan inovasi pasar negara maju
Selain luas, Ota Market mempunyai kemudahan canggih.

Teladan inovasi pasar negara maju
Sesi melelong barang pertanian dilakukan seawal 6.50 pagi dan tamat sekitar jam 8 pagi.

Teladan inovasi pasar negara maju
Begini suasana pasar di negara kita berbza sekali dengan Ota Market, Jepun.

Barangan yang dipek di dalam kotak itu membuatkan keadaan pasar tersusun kemas, sistematik dan bersih sehingga setitis air tidak kelihatan meleleh di lantai pasar.

Masa lawatan jam 7 pagi dan kami terlebih dulu ke bahagian buah-buahan. Maka kami sempat melihat cara warga pasar bekerja dengan pantas dan begitu fokus.

Jurucakap dari Tokyo Seika berkata, ini kerana proses lelong biasanya bermula dari 6.50 pagi hingga 8 pagi sahaja. Justeru mereka kena pantas!

Menunjukkan betapa fokus mereka bekerja, wakil media tidak boleh menggunakan ‘flash’ ketika ambil gambar kerana bimbang mengganggu mereka ketika sesi lelong.

“Dari segi bayaran, pembayaran dibuat dengan cepat mengikut satu peraturan tetap. Oleh itu, semua pihak tidak boleh lengah-lengah ketika bekerja di pasar ini,” menurut jurucakap itu.

Kemudian kami turut melawat bahagian bunga. Terpegun melihat sistem penjualan yang digunakan ialah sistem bida harga elektronik. Bayangkan sebuah pasar bunga memiliki ratusan buah komputer di dalam sebuah bilik khas persis sebuah pejabat saham.

Sangat beruntung kerana waktu kunjungan tersebut, proses membida harga bunga sedang dilakukan. Cukup menarik dan hebat melihat keupayaan Jepun mengembangkan sektor pertanian bunga di negara mereka hingga ke peringkat sedemikian.

Pengurus Bahagian Jualan, Satoko Matsui berkata, sejak 20 tahun lalu, perniagaan bunga di Jepun melalui transformasi pasaran dan sistem yang ada kini sememangnya hasil galakan kerajaan terhadap inovasi pertanian Jepun.

“Pembeli melakukan bidaan di sini (pasar) atau boleh juga mendapatkan maklumat melalui internet,” katanya.

Oleh ANITA ABU HASAN
(Penulis adalah antara 16 wakil media serata Asia yang mengikuti program misi pengajian media mengenai inovasi pertanian Jepun September 2013 lalu.)
Sumber: Sinar Harian [4 November 2013]

0 comments: