22 Disember 2013

Bahaya Garam Natrium Tersembunyi



SAMA ada anda sedar atau tidak, kebanyakan makanan yang diambil secara harian mengandungi unsur natrium. Garam atau nama saintifiknya natrium klorida adalah antara sebatian utama yang digunakan dalam masakan. Namun masih ada beberapa jenis natrium dalam makanan yang tidak diketahui umum.

Sekeping roti kosong misalnya, dianggarkan mengandungi 100 hingga 172 miligram (mg) natrium. Jumlah keseluruhan natrium yang boleh diambil individu dalam masa sehari pula adalah sebanyak 2,400mg. Cuba kita lakukan anggaran kasar, sarapan pagi bersama dua keping roti hampir mencecah 300mg, jika ia disapu marjerin dengan amaun satu sudu teh, jumlah natrium yang diambil boleh mencecah 350mg.


Tambahan makanan seperti telur goreng, tuna dalam tin dan salad kemudiannya menjadikan jumlah natrium mencapai 750mg. Jika sarapan sahaja menghampiri 1,000mg, bayangkan amaun natrium secara jelas dan tersembunyi yang diambil ketika makan tengah hari, minum petang dan makan malam. Tidak mustahil, seseorang itu mengambil jumlah natrium melebihi daripada yang digalakkan.

Akibat pengambilan natrium berlebihan, individu berkemungkinan berdepan masalah kesihatan seperti hipertensi.

Garam, natrium bikarbonat dalam air bergas, kek dan kuih serta monosodium glutamat (MSG) ialah kumpulan sebatian biasa yang mengandungi natrium. Ramai yang keliru apabila mendapat tahu mereka menghidap hipertensi sedangkan penggunaan garam dalam masakannya amat dijaga. Bagaimanapun kekerapan mengambil makanan segera, sos cili, tiram, soya seperti kicap turut menyumbang kepada masalah tersebut.

Ubah deria

"Tidak semua orang mendapat efek yang sama meskipun mereka mengambil natrium melebihi jumlah sepatutnya. Faktor keturunan dan sejarah ahli keluarga dan hipertensi juga perlu diambil kira.

"Pengambilan natrium berlebihan mampu mendorong kepada hipertensi dan jika tidak dikawal, ia akan membentuk penyakit lain seperti diabetes dan masalah buah pinggang," dedah Datin Dr. Chia Yook Chin, Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia.


RAMAI tidak sedar bahawa natrium tersembunyi yang terdapat dalam makanan adakalanya jumlahnya jauh lebih tinggi.

Berdasarkan Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2006, sebanyak 32.6 peratus pesakit hipertensi berumur 18 tahun ke atas dan 42.6 peratus dalam kalangan individu yang berumur 40 tahun ke atas. Lima tahun kemudian iaitu pada tahun 2011, ia meningkat kepada 33 peratus dan 45 peratus, masing-masing untuk kelompok usia 18 dan 40 tahun ke atas.

Pola peningkatan itu menjurus kepada andaian jumlah pesakit hipertensi menjelang tahun 2025. Yook Chin menjangka sebanyak 50 peratus dalam kalangan individu 40 tahun ke atas akan menghidap hipertensi.

"Ia hanya anggaran dan kita boleh mengubahnya dengan memotong amaun pengambilan natrium secara berperingkat-peringkat. Mereka yang biasa dengan makanan masin perlu mengurangkan pengambilan tersebut.

"Jangan fikir bahawa makanan tanpa garam tidak sedap, cuba amalkan lama-kelamaan kita akan biasa. Deria rasa kita sangat bagus terhadap respons perubahan," kata Yook Chin.

Menurut beliau, sama seperti minuman bergula, jika kita boleh mengubah kebiasaan minum air manis kepada air kosong, begitu juga dengan garam.

Beliau memberitahu masyarakat kerap menyalahkan gula sebagai punca utama masalah kesihatan tetapi sering terlepas pandang efek natrium tersembunyi.

Menurut beliau, mendedahkan anak-anak kecil terhadap makanan kurang natrium adalah salah satu langkah jangka panjang yang baik bagi menangani peningkatan kes hipertensi. Pada masa yang sama, orang dewasa juga perlu memainkan peranan dengan mengurangkan separuh pengambilan garam secara harian.

Awet makanan

Selain menjadi penyedap rasa, garam atau natrium juga berfungsi sebagai pengawet makanan. Pada zaman dahulu, sebelum peti sejuk dicipta, manusia menggunakan garam untuk mengawet makanan supaya ia tahan lama.

Teknik itu diteruskan sehingga kini terutamanya dalam industri pemprosesan makanan dalam tin. Ikan tuna dalam tin berair atau berminyak contohnya mengandungi 320mg natrium yang bertindak sebagai pengawet.

Negara besar seperti United Kingdom wajar dijadikan panduan. Industri makanan mereka kini giat memperkenalkan makanan rendah natrium. Banyak syarikat pengeluar di negara itu menghasilkan produk makanan sebegitu secara sukarela.

Pilihan tersebut memudahkan pengguna mereka apabila produk-produk yang rendah kandungan garam, gula dan lemaknya dilabel mengikut warna merah, jingga dan hijau.


SAMBAL dan pelbagai jenis sos mengandungi natrium tersembunyi yang tidak diberi perhatian orang ramai.

Begitu juga di Singapura, terdapat restoran yang meletakkan logo kurang garam di pintu masuk restoran. Malaysia turut tidak terkecuali apabila beberapa buah restoran memilih untuk memaparkan tanda tanpa MSG sebagai tanda sokongan ke arah hidup yang lebih sihat.

"Mungkin syarikat penerbangan pun boleh memperkenalkan makanan rendah natrium di samping pilihan menu sayur-sayuran," saran Yook Chin.

Nutrien baik

Merujuk kepada penyelidikan Dr. Joseph M. Mercola, pakar perubatan osteopati menerusi laman web Mercola.com pada tahun 2011, garam juga memiliki kepentingan tersendiri kepada sistem tubuh badan manusia.

Setiap individu bergantung kepada garam kerana ia menjadi komponen utama bagi plasma darah, bendalir limfa, ekstrasel dan amniotik. Ia berfungsi membawa nutrien keluar masuk dari sel-sel dalam badan.

Garam juga mengawal dan mengekalkan tekanan darah, meningkatkan sel-sel glia dalam otak yang berperanan mencetuskan pemikiran kreatif dan perancangan masa panjang. Ia turut membantu otak berkomunikasi dengan otot-otot agar manusia boleh bergerak mengikut kawalan melalui pertukaran ion natrium dan kalium.

Ketua Pakar Pemakanan, Pusat Perubatan Gleneagles Kuala Lumpur, Lim Ai Leng menjelaskan, agak sukar bagi menentukan amaun natrium yang diambil dalam sehari. Bagaimanapun tubuh manusia memerlukan kira-kira 500mg natrium setiap hari dan ia tidak sepatutnya melebihi 2,400mg atau bersamaan satu sudu teh.

"Kalau badan tidak cukup natrium pun boleh menjejaskan kelancaran sistem badan seperti perkumuhan. Kita boleh mengalami kekejangan.

"Garam laut atau bukit mengandungi natrium. Pastikan anda ambil makanan bernatrium sekadar cukup kerana garam mampu meningkatkan tekanan darah.

"Sebab itu jika ia diambil berlebihan untuk jangka masa panjang, seseorang boleh menghidap hipertensi. Tapi jangan ingat makanan yang tidak masin itu bebas garam kerana ia mengandungi sejumlah natrium tersembunyi" jelas Ai Leng.

SETIAP individu tidak digalakkan mengambil natrium melebihi 2,400 miligram sehari.

Sebagai alternatif kepada pesakit hipertensi yang perlu mengurangkan pengambilan natrium, Ai Leng berkongsi beberapa panduan pemakanan yang berguna.

Pengambilan buah-buahan dan sayuran segar perlu disediakan tanpa tambahan lemak, sos atau garam. Makanan kaya natrium seperti sambal belacan, makanan dalam tin, pelbagai jenis sos, daging yang diproses dan MSG mesti dikurangkan semaksimum mungkin.

Chef Eksekutif Gleneagles, Rezuan Sulaiman pula menambah, penggunaan santan dalam masakan boleh digantikan kepada susu rendah lemak atau yogurt natural seperti kebanyakan juadah India dan Arab.

Cili kering dan sos tomato yang tinggi natrium seelok-eloknya ditukar kepada cili dan tomato segar. Buah tomato yang dikisar pula berupaya mengurangkan kadar kemasinan dalam makanan.

Sumber: Kosmo

0 comments: