08 Disember 2013

Kemalangan Tiga Lamborghini Bernilai RM7.2 Juta


PIHAK berkuasa polis dan bomba menyiasat sisa-sisa kemalangan yang melibatkan tiga buah kereta Lamborghini milik orang Singapura yang terbakar dekat Seremban.

Tiga buah kereta mewah Lamborghini model Aventador dan Gallardo yang nilainya mencecah RM7.2 juta terbakar dan dinaiki warga Singapura dalam kemalangan di Kilometer 260 arah utara berdekatan susur masuk ke Port Dickson, Seremban, pada 6 Disember, 2013.

Kemalangan berlaku pada pukul 10 pagi, apabila salah sebuah kereta itu terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya, sebelum dua buah kereta yang mengekori dari belakang merempuh kenderaan itu lalu mengakibatkan ketiga-tiganya terbakar.

Lima buah kereta mewah milik warga Singapura itu berkonvoi dari republik itu ke Kuala Lumpur. Sebuah Lamborgh ini model Gallardo bernilai RM1.2 juta manakala model Aventador pula berharga RM4.8 juta.


Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah berkata, lima buah kereta mewah berkenaan dikatakan sedang berkonvoi menuju ke Kuala Lumpur sebelum tiga daripadanya terlibat dalam kemalangan itu.

"Berdasarkan siasatan awal, salah sebuah kereta itu hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi lebuh raya. Dua kenderaan jenis sama yang mengekorinya turut melanggar kereta itu dari belakang.

"Sejurus selepas itu berlaku kebakaran pada salah sebuah kenderaan sebelum merebak kepada dua kereta yang terlibat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Abd. Halil, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu berikutan kesemua pemandu dan penumpang kenderaan mewah tersebut sempat keluar menyelamatkan diri.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, dua buah jentera bersama 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 serta Senawang dikejarkan ke lokasi kejadian, sebaik-baik sahaja menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai.

Menurutnya, sebaik-baik sahaja pasukan itu tiba di lokasi kejadian, ketiga-tiga kereta berkenaan telah terbakar, dua daripadanya hangus.

"Pihak bomba hanya membantu memadamkan kebakaran tersebut," katanya, sambil menambah kata, punca kebakaran masih disiasat.

Kemalangan itu turut mengakibatkan kesesakan yang teruk di lebuh raya itu menghala ke Seremban sepanjang 12 kilometer apabila laluan kanan terpaksa ditutup.

Sumber: UtusanKosmo

0 comments: