07 Disember 2013

Putrajaya Bandar Dalam Taman Yang Sempurna



Setiap kali seseorang mengunjungi Putrajaya pasti akan menyedari bahawa bandar nadi pentadbiran negara itu kian pesat dibangunkan dalam suasana 'Bandar Dalam Taman' yang penuh dengan kehijauan.

Meskipun pada awal pembukaannya lebih 10 tahun lepas bandar itu agak tandus, ia kini jelas menonjolkan bandar hijau dengan ekosistem penempatan manusia dan ekologi yang seimbang.

Secara tidak langsung Putrajaya adalah contoh baik kejayaan usaha transformasi kawasan hijau dan taman awam negara, menjadikan aspek pentadbiran dan pengurusan kawasan hijaunya wajar dicontohi oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain.


Ini juga bermakna Perbadanan Putrajaya (PPj) sebagai PBT, yang menguruskan bandar itu, sebenarnya menanggung tugas yang dikira berat dalam memastikan setiap komponen landskap hijau bandar itu diberi keutamaan dalam setiap sudut pembangunan Putrajaya demi mengimbangi kualiti, gaya hidup dan kesejahteraan rakyat.

Demi mencapai objektif itu, Putrajaya menyediakan pelbagai program bulanan seperti Program Alami Satu Putrajaya (ALIP), Program Kayuhan Ceria dan Program Jalan Kaki Langkah Ceria sebagai usaha menggalakkan riadah dalam kalangan penduduk sekaligus menghidupkan Putrajaya.

Menurut Presiden PPj, Tan Sri Dr Aseh Che Mat, mereka turut mengusahakan Program Penghijauan iaitu menanam lebih banyak pokok dan menyokong program kesedaran awam mengenai peranan dan kepentingan kawasan hijau di samping Program Pembungaan dengan menanam lebih banyak bunga pelbagai warna bagi meningkatkan keceriaan.

INOVASI TERKINI

Apapun, PPj melakukan usaha inovasi terkini yang amat menarik iaitu menggunakan modal insan bermaklumat tinggi dalam bidang sains dan teknologi alam semulajadi dalam perancangan pengurusan kawasan hijau Putrajaya.

Pihak berkuasa itu juga membangunkan Sistem Inventori dan Pengurusan Pokok (SIPP) bersama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi mengurus aset hidup tumbuhan Putrajaya.

"Sistem itu siap Ogos lepas dan diharap dapat dimanfaat sepenuhnya serta dikongsi dengan pihak lain yang terlibat dalam pengurusan kawasan hijau di Malaysia," jelas beliau dan menambah kata bahawa FRIM akan berfungsi sebagai pelaksana SIPP.

Projek perintis itu dijangka membantu meningkatkan kualiti landskap dan pendidikan alam sekitar di Putrajaya menerusi kerjasama yang meliputi aspek botani, biodiversiti, pengurusan hutan bandar mapan, penyelenggaraan landskap dan pelbagai aspek lain berkaitan alam semulajadi.

Ia juga bagi mewujudkan kerjasama ke arah mengukuh, mempromosi dan melaksanakan pelbagai penyelidikan, pendidikan dan pengetahuan atau 'pemindahan pengetahuan' sekaligus mewujudkan modal insan bermaklumat tinggi.

KESELAMATAN KANAK-KANAK

PPj turut mengenalpasti keperluan keselamatan Taman Permainan Kanak-kanak (TPK) sebagai satu daripada usaha melestarikan kawasan hijau bagi memastikan persekitaran selamat bagi golongan itu.

Lantas, PPj memperkenalkan persijilan Certified Playground Safety Inspector (CPSI) dan Playground Maintenance Technician (PMT) yang ditauliahkan oleh satu badan antarabangsa, International Playground Safety Institute (IPSI).

"Setakat ini, program itu berjaya melahirkan lapan orang CPSI perintis," kata Dr Aseh yang yakin dasar terbaru Kementerian Wilayah Persekutuan itu mampu memastikan taman-taman permainan berkualiti tinggi dan selamat.

Beliau juga difahamkan bahawa kementerian akan menggubal dasar yang akan memastikan penanaman pokok-pokok ini tidak memudaratkan keselamatan orang awam di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Selaras dengan usaha mengubah imej negara daripada budaya selenggaraan dunia ketiga menjadi budaya selenggaraan negara maju pula, PPj telah melakukan pelbagai penambahbaikan pelaksanaan cara kerja dan peralatan kerja kawasan hijau.

"Ini termasuk melatih dan menggunakan tenaga tukang kebun separa mahir dan mahir dalam menjana landskap dan taman berkualiti tinggi, berbanding penggunaan buruh kasar kurang terlatih seperti sebelum ini," jelas Dr Aseh.

Daripada segi peralatan, PPj akan berusaha melakukan pembaharuan dengan berubah ke arah penggunaan aplikasi sains dan teknologi dalam melaksanakan rutin kerja seharian.


Taman Botani Putrajaya

TAMAN UNTUK PELANCONGAN

Putrajaya sebenarnya mempunyai pelbagai kawasan taman yang cantik dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Namun Dr Aseh mengakui penggunaan taman-taman awam itu oleh orang ramai terutama penduduk Putrajaya sendiri masih di tahap rendah.

Justeru, beliau berharap agar kemudahan taman awam digunakan sepenuhnya oleh orang awam untuk melakukan pelbagai aktiviti luar bersama keluarga dan rakan taulan, sekaligus merapatkan hubungan dan mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Nadi pentadbiran negara itu mempunyai sekurang-kurangnya sembilan taman, tidak termasuk tasik dan Wetlands yang diwujudkan bagi tujuan dan fungsi yang tersendiri.

Ini termasuk Taman Botani yang berfungsi sebagai satu sanktuari kebangsaan untuk menyimpan koleksi hidup tumbuhan dan untuk kajian, Taman Putra Perdana yang menjadi lokasi terbaik untuk menikmati panorama Putrajaya dari paras tinggi dan Taman Wawasan yang merangkumi taman burung dan taman tema.

PPj turut menyelenggara Taman Rimba Alam yang berkonsepkan hutan bandar iaitu kombinasi ekosistem hutan tropika dan taman rekreasi metropolitan, manakala Taman Warisan Pertanian adalah kebun pelbagai tanaman komersial penting negara bahkan menyediakan peluang untuk sesiapa sahaja yang ingin cuba menoreh getah.

Selain Taman Wetlands yang berkonsepkan pendidikan dan kesedaran awam mengenai kepentingan ekosistem tanah itu, Putrajaya turut mempunyai Taman Ekuestrian yang menyediakan sekolah menunggang kuda dan lokasi untuk majlis persendirian.

Paling unik, Putrajaya turut menyediakan Taman Selatan yang menjadi tempat pengurusan kematian dan gabungan kawasan perkuburan bagi semua agama dan kepercayaan utama Malaysia.

Oleh Wan Shahara Ahmad Ghazali
Sumber: BERNAMA

0 comments: