Nuff Atas

04 Disember 2013

Zahariz Berbasikal Merentasi Sempadan Sebagai Nomad


ZAHARIZ berjaya mengharumkan nama Malaysia dengan mengayuh basikal mengelilingi dunia.

Zahariz telah mengayuh basikal sejauh lebih 14,000 kilometer merentasi China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Iceland, Scotland, Sweden dan Norway demi mendalami erti sebenar kehidupan yang tidak dapat dirungkai dengan kata-kata.

Menghalang dirinya daripada tersedut debuan udara, dia terus mengayuh basikal dari wilayah Sichuan, China menuju ke tanah tinggi Lhasa yang mempunyai ketinggian 3,490 meter dengan keadaan separuh wajahnya ditutup menggunakan skaf berwarna hitam.

Dari jauh dia dapat melihat ada sebuah keluarga sedang sibuk mengusahakan tanaman barli, yak dan kambing biri-biri. Dia akhirnya memperlahankan kayuhan dan berhenti untuk meninjau cara hidup masyarakat Tibet yang tinggal di kawasan pergunungan utara-timur Himalaya.


Tanpa sebarang perasaan kekok, dia mula berinteraksi dengan kanak-kanak bermata sepet dan berpipi kemerah-merahan. Namun, perbualan mereka ibarat ayam dengan itik kerana penduduk di sana hanya memahami bahasa Tibet dan Mandarin.

Bagaimanapun, dengan menggunakan isyarat tubuh badan mereka mula bertepuk tampar dan ketawa seakan-akan masing-masing memahami sepenuhnya apa yang cuba disampaikan.

Itulah secebis pengalaman manis dipungut oleh bekas pensyarah animasi, Zahariz Khuzaimah, 33, yang mengambil keputusan untuk mengembara ke China selepas jemu dengan kehidupan di kota raya Kuala Lumpur.

ttrond9

Menurut Zahariz, keputusan berani tanpa sebarang perancangan teliti itu dibuatnya pada tahun 2010 selepas nekad ingin mendapatkan kebebasan jiwa, di samping mencari erti sebuah kehidupan.

"Saya meninggalkan Kuala Lumpur pada Mei 2010 dan terus menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Chengdu Shuangliu, Chengdu, China.

"Pada waktu itu saya hanya membawa beg pakaian, wang simpanan sebanyak RM6,000 dan sebuah harapan iaitu untuk mengembara sejauh yang mungkin sambil melihat segenap budaya serta keindahan alam," katanya.

Tambahnya, basikal yang ditunggangi dibeli dari sebuah kedai di bandar Sinchuan sebagai antara perancangan untuk menjimatkan wang perbelanjaan.

"Saya membeli sebuah basikal berharga RM1,500 dan khemah untuk menjimatkan wang saku saya.

"Sebagai persiapan perjalanan, saya telah membeli sebuah buku terjemahan bahasa dan segulung peta China yang kemudiannya saya tafsir kepada bahasa Inggeris menggunakan peta Google," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mengimbau suasana kehidupan seorang nomad, anak bongsu daripada tiga adik-beradik ini memberitahu, kedatangannya sentiasa disambut mesra oleh penduduk tempatan terutamanya mereka yang tinggal di kawasan-kawasan luar bandar.

"Penduduk tempatan di Sinchuan sangat mesra dan baik hati. Saya hanya membelanjakan kira-kira RM5 sehari kerana makan dan minum selalunya akan diberi secara percuma oleh mereka.

"Perkara yang paling mengejutkan saya ialah apabila sebuah keluarga ini sanggup tidur di dalam bilik stor kecil dan menyuruh saya tidur di ruang tamu semata-mata untuk memberikan keselesaan kepada saya. Namun, saya menolaknya dengan perasaan sungguh terharu dengan layanan mesra yang diberikan," ujarnya.

Menikmati keindahan mengembara, Zahariz tidak lupa untuk memberikan buah tangan kepada rakyat Malaysia.

"Saya akan menulis dan muat naik gambar di blog www.malaysiannomad.com jika ada kelapangan dengan harapan dapat berkongsi keindahan dan kelainan cara kehidupan dunia luar kepada rakyat Malaysia.

"Justeru, saya tidak pernah lupa untuk merakamkan detik-detik manis menggunakan kamera digital kanta refleks (DSLR) Canon EOS 5D dan kamera peribadi berdefinasi tinggi Go Pro yang dibawa," katanya.

Meninggalkan satu demi satu kawasan, tanpa diduga Zahariz telah mengayuh sejauh 7,296 kilometer merentasi tanah tinggi Tibet, banjaran Himalaya, Gurun Taklamakan, Gunung Tian Shan, Pamir dan Kyrgyzstan dalam tempoh sembilan bulan.

Selepas menakluki tanah Asia Tengah, Zahariz memulakan penjelajahan keduanya merentasi empat buah negara di utara Eropah dan kawasan pertengahan Artik pada tahun 2012 sehingga bulan Mei lalu.

Menceritakan detik-detik kayuhannya di Eropah dengan membawa muatan seberat 60 kilogram, Zahariz memberitahu, ia bukan suatu yang mudah, namun ia sangat berbaloi dengan memori dan pengalaman yang tercipta.

Zahariz, Malaysian Nomad

Hampir mati

"Saya pernah hampir mati ketika merentasi Gurun Taklamakan sejauh 600 kilometer. Suhu di sana mencecah 52 darjah Celsius dan saya kehabisan bekalan air pada hari kedua perjalanan. Ketika itu saya terus bertawakal dengan harapan ada yang mendengar jeritan saya.

"Ketika terbaring di tepi jalan, tiba-tiba saya melihat beberapa buah trak askar China dalam perjalanan menuju ke India. Mereka melihat saya dan berhenti membantu," katanya mengimbau pengalaman perit itu.

Katanya, askar-askar tersebut memberikan minuman bertenaga dan bekalan buah tembikai yang banyak bagi membolehkannya meneruskan perjalanan.

Satu lagi pengalaman getir yang tidak akan dilupakan anak kelahiran Kuala Lumpur ini ialah ketika berada di Artik apabila air yang dijerangnya membeku dalam masa 15 minit.

"Cuaca di sana sangat sejuk dengan suhu negatif 20 darjah Celsius. Saya terpaksa minum dan makan terus apa yang dimasak, jika tidak semua menjadi ais.

"Bukan itu sahaja, malah cuping telinga dan jari-jari saya menjadi kebiru-biruan dan beku. Saya tidak berani menyentuh cuping telinga saya kerana khuatir ia akan rapuh. Namun, kesakitan itu berbaloi dengan keindahan langit ekoran fenomena aurora borealis yang sememangnya sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata," jelasnya.

Ternyata pengembaraan beliau tidak terhenti di situ. Mengikut perancangannya, Duta 1Malaysia ini akan meneruskan eksplorasi dari Mongolia ke Sepanyol sejauh 26,000 kilometer, merentasi 18 buah negara pada pertengahan Disember ini sehingga tahun 2016.

Penjelajahan solo Zahariz mula menjadi buah mulut penduduk tempatan sehingga wajahnya muncul di laman-laman web antarabangsa seperti Media China dan MSN Specials.

Melihat keunikan pengembaraan solo Zahariz menakluki dunia, banyak pihak yang tampil memberi sokongan termasuk kedai basikal Orange Cycle, Kedutaan Norway, TruEntertainment Sdn. Bhd. dan KLIA TV.

Menurut pengasas Orange Cycle, Fadil Ahmad Zaini, dia telah mengubahsuai sebuah basikal khas untuk pengembaraan Zahariz.

"Zahariz memberitahu saya dia memerlukan basikal kembara (touring bicycle), namun saya pasti ia tidak cukup kuat dan kukuh, khususnya apabila perlu melalui jalan-jalan berbatu.

"Jadi, saya telah mengubahsuai sebuah basikal bukit menjadi basikal kembara. Tayarnya lebih lebar, mempunyai set gear dan tempat-tempat meletak peralatan," katanya.

Tambahnya, basikal yang dibuat khas untuk Zahariz itu berharga kira-kira RM11,000, termasuk alat gantinya.

Dalam pada itu, Fadil memberitahu pemberian ikhlasnya kepada Zahariz membawa pulangan yang tidak disangkanya.

"Saya kini sedang menyiapkan tempahan lapan buah basikal khas kembara daripada pelanggan yang meminati kehidupan seperti Zahariz.

"Sejujurnya saya tidak mengharapkan apa-apa semasa memberikan basikal itu kepada Zahariz kerana saya bersetuju membantunya atas dasar peribadi," jelasnya sambil memberitahu berpuas hati kerana dapat membantu Zahariz merealisasikan impiannya.

Zahariz, Malaysian Nomad

Pengalaman didokumentari

Kisah pengembara berbasikal secara solo ini turut mendapat perhatian stesen televisyen TV AlHijrah. Pengurus Besar Perolehan dan Pengurusan Penyiaran, Mohd. Mokhtar Abd. Rahman berkata, pihaknya bersetuju untuk menyiarkan dokumentari itu selepas melihat kesungguhan Zahariz, selain ingin mengetengahkan tentang kebesaran bumi ciptaan Allah.

"Zahariz telah melakukan perjalanan solo dan semua rakaman dibuatnya sendiri. Dari situ kami boleh melihat kesungguhan dan niat murninya untuk berkongsi pemandangan dan kehidupan di luar dengan penonton tempatan.

"Selain itu, menerusi dokumentari ini, penonton boleh melihat keindahan alam yang terbentang luas, sekali gus mengingatkan mereka tentang kebesaran Allah SWT," katanya.

ttrond24

Mohd. Mokhtar menambah, dia dapat melihat ketulusan Zahariz berkongsi pengalaman dan tidak mementingkan kebendaan pada sesi perbincangan yang berlangsung.

"Apabila perbincangan dibuat dan kami bersetuju untuk menyiarkan dokumentarinya, Zahariz terus memulakan perjalanan keduanya walaupun kontrak dan sebagainya masih tidak ditandatangani.

"Di sini kita dapat melihat keihlasan beliau untuk berkongsi pengalaman tanpa mengambil kira soal keuntungan," jelasnya.

Lapan episod dokumentari Dengan Basikal Aku Menjelajah yang berdurasi 30 minit ditayangkan pada setiap Ahad pukul 8.30 malam.

Dokumentari tersebut telah meraih kira-kira 100,000 penonton untuk dua episod yang telah ditayangkan. Sehingga kini, TV AlHijrah mencatat jumlah penonton seramai 1.2 juta.

Terbaharu, dokumentari tersebut merupakan antara 10 finalis pertandingan filem pendek BMW Shorties 2013.

Bertemakan Inspirasi, pertandingan yang telah diperkenalkan sejak tahun 2006 itu mencabar pembikin filem tempatan untuk menghasilkan karya-karya luar daripada lingkungan konvensional atau kaedah penceritaan bagi memberi inspirasi kepada rakan sejawat dan masyarakat umum.

Pemenang pertandingan akan diumumkan pada Malam Anugerah BMW Shorties pada 3 Disember 2013 ini.

Anda juga boleh mengetahui perkembangan semasa pengembaraan Zahariz di http://zahariz.wordpress.com/

Sumber: Kosmo
Sumber Foto: rozekruzaini.com dan zahariz.wordpress.com

0 comments: