01 Januari 2014
Galeri Getah di Pusat Warisan Pertanian Putrajaya
SEJAK 11 tahun lalu, rutin Saravanan Supermaniam, 46, tidak berubah. Lelaki yang tinggal di Ladang Sungai Sekak, Nilai, Negeri Sembilan itu akan keluar rumah seawal 6 pagi menuju ke Taman Warisan Pertanian, Putrajaya. Sebaik tiba kira-kira pukul 6.45 pagi, Saravanan mengambil pisau toreh getah dan mula menoreh pokok getah di taman itu.
Mengaplikasi teknik torehan spiral, salah satu kaedah torehan paling lama dan tradisional, kelibat Saravanan atau lebih dikenali sebagai Uncle Saravanan boleh dilihat di antara pokok-pokok getah. Adakalanya, dia membongkok sambil kedua-dua belah tangan memegang pisau getah sebelum bergerak pantas beralih dari satu pokok ke pokok lain.
Saravanan menoreh sebanyak 100 pokok getah setiap hari dengan kiraan tujuh saat bagi setiap pokok. Selepas mengumpulkan susu getah iaitu menjelang lewat tengah hari, dia kembali ke 'pejabatnya', iaitu sebuah tempat terbuka yang menyediakan ruang untuk mempamer cara memproses susu getah menjadi getah keping.
Menariknya, Saravanan bukanlah seorang penoreh getah biasa seperti di estet-estet, bekerja secara berkumpulan dan dibayar gaji harian atau bulanan oleh syarikat tertentu. Kerjayanya juga tidak sama seperti yang digambarkan menerusi buku-buku sejarah atau dokumentari.
"Tugas hakiki saya ialah membuat demonstrasi cara-cara getah keping dihasilkan kepada para pelancong yang mengunjungi Pusat Warisan Pertanian ini," katanya.
Sebelum itu, Saravanan akan menyediakan lateks. Lateks dihasilkan menerusi campuran satu jag susu getah bersama setengah jag air dan tiga titis cuka asid. Ia akan digaul sehingga pekat dan buih-buih yang terhasil ketika proses itu akan dibuang.
SEKUMPULAN pelajar menyaksikan Saravanan menekan lateks menjadi kepingan sebelum dimesin menjadi lebih nipis.
"Selepas lateks menjadi pekat, saya keluarkannya dan tempatkan di ruang demo. Ia kelihatan seperti tauhu berwarna putih, lembut tetapi kenyal. Lateks itu ditekan kuat-kuat menjadi kepingan sebelum dimesin sebanyak tiga kali supaya menjadi kepingan nipis. Kemudian direndam dalam air selama satu jam dan disidai di rumah asap selama dua hari. Hasilnya, seperti ini," kata Saravanan sambil menunjukkan getah keping.
Duta kecil
Dalam proses sebenar, untuk menghasilkan kepingan getah yang sempurna memakan masa sehingga 100 jam. Atas sebab demo, Saravanan telah menyediakan bahan-bahan itu lebih awal bagi memudahkannya memberi penjelasan kepada pengunjung selain tidak memakan masa yang lama. Ketika ini, harga sekilogram getah keping di pasaran ialah sekitar RM7.
Sebagai duta kecil di galeri getah itu, Saravanan mudah mesra ketika berinteraksi bersama pelancong. Dia bijak mendekati pengunjung sambil menerangkan cara-cara pemprosesan susu getah menjadi getah keping.
Kehebatan Saravanan turut 'memukau' perhatian sekumpulan kanak-kanak dari sebuah pusat tuisyen di Kuala Lumpur yang tertarik dengan penjelasan yang diberikan selain tidak melepaskan peluang bertanyakan soalan.
"Kebanyakan pengunjung terutama pelancong luar teruja melihat pokok getah dan cara-cara memproses keping getah. Ada yang tidak kenal pokok getah, kalau kenal pun tidak pernah melihat proses menghasilkan getah keping ini," jelasnya.
BRANSON tidak melepaskan peluang menggunakan mesin pengelek getah.
Lokasi paling popular
Bagi pemandu pelancong dan pegawai di Pusat Warisan Pertanian, Faizal Najib Abdullah, bangsal memproses susu getah dan galeri getah itu merupakan lokasi paling popular kepada pengunjung terutamanya dari luar negara.
"Lazimnya, kami mendapat permintaan khusus daripada pelancong atau pengunjung untuk datang ke galeri getah ini. Mereka teruja untuk melihat cara-cara memproses getah keping. Hanya Uncle Saravanan sahaja yang melakukan demo tersebut membuatkan dia sangat terkenal dalam kalangan pelancong," kata Faizal Najib.
Dalam pada itu, seorang ejen pelancong yang membawa sekumpulan pelajar, Joseph Wong Weng Onn, 30, berkata, galeri tersebut menjadi pilihan wajib setiap kali dia membawa rombongan pelajar atau kanak-kanak ke Putrajaya.
"Sejak terbabit dalam bidang ini tiga tahun lalu, kami selalu mengesyorkan kepada ahli rombongan untuk merasai pengalaman di galeri getah ini," kata Joseph.
Joseph memberitahu, selain galeri getah, Pusat Warisan Pertanian itu juga kaya dengan tanaman dusun, pokok herba, bunga dan kolam ikan sebagai tarikan yang harus diterokai.
"Pusat Warisan Pertanian ini merupakan satu lokasi percutian yang lengkap terutamanya membabitkan alam semula jadi," katanya lagi.
Sukar
Kanak-kanak yang menyaksikan demonstrasi getah tidak ketinggalan mencuba dan merasa sendiri tekstur keping lateks dan getah. "Baru saya tahu betapa sukarnya membuat kepingan getah termasuk perlu keluar menoreh pada awal pagi," kata Branson Wee, 12.
Seorang lagi kanak-kanak, Chang Ee Teng akui, selama ini dia hanya mengenali barangan yang dihasilkan daripada getah seperti pemadam, tayar, sarung tangan tetapi tidak pernah melihat rupa sebenar susu getah.
PERALATAN yang digunakan untuk menoreh pokok getah dan membuat getah keping.
"Pendedahan seperti ini harus diketengahkan oleh ibu bapa dan pihak guru sebagai sebahagian daripada pembelajaran. Saya pasti ia akan membuka minda mereka, bukan sahaja daripada aspek akademi tetapi juga menghayati dan menghargai produk getah," demikian pula kata pengetua Pusat Tuisyen Didik Genius Sri Petaling, Teresa Tong, 30.
Berbalik kepada Saravanan, selepas melambaikan tangan tanda kepulangan pengunjung, dia kembali menyambung kisahnya di galeri getah dan kehidupan penoreh getah.
Katanya, getah keping kecil yang ditunjukkan di situ sekadar untuk demonstrasi sahaja, kepingan sebenar lebih besar dan berat boleh mencapai belasan atau puluhan kilogram.
"Di estet, kami menoreh sehingga 500 pokok sehari, tuntutan kerja lebih berat daripada di sini," kata Saravanan yang pernah bekerja sebagai penoreh getah selama lima tahun di Ladang Prang Besar (kini Putrajaya) dan Sungai Sekak, Nilai.
"Saya berasal dari keluarga penoreh getah dan saya turut membuat kerja tersebut sehingga ditawarkan bekerja di kilang. Namun, pada awal pembukaan Taman Warisan Pertanian ini, saya menyertainya bersama tiga penoreh lain dan kini tinggal saya seorang," ujar Saravanan serba sedikit mengenai latar belakang dirinya.
Bapa kepada dua orang anak itu memberitahu, bekerja sebagai penoreh getah memang banyak cabaran terutama dari segi keselamatan. Misalnya, dia kerap terserempak ular selain gaji yang rendah.
Namun, dia selesa bekerja di Taman Warisan Pertanian yang memberinya peluang bertemu pelancong dari dalam dan luar negara.
Sumber: Kosmo
Labels:
Maklumat Umum
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
0 comments:
Catat Ulasan