16 Januari 2014

Geetha ~ Kapten Wanita Pertama Dalam Pelayaran


PEMIMPIN nombor dua dalam kapal ini perlu memastikan bahtera yang dikemudi sentiasa berada di landasan yang betul.

Jika sebut soal kerjaya bidang perkapalan, sudah tentu kaum lelaki dilihat paling sesuai menceburi bidang berkenaan dan mereka memonopoli bidang itu kerana dianggap lebih lasak mengharung ombak serta meredah badai di lautan.

Sudah pasti, bagi wanita pula ia satu kerjaya yang agak 'asing' kerana memerlukan kekuatan bukan sahaja dari segi fizikal, tetapi juga mental kerana terpaksa belayar berhari-hari ratusan ribu nautika jauh daripada kaum keluarga.

Namun bagi Geetha Selvaraja, 27, ia bukan batu penghalang kerana baginya walaupun wanita sering dianggap lemah, namun dari segi dalamannya, wanita jauh lebih kuat dan ia terbukti apa juga kerjaya yang dilakukan oleh lelaki sebelum ini, juga mampu dilakukan oleh wanita.


Melihat kepada susuk badannya yang kecil dengan ketinggian yang sederhana, siapa sangka gadis kelahiran Tampin, Negeri Sembilan ini bakal menempa namanya dalam sejarah negara sebagai kapten wanita (perkapalan) pertama di negara ini dalam tempoh tiga tahun lagi.

Itulah yang cuba dibuktikan oleh Geetha yang kini sudahpun menjadi Pegawai Kelas Kedua dan mempunyai satu langkah sahaja lagi sebelum menjadi seorang kapten.

CABARAN BUAT GHEETA KENTAL

Menceburi kerjaya yang selama ini dikuasai kaum lelaki, memaksa Geetha berhadapan dengan banyak cabaran dan ragam rakan seperjuangan, namun segalanya dihadapi dengan tenang kerana baginya setiap kejayaan yang hendak dicapai ada harga tersendiri yang perlu dibayar.

Sejak memulakan pengajian Diploma Pengajian Nautika di Akademi Laut Malaysia (Alam) pada 2006, yang adalah satu daripada empat institusi pengajian yang diwujudkan oleh Petronas menerusi anak syarikatnya Malaysia International Shipping Corporation Berhad (MISC), Geetha telah diuji dengan 'gelombang' tentangan daripada pelajar lelaki.

"Tidak semua boleh menerima kehadiran pelajar wanita ketika itu, jika diibarat daripada 100 orang hanya 10 hingga 20 sahaja yang menerima kedatangan 18 pelajar wanita iaitu 10 pelajar bahagian enjin serta lapan bahagian dek dan saya adalah satu-satunya pelajar wanita kaum India.

"Kebanyakan memandang rendah kepada kami serta meminta kami balik selain menyuruh kami mencari kerjaya lain yang lebih sesuai dengan sifat-sifat seorang wanita.

"Tetapi saya hanya senyap, senyum dan abaikan kata-kata mereka kerana saya tahu wanita mampu dan saya juga mampu untuk melakukan apa yang selama ini kaum lelaki lakukan," katanya yang sebelum ini bercita-cita untuk menjadi seorang guru.

Kata-kata sinis itu jugalah menjadikan beliau lebih kental sehingga berjaya menamatkan pengajian selama tiga tahun di Alam iaitu dua tahun pengajian akedemik dan satu tahun latihan amali yang memerlukannya belayar merentas lautan, paling jauh ke Amerika Syarikat lebih sebulan dengan mengharungi pahit getir kehidupan sebagai anak kapal.

Segalanya harus dipelajari termasuk daripada kerja-kerja kelasi seperti membersihkan kapal, menggulung tali, mengendalikan kontena dan kerja-kerja mengemudi kapal yang dapat dihadapinya dengan jaya.

Tetapi agak menyedihkan kerana ramai rakan-rakan wanita sepengajiannya tidak mampu bertahan, dan kini hanya tinggal separuh yang masih berjuang mengharung badai dalam kerjaya itu.

ASAL ADA KEMAHUAN

Membelah lautan ratusan ribu batu nautika dengan dilambung ombak dan gelora serta dikelilingi anak kapal lelaki adalah satu lagi cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Geetha yang berpengalaman mengemudi lapan kali pelayaran kapal pengangkut minyak.

Bagi Geetha, beliau mempunyai cara yang tersendiri untuk mengendali anak-anak kapal untuk bekerjasama dan mendengar arahannya.

"Tidak sukar untuk mengendalikan mereka (anak kapal lelaki) dan saya setakat ini tidak mempunyai masalah untuk memberi arahan. Sebagai orang baru dalam kerjaya ini, kita perlu bertolak ansur dan hormat dengan pandangan mereka yang 20 hingga 30 tahun dalam industri perkapalan," katanya.

Ditanya sama ada beliau pernah berhadapan dengan gangguan seksual sepanjang melibatkan diri dalam bidang itu Geetha yang merupakan anak kepada Selvaraja Krishnan dan Selvakumari Harikrisnan itu hanya tersenyum.

"Memang semasa mula-mula saya ceburi bidang ini ramai yang cakap mengenainya, namun setelah terlibat dengannya, anggapan itu tidak benar kerana yang paling penting ialah bagaimana kita menjaga diri.

"Saya telah mengemudi lapan kali pelayaran dan tidak ada gangguan seumpama itu. Mereka (anak kapal) juga tahu dan tidak berani berbuat demikian kerana jika ada gangguan dan kita laporkan kepada syarikat, mereka boleh dihantar balik apabila sampai di pelabuhan seterusnya," katanya.

Menurut Geetha, selepas tamat pengajian di Alam beliau telah menduduki beberapa ujian lain dan berjaya mendapat Certificate of Competancy Class 3, sebelum mula belayar dengan dilantik menjadi Pegawai Kelas Empat, dinaik pangkat menjadi Pegawai Kelas Dua.

"Kini saya sedang melengkapkan ujian Kelas Kedua (untuk menjadi Chief Officer) gabungan bersama ujian Kelas Pertama (kapten) dan perlu belayar selama setahun sebelum boleh dilantik menjadi seorang kapten.

"Bagi saya jika itu sudah lengkap, saya sudah boleh berbangga dengan berjaya membuktikan kepada mereka yang memandang rendah sebelum ini bahawa wanita juga mampu untuk menjadi kapten.

"Tidak ada yang mustahil dan nasihat saya kepada wanita lain di luar sana jika ingin berjaya dalam bidang perkapalan, kita perlu kuat semangat dan pandai jaga diri, yang penting kita perlu tahu apa yang kita inginkan dan berusahalah untuk mencapainya," katanya.

Oleh Noor Shamsiah Mohamed
Sumber: BERNAMA

Wanita kemudi kapal 330 m

S. Geetha, 27, wanita yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan merupakan orang nombor dua selepas Kapten yang antara lain bertanggungjawab mengemudi kapal membelah samudera ke pelabuhan yang ditujui.

Berpengalaman mengemudi kapal pengangkut barang dan minyak selama hampir tujuh tahun, Geetha yang menyandang jawatan Pegawai Kelas Kedua mempunyai cara tersendiri untuk mengendali kru kapal yang 98 peratus terdiri daripada kaum Adam.

"Setakat ini, saya tidak mempunyai masalah untuk memberi arahan terutamanya kepada anak-anak kapal yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri perkapalan.

"Sikap tolak ansur serta saling hormat-menghormati perlu ada bagi mewujudkan suasana bekerja yang harmoni," katanya.

Tambah anak kepada pasangan K. Selvaraja dan H. Selvakumari itu, dia juga tidak pernah berhadapan dengan gangguan seksual sepanjang melibatkan diri dalam bidang tersebut.

"Saya akui ketika mula-mula menceburi dunia pelayaran, ramai yang mendakwa kerjaya ini mudah terdedah kepada gangguan seks namun anggapan itu tidak benar kerana yang paling penting ialah bagaimana kita menjaga diri.

"Mereka (anak kapal) juga tidak berani berbuat demikian kerana jika ada sebarang gangguan, saya akan laporkan terus kepada syarikat dan mereka boleh dikenakan tindakan disiplin sebaik tiba di pelabuhan seterusnya," jelas Geetha.

Perintis

Mengintai kembali sejarah pembabitannya dalam industri maritim, Geetha memberitahu, peluang membina kerjaya cemerlang dan tawaran gaji yang agak lumayan mendorongnya untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan Diploma Pengajian Nautika di Akademi Laut Malaysia (Alam) pada tahun 2006.

Menjadi antara kadet wanita pertama yang dilahirkan institut latihan dan pendidikan maritim itu, Geetha mengakui begitu berbangga kerana menjadi antara perintis dalam bidang yang sekian lama dimonopoli golongan lelaki itu.

"Kebanyakan penuntut lelaki pada ketika itu sukar untuk menerima kehadiran pelajar perempuan dan sering memandang rendah kemampuan kami.

"Ada yang suruh kami balik dan cari kerjaya lain yang lebih sesuai tetapi saya hanya abaikan kata-kata mereka kerana percaya wanita juga mampu melakukan semua perkara yang selama ini didominasi lelaki," katanya yang merupakan satu-satunya pelajar wanita berketurunan India di institusi tersebut.

Semangat dan kekuatan fizikal serta mental anak ketiga daripada empat adik-beradik itu terus diuji ketika menjalani latihan amali di atas beberapa buah kapal tangki.

Menurut Geetha, dia diberi kepercayaan mengemudi kapal pembawa barang yang cukup besar iaitu kapal MT Bunga Kasturi Tiga sepanjang 330 meter (m).

"Selama tujuh bulan bertugas di dalam kapal itu, saya berpeluang mengelilingi dunia dan melihat kehebatan pelabuhan di Jepun, Korea, Taiwan dan Amerika Syarikat.

Kapten

"Saya juga berpeluang mengemudi kapal Bunga Kelana 8 sepanjang 241 m.

"Pelayaran kedua bersama MT Eagle Seville selama empat bulan pula memberi keyakinan yang lebih mendalam ketika melakukan kerja-kerja di atas kapal," ujarnya.

Tambah Geetha, selain tugasan mengemudi kapal, dia turut mempelajari kerja-kerja kelasi seperti membersihkan dan mengecat kapal, menggulung tali serta mengendalikan kontena.

Katanya, dia juga turut dilatih melakukan tugasan pemantauan laluan kapal selama empat jam secara bergilir-gilir dan pemerhatian kargo apabila tiba di pelabuhan.

"Saya juga dikehendaki bertugas sekurang-kurangnya empat jam di bilik enjin yang agak sempit, kotor dan bising sepanjang setahun menjalani latihan praktikal," ujarnya yang beranggapan ancaman lanun ialah sebahagian cabaran yang perlu dihadapi sebagai pelaut.

Bagaimanapun, Geetha memberitahu, sepanjang belajar di Alam, kesemua penuntut diajar cara-cara menghadapi pelbagai cabaran termasuk serangan lanun.

"Kami juga dilatih untuk menghadapi situasi cemas lain seperti kebakaran dan kapal karam," jelasnya.

Melihat kepada susuk tubuhnya yang kecil dengan ketinggian sederhana, siapa sangka wanita ini akhirnya berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2009.

Menariknya, wanita yang pernah memasang impian untuk menjadi seorang pendidik itu bakal menempa namanya dalam sejarah negara sebagai kapten wanita sulung dalam bidang perkapalan tanah air untuk tempoh tiga tahun lagi.

Menurut Geetha, selepas tamat pengajian di Alam, dia menduduki beberapa ujian lain dan berjaya memperoleh Sijil Kemahiran Kelas Tiga sebelum dilantik menjadi Pegawai Kelas Empat.

"Kini, saya sedang melengkapkan ujian Kelas Kedua untuk menjadi Ketua Pegawai.

"Saya juga perlu belayar selama setahun selain menduduki ujian Kelas Pertama sebelum boleh dilantik sebagai Kapten," katanya.

Sumber: Kosmo

0 comments: