Nuff Atas

14 Januari 2014

Grup Taktikal Khas ~ Pasukan Elit Jabatan Imigresen



Satu pasukan elit yang dipanggil Grup Taktikal Khas (GTK) bagi berhadapan operasi ekstrem diwujudkan dalam Jabatan Imigresen di mana Negeri Sembilan terpilih sebagai perintisnya.

Pengarah Imigresen negeri, Faizal Fazri Othman berkata, pasukan ini yang dilengkapi dengan senjata akan menjadi pasukan penggempur dalam operasi berbahaya terutama lokasi berisiko membabitkan kawasan perjudian, kongsi gelap dan pusat pelacuran.

"Grup elit ini akan membantu tugas penguatkuasaan di lokasi panas yang memerlukan aspek keselamatan yang tinggi," katanya di Pejabat Imigresen, Wisma Persekutuan.


Katanya, pasukan elit ini juga menjalani latihan bagi menguruskan krisis seperti ancaman keganasan lapangan, pemantauan di pantai perairan serta mengesan dan mencari pendatang asing tanpa izin (PATI) di sasaran sukar dengan bantuan anjing pengesan.

"Kita sasarkan lokasi yang berskala besar terutama operasi yang perlu meredah hutan, bukit bukau, kawasan berpaya, perairan pantai, serta tempat-tempat yang wujud ancaman," katanya.


SEBAHAGIAN pelatih Grup Taktikal Khas menunjukkan demonstrasi operasi mereka di Seremban

Menurut Faizal, Negeri Sembilan telah dipilih untuk menjadi perintis penubuhan pasukan elit ini kerana mempunyai kelengkapan dari segi peralatan, pakaian dan keupayaan melaksanakan operasi dalam waktu mendesak.

Katanya, sehingga kini seramai 83 anggota dari Negeri Sembilan, Melaka dan Perak mengikuti kursus penilaian selama dua minggu di sebuah pusat latihan yang dirahsiakan.

"Mereka akan disaring selepas lulus dalam ujian ketahanan fizikal, mental dan kualiti peribadi serta berkeupayaan untuk bertugas siang dan malam," katanya.

Beliau yang juga Pegawai Pemerintah pasukan elit di negeri ini memberitahu, kesemua 11 anggota yang telah lulus Program Pemilihan dan Penilaian Anggota (PPPA) akan dihantar menjalani kursus asas operasi taktikal, komunikasi taktikal di lapangan, pertahanan diri, ikhtiar hidup, pandu arah navigasi darat dan laut serta atur gerak bekalan.

Faizal berharap pasukan khas ini akan dapat mengurangkan kadar ancaman ketika menjalankan tugas bagi menghadapi apa juga keadaan dan risiko terutamanya PATI di negeri ini.

Katanya, kewujudan pasukan elit itu susulan daripada beberapa kes ancaman yang dihadapi anggota Imigresen termasuklah pada tahun 2012, di mana puluhan pelajar Afrika di Mantin bertindak menyerbu pasukan ini dengan menggoncang lori mengakibatkan seorang anggota penguat kuasa cedera diserang.

Oleh AINAA MARDHIAH MOHD. GHAZALI
Sumber: Utusan [08/01/2013]

0 comments: